Author Archives: Mohd Shamsul Bahari Rosli

  • 0
Practicsing-the-Mind

Apa Kita Tahu… Orang Lain Tidak Tahu pt.2

Tags : 

Assalamualaikum.

(Kisah ini merupakan sambungan daripada kisah yang sebelumnya. Bagi yang ingin membaca kisah sebelumnya, sila pergi ke SINI)

Wajah Ibu Mr Minecraft kelihatan tenang tetapi sirius. Setelah kami bertegur sapa, Ibu Mr Minecraft terus memulakan perbualan dengan sebuah pertanyaan. “Saya difahamkan Abang AB mengajar Matematik kepada anak saya ya?” saya mengiyakan pertanyaan itu. Beliau menyambung “Adakah Abang AB mengajar dengan cara yang garang dan kasar kepada Mr Minecraft atau pernahkah Abang AB memarahinya sebelum ini?” Terkejut dengan soalan ini, saya cuba mengingat sejenak, momen-momen saya di dalam kelas Matematik bersama anak-anak ASIQS selama ini. “Saya tidak berapa ingatlah puan, tetapi kalau tidak silap saya, saya memang belum pernah menggunakan marahan atau kekerasan di dalam kelas saya selama ini.”

Wajah Ibu Mr Minecraft mula seperti ceria kelegaan sedikit. “Akak bukan apa, mulai 2 minggu lepas, kami mula pelik, Mr Minecraft sudah mula berubah.” Saya pun terkejut, “Perubahan macam mana tu puan?”

“Setiap hari pulang dari sekolah, setelah Mr Minecraft bersiap-siap mandi semua, dia akan terus membuka beg sekolahnya dan membuat kerja rumah dengan sendirinya tanpa lagi perlu disuruh. Kemudian, dia sudah mula bertanya-tanya kami tentang soalan-soalan Matematik yang dipelajarinya. Dan yang paling mengejutkan kami ialah, dia sudah minta kami untuk hantarkannya ke kelas tuisyen Matematik sekarang ni.”  Hembusan nafas kelegaan ternyata keluar dari badan saya setelah mendengar penjelasan ini. Saya sangkakan saya sudah melakukan kesalahan dengan mendera mental atau emosi Mr Minecraft. Saya amat yakin saya tidak pernah melakukan kekerasan fizikal terhadap anak-anak murid saya selama ini.

Ibu Mr Minecraft meneruskan lagi dengan menceritakan bagaimana Mr Minecraft sebelum ini perlu dimarahi dan ditunjukkan “tali pinggang” andai ingin menyuruhnya belajar. Namun kini sudah tidak lagi. Bagaimana Mr Minecraft yang sebelum ini seorang yang agak pendiam, sekarang sudah mula menceritakan kisah-kisah pembelajarannya di sekolah kepada mereka berdua. Ibu Mr Minecraft sangat seronok, cuma beliau bimbang andaikata pihak sekolah menggunakan teknik yang kurang digemari sehingga berlaku perubahan berikut kepada anaknya.

Saya pun mula memberikan jawapan dengan beberapa penjelasan sebagai contoh. Saya ceritakan juga kisah Mr Minecraft dari awal penglibatannya di dalam kelas sehinggalah situasinya hari ini. Saya masih ingat, raut wajah Ibu Mr Minecraft ketika mendengar penjelasan ini, beliau sangat gembira dan kelihatan matanya yang bergenang air mata kerana kegembiraan. Sebagai seorang ibu yang mempunyai anak yang kurang kemampuan mempelajari matematik, tiada apa yang lebih menggembirakan selain melihat anaknya bersemangat untuk belajar Matematik. Walaupun beliau tahu setakat mana kemampuan anak itu.

Gambaran perbezaan perspektif pemahaman manusia-manusia yang berbeza

Gambaran perbezaan perspektif pemahaman manusia-manusia yang berbeza

Saya menyambung penjelasan saya dengan menyatakan, anak-anak tidak harus dipandang rendah kerana kekurangannya. Kita harus terus memberi sokongan kepadanya. Walaupun dia agak berbeza daripada anak-anak murid yang lain, tidak bermakna kita harus melayannya dengan layanan yang berbeza. Raikan kewujudan mereka. Hargai segala kelebihan yang dikurniakan kepada mereka. Saya sentiasa yakin, setiap anak-anak itu berbeza dan unik. Setiap mereka mempunyai kebolehan luar biasa yang dianugerahkan Allah S.W.T. sebagai modus untuk meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini. Seperti Mr Minecraft, kita tidak tahu bagaimana cara beliau berfikir. Bagaimana beliau payah untuk menjawab sesuatu masalah operasi darab, tetapi dengan pantas boleh menyelesaikan soalan pecahan. Tambahan buat para pembaca, Mr Minecraft sangat berbakat dalam melukis. Di ASIQS, bakat-bakat ini yang akan digilap dan dikembangkan bagi kes Mr Minecraft.

Kedua, jangan marah anak murid yang melakukan kesalahan atau tidak tahu apa yang diajarkan kepada mereka. Sebagai contoh, apabila Mr Minecraft beberapa kali tidak memasuki kelas saya, saya tidak terus memarahinya, bahkan saya mencarinya dan bertanya kepadanya, apa sebab tidak masuk ke kelas. Jangan dimarahi anak-anak murid, ia tidak akan menyelesaikan apa-apa pun masalah. Bagi saya, jika anak itu sudah seronok ingin ke sekolah, pasti dia bersedia untuk menimba ilmu, cuma kadang kala, mungkin ada cara-cara sesetengah guru itu yang membuatkan mereka takut atau tidak minat. Sesetengah guru atau ibubapa tanpa disedari memang akan memarahi anak atau anak muridnya di hadapan orang lain apabila mereka salah atau tidak tahu akan sesuatu hal. Ini tidak baik untuk pertumbuhan keyakinan dan motivasi diri anak-anak. Sebagai seorang pelajar, rakan-rakan merupakan segalanya. Rakan-rakanlah tempat mereka bermain, bercerita, makan bersama dan lain-lain. Apabila mereka dimarahi di hadapan rakan-rakan, ini akan merendahkan motivasi mereka. Tambahan mereka akan terus merasa malu setiap kali bersama rakan-rakan mereka.

Dan yang ketiga, yang paling penting ialah, sebagai ibubapa atau guru, cuba luangkan masa kita bersama anak-anak. Kebersamaan terbukti akan dapat meningkatkan minat dan keseronokan mereka dalam melakukan sesuatu perkara bersama-sama. Saya masih ingat seorang pelajar ASIQS yang agak sedikit reserved. Beliau susah untuk berkomunikasi dengan orang lain terutamanya orang yang baru beliau kenali. Saya beri beliau nama Mr Minecraft Jr. Usaha beberapa bulan pertama saya untuk bertegur sapa dengan beliau gagal. Namun saya tidak putus asa, saya melakukan sedikit kajian ke atas beliau. Saya selidiki minat beliau. Ternyata beliau meminati Matematik. Setiap hari saya akan cuba menegur beliau, bermain cuit-cuit dengan beliau, mencubit pipi beliau, namun tiada respon. Sehinggalah satu hari, saya cuba ubah teknik saya, saya menegur beliau dengan ayat yang sedikit berlagak. “Do you know what 5 times 100 is?” Dengan spontan beliau menjawab “500!” sambil tersenyum dan jelas kelihatan lesung pipit beliau. Mulai saat itu, kami berkawan baik. Usaha saya beberapa bulan awal rupanya tidaklah sia-sia kerana menurut ayahnya, itu adalah “Observation period” bagi Mr Minecraft Jr. Beliau memang akan mengkaji seseorang itu habis-habisan sebelum memilih untuk berkawan dengan mereka walaupun mereka itu ialah GURU beliau.

Kerjasama di antara pemilik ilmu-ilmu berbeza bakal menghasilkan keajaiban

Kerjasama di antara pemilik ilmu-ilmu berbeza bakal menghasilkan keajaiban

Setelah mendengar penjelasan dari saya, Ibu Mr Minecraft mengucapkan ribuan terima kasih kepada saya. Kejadian hari itu seolah-olah menjadi satu sumber motivasi baru buat saya kerana inilah pertama kali saya berhadapan kes yang sebegini. Persekolahan di ASIQS diteruskan seperti biasa. Saya sempat melihat perkembangan Mr Minecraft selama beberapa tahun dan Alhamdulillah perkembangannya positif. Saya masih ingat lagi di hujung-hujung persekolahan Mr Minecraft di ASIQS, beliau sentiasa menjadi tempat rujukan jika mana-mana pelajar mahukan lukisan gambar atau konsultasi mengenai gambar yang ingin digunakan dalam kerja-kerja projek mereka. Itulah keindahan ciptaan Allah S.W.T.. Setiap satu makhluk memainkan peranan mereka masing-masing dan jika digunakan pada tempat dan masa yang betul, pasti mampu melengkapkan sistem kitaran hidup sekalian insan di atas muka bumi ini.

Sebagai ibubapa, guru atau pendidik, hargailah anak-anak yang dikurniakan Allah S.W.T. kepada kita. Ianya tidak datang kepada kita secara sia-sia. Ianya adalah amanah Allah S.W.T.. Allah S.W.T. berfirman :

“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.”

(Surah Al-Kahfi 18 : 46)

Apabila disebut perhiasan, bukanlah sesuatu yang boleh diambil remeh. Jagalah mereka dengan penuh kasih sayang. Janganlah buang mereka sesuka hati daripada hidup kita. Seperti seorang ayah kepada pelajar ASIQS selalu berkata “anak-anak ialah cerminan ibubapa”. Sebagai akhir kata buat kisah ini, ingin saya ucapkan, walau di mana jua Mr Minecraft berada hari ini, semoga anda sentiasa berada di dalam keadaan yang baik dan sentiasa dirahmati Allah S.W.T.. Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk mengajar dan mendidik kamu suatu masa dahulu. 🙂


  • 0
IMG_1181

Majlis Musabaqah Hafazan Al-Quran Lil-Banat (MAQLIB) 2017

Pada 10 Ogos 2017 yang lepas, pihak ASIQS telah menghantar 3 peserta untuk mewakili ASIQS ke peringkat saringan Majlis Musabaqah Hafazan Al-Quran Lil-Banat (MAQLIB) 2017 yang telah diadakan di Maahad Tahfiz Lil Aytam, Kuang Selangor. Majlis yang dianjurkan ini bertujuan memartabatkan lagi hafazan Al-Quran dan meraikan pelajar-pelajar hafazan yang ada di sekitar Selangor.

Peserta-peserta ASIQS diiringi oleh mudir ASIQS sendiri iaitu Ustaz Idris Husain yang pasti dapat memberikan kata-kata semangat dan dorongan buat pelajar-pelajar ASIQS. Terdapat 2 peringkat saringan sebelum para peserta yang dipilih akan mara ke peringkat akhir. Keputusan saringan akan diperolehi pada hari Sabtu, 12 Ogos 2017. Semoga semua peserta diberi kemudahan dan kekuatan dalam menempuh cabaran yang bakal mendatang. Selamat Maju Jaya.

IMG_1179

Adik Amylia sedang memperdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran


  • 0
Warga ASIQS bergambar Kenangan di Program Cuci Masjid, 2017

Program Cuci Masjid (PCM)

Assalamualaikum.

Alhamdulillah pada 6 Ogos 2017 yang lepas, beberapa orang warga ASIQS telah secara sukarela menyertai Program Cuci Masjid yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), Shah Alam. Program yang dianjurkan oleh Komuniti Cuci Masjid ini melibatkan ramai pihak seperti pihak MSSAAS sendiri, Jabatan Bomba Shah Alam, Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor (JPJ), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan banyak lagi badan-badan organisasi yang melibatkan diri secara sukarela.

Program bermula pada jam 9 pagi dan dirasmikan oleh Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Bin Mohd Isa, Pengerusi MAIS. Setelah menikmati sarapan pagi yang disediakan, peserta diberikan taklimat ringkas sekaligus dipecahkan kepada beberapa bahagian dan pembahagian kawasan untuk setiap bahagian pun dilakukan. Bagi pihak ASIQS, kami terlibat di kawasan dewan solat utama dan juga dewan solat bawah MSSAAS.

Selama 2 jam lebih kami menyusun Al-Quran, mengalihkan barang-barang lama ke dalam stor, mengutip sampah dan lain-lain lagi. Peserta yang ramai sekitar 300-500 orang memudahkan lagi urusan pencucian setiap bahagian kawasan Masjid. Semoga pihak Komuniti Cuci Masjid akan meneruskan lagi program ini di MSSAAS pada masa yang akan datang agar dapat memberi peluang kepada kami menyertainya.

Di samping Program Cuci Masjid ini, sedang berlangsung juga di MSSAAS ialah Pameran Artifak Asli Rasulullah S.A.W. dan para Sahabat. Ribuan manusia membanjiri pameran ini menjadikan Program Cuci Masjid ini lebih meriah. Kami juga diberitahu oleh salah seorang imam MSSAAS, disebabkan sambutan yang sangat menggalakkan, Pameran Artifak ini telah dipanjangkan masanya hingga ke 23 Ogos 2017. Kamimelihat dengan mata sendiri betapa panjangnya barisan manusia yang beratur untuk memasuki pameran itu.


  • 1
DSC0211-548x270

Apa Kita Tahu.. Orang Lain Tidak Tahu

Antara pelajar-pelajar ASIQS kelas Level 2 Tahun 2012

Antara pelajar-pelajar ASIQS kelas Level 2 Tahun 2012

Assalamualaikum.

Kali ini ingin saya kongsikan satu kisah pengalaman yang saya pasti ingat sampai bila-bila. Kisah ini berlaku pada tahun 2012, iaitu pada tahun pertama ASIQS beroperasi. Saya masih ingat ketika itu, pelajar kami hanyalah seramai 32 orang pelajar dan kami hanya mempunyai 2 buah kelas iaitu kelas Level 1 dan Level 2. Satu kelas dalam lingkungan 16 orang pelajar sahaja.

Saya, sebagai guru subjek Matematik ketika itu memulakan kelas Level 2 seperti biasa. Usai bacaan doa iftitah, maka mulalah saya menulis di papan putih kelas akan tajuk hari itu. Saya masih ingat dengan jelas, hari itu kami belajar tajuk Pecahan. Untuk menguasai tajuk ini memerlukan para pelajar mahir akan empat operasi asas Matematik iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi. Di dalam kelas itu ada seorang pelajar yang sedikit berbeza daripada rakan-rakannya yang lain. Saya gelarkan beliau sebagai Mr Minecraft kerana minat beliau terhadap permainan video ini sangatlah mendalam.

Sekitar 3 bulan sebelumnya, saya mengajar mereka tajuk operasi darab. Saya masih ingat lagi saya pernah bertanya kepada Mr Minecraft akan beberapa soalan rambang seperti 3×2, 3×5 dan beberapa yang lain, ternyata beliau tidak mampu menjawabnya. Dan adakalanya, bagi mengelakkan diejek dan diperli rakan sekelas, beliau akan menyebut sahaja apa-apa nombor sebagai jawapan. Menyebut tanpa melakukan kira-kira, istilah lain ialah ‘hentam’. Hampir 90% jawapan ‘hentam’nya akan salah. Dan apabila salah, beliau akan ditegur rakan-rakannya “alaaa apalah itu pun tak tahu ke?”.

Namun, Mr Minecraft tetap bersahaja dan ini membuatkan saya tersentuh. Untuk operasi tambah dan tolak beliau dapat melakukannya. Tetapi bagi darab, dan yang bakal mendatang iaitu bahagi, saya tidak tahu apa nasib yang akan menimpa beliau. Mulai dari kelas operasi darab itu, Mr Minecraft mula tidak hadir setiap kelas Matematik saya. Saya pun mulai pelik, setiap pagi apabila kelas hafazan atau perhimpunan, saya nampak kelibatnya di sekolah. Adakalanya saya menegur beliau dan dia menegur kembali saya. Saya cuba menyelidik. Setiap kali sebelum kelas Matematik, saya akan tunggu di luar kelasnya 5 atau 10 minit lebih awal untuk mendapatkannya.

Habis sahaja kelas, setelah guru lain keluar, saya nampak Mr Minecraft akan ikut keluar sekali. Saya pun menahan beliau.

“Eh Mr Minecraft, nak pergi mana ni?”

“Abang AB, maaf, saya sakit perutlah ni.” Jawab beliau dengan wajah berkerut seakan-akan betul sakit.

“Oh okaylah pergilah berehat.”

Sehari demi sehari, saya cuba mencari ruang duduk bersamanya. Mula berbual-bual, sehinggalah satu hari, saya cuba mengorek rahsia ketidakhadiran beliau ke dalam kelas. Maka beliau pun memberi jawapan. “Saya malu abang AB. Saya tak pandai Matematik. Bukan sekadar tak pandai, saya memang tak boleh buat langsung.” Mendengar jawapan beliau, saya faham masalah yang dialami. Memang saya tahu beliau adalah pelajar yang kurang cenderung ke arah subjek-subjek pengiraan, namun saya memberitahunya agar jangan berputus asa, masuk sahaja ke dalam kelas, sekurang-kurangnya akan belajar sedikit sebanyak apa yang diajar. Bukan markah atau salah betul yang saya pentingkan, saya hanya pentingkan kebersamaan kita antara guru dan pelajar.

Mulai minggu depannya, sedikit demi sedikit Mr Minecraft mula menghadirkan diri ke dalam kelas. Dan ini membuatkan saya seronok. Saya kurang bertanyakan beliau soalan seperti sebelumnya. Dan ini ternyata membuatkan beliau lebih selesa di dalam kelas. Seperti yang saya jangkakan, tajuk darab dan bahagi tidaklah beliau kuasai. Ternyata beliau sangat terseksa dengan pembelajaran kedua tajuk ini. Namun saya tetap memberi kata semangat kepadanya.

3 bulan berlalu. Tibalah waktunya kelas Matematik memasuki tajuk baru iaitu tajuk Pecahan. Seperti biasa, saya mula menerangkan apa itu pecahan? apakah ciri-cirinnya, bagaimana visual pecahan itu sendiri dan sebagainya. Seminggu masa diambil hanya untuk pengenalan dan jenis-jenis pecahan sahaja. Mr Minecraft masih bersahaja dan tenang seperti sediakala. Apabila tiba tajuk Operasi tambah ke atas Pecahan, di sinilah kisah menarik itu muncul. (Maaf mengambil masa lama untuk muqaddimah) Saya ingat dengan jelas, soalan yang saya tulis di papan putih ialah 1/3 + 1/2, dan ketika saya bertanya kepada para pelajar, “bagaimana untuk kita selesaikan masalah ini?” Bertepatan dengan tamat soalan saya, Mr Minecraft mengangkat tangan sambil menjawab “Jawapannya 5/6!”

Kelas terdiam seketika ibarat kedengaran bunyi alunan-alunan suara cengkerik. “Betul Mr Minecraft” di dalam hati saya terdetik persoalan, adakah beliau masih ‘hentam’ atau betul-betul berfikir dan mengira? Saya sudah pelik, apatah lagi rakan-rakan sekelasnya. Terdiam semua. Masing-masing cuba menjeling-jeling mata ke arah yang lain. Saya pun terus menulis soalan kedua, iaitu 1/4 + 2/3. Selang beberapa saat, beliau mengangkat tangan dan menjawab “11/12!!” SubhanAllah. Tepat sekali lagi. Saya cuba memberikan beberapa soalan ringkas yang lain dan beliau berjaya menjawab kesemuanya.

“Adakah Mr Minecraft sudah berubah?” detik hati saya.

Illustrasi pembahagian Fungsi Otak

Illustrasi pembahagian Fungsi Otak

Saya pun cuba sesuatu yang pelik. Saya kembali ke soalan 3 bulan lepas. Saya tanya beliau. “Mr Minecraft, cuba jawab soalan darab ini 3×2 sama dengan?” Jawapan yang diberikan sungguh memeranjatkan semua orang. Saya juga terkejut dan tersenyum. Beliau menjawab 10. Dan saya beri satu lagi soalan, apakah 3×4? Beliau jawab 20. Dengan perasaan gembira, saya menyuruhnya duduk. Bagi saya ini adalah satu perkara yang sangat unik dan ajaib.

Apa yang saya faham dari situasi Mr Minecraft ini? Beliau tidak dapat menyelesaikan soalan-soalan mudah seperti 3×2 dan 4×3 tetapi beliau mampu menyelesaikan soalan-soalan seperti 1/2 + 1/3 dan 1/4 + 2/3 yang mana ia memerlukan kemahiran darab di dalamnya. Dan untuk pengetahuan semua, sepanjang tajuk pecahan berjalan, beliau berjaya menyelesaikan kebanyakan soalan-soalan Pecahan ketika pelajar-pelajar lain masih terpinga-pinga untuk melakukannya. Saya sungguh kagum dengan beliau dan saya terus menerus memuji beliau dengan harapan beliau akan lebih bersemangat dalam mempelajari Matematik.

Buat rakan-rakan sekelasnya, beberapa kali saya menasihati mereka agar jangan merendahkan atau mengejek rakan lain yang tidak dapat menjawab sesuatu soalan yang saya ajukan. Ini adalah satu budaya yang tidak sihat. Tindakan itu akan mengurangkan semangat dan motivasi pelajar yang diejek untuk belajar. Ini terbukti apabila Mr Minecraft beberapa kali tidak masuk ke dalam kelas saya. Dan keduanya, mereka sudah merasai malu sendiri ketika soalan pecahan hanya dapat dijawab oleh Mr Minecraft. Allah S.W.T. menyebutkan di dalam Al-Quran :

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

(Surah Al-Hujurat 49 : 11)

Setiap manusia itu Allah S.W.T. ciptakan berbeza-beza. Setiap satu pelajar di ASIQS juga begitu. Setiap mereka mempunyai bakat yang unik dan berbeza daripada orang lain. Jadi janganlah kita merendahkan seseorang dengan hanya dia tidak dapat melakukan apa yang kita tahu. Lagi-lagi jika perkara itu sangat mudah bagi kita. Kita tidak tahu apakah pemahaman dan perspektif seseorang itu terhadap sesuatu perkara. Jika kita meletak ukuran kepada sesuatu yang kita rasakan mudah, maka kita sudah berlaku tidak adil. Seorang Arab akan mengatakan anak-anak orang Perancis itu bodoh dengan hanya kerana anak Perancis tidak memahami ayat Al-Quran yang berbahasa Arab. Si ikan akan mengatakan Lembu itu lemah kerana tidak mampu menahan nafas di dalam air untuk 10 minit. Perkara-perkara sebegini harus dielakkan. Raikan kelemahan, Manfaati kelebihan.

(Tulisan ini masih belum tamat..)

Selang beberapa hari, ketika saya sedang melakukan kerja di meja pejabat saya, datang seorang pelajar ASIQS ke bilik saya. “Abang AB, ada orang nak jumpa kat bawah.” Saya pun menghentikan kerja saya, bersiap untuk turun ke bawah. “Siapa pula yang mahu jumpa saya petang-petang sebegini?”. Saya pun turun ke bawah dan masuk ke kafeteria. Seorang wanita sedang duduk di situ dan menyapa saya. “Assalamualaikum, abang AB ya?” saya pun mengangguk tanda mengiyakan pertanyaan beliau. “Siapa puan ya? Apa yang boleh saya bantu?”

“Saya ibu kepada Mr Minecraft.”

(Tulisan tamat.. Kisah bersambung…)

Kelas Matematik ASIQS 2012


  • 0
Semua ramai-ramai

QCS Trip : Pasir Salak, Perak

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, pada 28-29 Julai 2017 yang lepas, pihak Quranic Civilisation & Sociology (QCS) ASIQS telah menjalankan sebuah lawatan sambil belajar ke Pasir Salak, Perak. Lawatan julung-julung kali ke Pasir Salak ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengkaji dengan lebih mendalam berkenaan satu kisah sejarah yang besar di negara kita yang tercinta, Malaysia. Tambahan pula, pihak ASIQS ingin pelajar-pelajar ASIQS melihat dengan anak mata sendiri lokasi kejadian yang bersejarah ini kerana dengan melihat, pemahaman seseorang pelajar akan sesuatu kisah itu akan lebih mantap.

IMG_0594

Abang Rafiq di hadapan Sebuah Rumah Perak lama di Kubu Dato’ Maharajalela

Tugu

Tugu Peringatan Pasir salak

Seramai 25 orang pelajar Level dan 5 orang guru pengiring mengikuti lawatan ini. Kami bertolak tepat jam 3.30 petang 28 Julai dan tiba di Kampung Gajah sekitar jam 7.30 malam. Perjalanan yang panjang itu membuatkan kami bertambah teruja dan tidak sabar-sabar untuk menjejakkan kaki ke bumi bersejarah, Pasir Salak. Gelagat pemandu bas, abang Arasu yang sungguh lucu dan mencuit hati juga menghilangkan perasaan mengantuk kami pada hari itu.

Setibanya di Chalet Insan, Kampung Gajah, kami mempersiapkan diri, bersolat Maghrib dan menjamu makanan malam yang telah disediakan oleh Pak Daud, pengusaha chalet. Suasana di chalet ini sangat tenang di waktu malam. Berhadapan dengan Sungai Perak, suasana sunyi diselang seli dengan bunyi air sungai yang mengalir membawa kami seakan-akan ke zaman dahulu. Ya, Sungai Perak inilah saksi kepada kejadian pembunuhan J.W.W. Birch sekitar 110 tahun yang lalu. Di sungai ini jugalah mayat J.W.W. Birch dihanyutkan setelah ditikam oleh pejuang-pejuang Melayu angkara kebiadaban dirinya sendiri.

Selesai menjamu selera, tibalah Sesi pertama iaitu sesi penceritaan kisah sejarah Pasir Salak yang dikendalikan oleh Abang Rafiq dan Abang Saiful. Berlatarbelakangkan alunan muzik yang sesuai, mereka berdua berjaya membawa kisah sejarah ini dengan sangat efektif. Berkali-kali pihak QCS memperingatkan para pelajar agar mengkaji dan mencintai sejarah negara kita kerana ia banyak memberi tauladan dan manfaat kepada generasi-generasi yang akan datang. Selesai sesi 1 ini, pelajar dibenarkan untuk berehat dan tidur sebelum memulakan aktiviti esok.

PEMBUNUHNAN BIRCH

Sebuah Diorama di dalam Terowong Masa yang menunjukkan Raja Abdullah menandatangai Perjanjian Pangkor 1874

Semua ramai-ramai

Pada hari kedua, pelajar-pelajar ASIQS memulakan hari mereka dengan sedikit riadah bersama Abang Saiful sebelum menikmati sarapan pagi yang disediakan oleh pihak Chalet Insan. Setelah selesai bersarapan dan bersiap, kami memulakan perjalanan menuju Kompleks Sejarah Pasir Salak, Perak. Setibanya di sana, kami memulakan program dengan memasuki Terowong Masa Diorama Perak. Sebuah terowong masa yang sangat menarik padat dengan isi-isi dan fakta sejarah semenjak penempatan awal di Perak sehinggalah ke peristiwa Kemerdekaan Negara Malaysia. Berada di dalam terowong ini merupakan satu pengalaman yang sungguh menarik buat kami tenaga pengajar dan para pelajar.

Selesai mengembara di dalam terowong masa, kami mula melawat di persekitaran kawasan Kompleks Sejarah ini. Di sekitar kompleks inilah terdapatnya lokasi-lokasi bersejarah yang berkaitan dengan peristiwa pembunuhan Birch di Pasir Salak. Butir-butir lokasi lawatan ada dikongsikan di dalam video yang disertakan di bawah.

Selesai menziarahi Kompleks Sejarah Pasir Salak dan kawasan sekitar, kami memulakan perjalanan pulang ke Shah Alam. Dalam perjalanan, kami berhenti sebentar di Teluk Batik untuk makan tengahari sambil menikmati keindahan pantai. Diharap semua pelajar berpuas hati dan mendapat manfaat dari lawatan kali ini. Insya Allah akan diadakan lagi lawatan-lawatan seumpama ini di masa akan datang.

kubur seputum

Penghormatan buat Seputum, Pahlawan Pasir salak