t>

Monthly Archives: July 2016

  • 0

Lawatan ke MyWelfare, Selayang

Family Photo

Assalamualaikum. Pada 25 Jun 2016 yang lepas, bersamaan dengan 20 Ramadhan 1437H, bersempena dengan bulan Ramadhan yang mulia, pihak ASIQS telah mengadakan satu lawatan ke MyWelfare, Selayang. Sebagai sebahagian daripada skop pelajaran subjek Quranic Civilisation & Sociology (QCS), lawatan ini selain bertujuan membantu saudara-saudara seIslam yang kurang bernasib baik, ia juga membantu para pelajar ASIQS menghayati serta memahami bentuk-bentuk penderitaan yang sedang terjadi di dunia kini. Apa yang dibaca daripada artikel-artikel atau laman sosial, tidak akan sama dengan sesuatu yang dilihat dan dialami dengan mata sendiri.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada Puan Badariah selaku Bendahari MyWelfare kerana sudi bekerjasama dengan pihak ASIQS dalam menjayakan lawatan ini. Terima kasih juga diucapkan kepada ibubapa pelajar-pelajar ASIQS beserta guru-guru ASIQS yang sudi meluangkan masa menyumbang dalam menjayakan lawatan ini.

Setibanya kami di MyWelfare sekitar jam 11:30 pagi, kami diberikan taklimat ringkas mengenai pusat MyWelfare ini oleh Ustaz Rafik. Ustaz Rafik merupakan salah seorang pengasas dan juga guru di pusat MyWelfare ini. Semasa taklimat ringkas sedang disampaikan, barulah kami faham bahawa pusat MyWelfare ini merupakan antara pusat kaum Rohingya yang ‘special’. Ini kerana, berbanding pusat-pusat Rohingya yang ada di Malaysia, di MyWelfare ini menempatkan pelajar-pelajar kecil yang mengalami ketakutan atau ‘trauma’. Kebanyakan mereka pernah melihat sendiri bagaimana ibubapa mereka dibunuh di depan mata mereka sendiri ketika di negara asal mereka. Apabila melihatkan pelajar-pelajar yang ada di sini masih kecil dalam lingkungan usia 4-6 tahun, ia menambahkan lagi sebak dan pilu di hati warga ASIQS.

Encik Rafik

Taklimat Ringkas oleh Ustaz Rafik daripada MyWelfare

IMG_5974

Mudir ASIQS, Ustaz Idris bersama anggota kumpulan beliau

IMG_5987

Adik Ziyyad daripada ASIQS (Tengah) bersama-sama rakan barunya daripada MyWelfare

Rombongan ASIQS melibatkan lebih kurang 15 orang guru, 20 orang pelajar dan sebilangan besar ibubapa pelajar ASIQS yang sudi meluangkan masa bersama-sama adik-adik Rohingya ini. Setelah taklimat ringkas diberikan, Abang Saiful, sebagai wakil ASIQS mengambil alih majlis dengan menjalankan sesi suai kenal di antara warga ASIQS dan warga MyWelfare. Kebanyakan adik-adik MyWelfare ini boleh memahami Bahasa Melayu, namun menghadapi kesukaran untuk membalas perbualan. Memang tidak dinafikan, ada di antara mereka yang mempunyai personaliti lucu dan comel memandangkan ianya memang lumrah bagi kanak-kanak. Cahaya kegembiraan jelas terlihat di wajah anak-anak ini yang sememangnya dahagakan kegembiraan setelah sekian lama menderita.

IMG_5973

Seorang Ayah pelajar ASIQS, Abang Ashraf (ASIQS) dan ahli kumpulan mereka

IMG_5964

Kumpulan Abang Rafiq (ASIQS) merupakan yang paling ceria dan menghiburkan. Pembantu kesetiaan Abang Rafiq, iaitu Abbas Khan (MyWelfare) sungguh membantu keberkesanan kumpulan ini

IMG_5962

Ustaz Basir (ASIQS) memimpin ahli kumpulannya

Program

Guru-guru Wanita ASIQS juga tidak melepaskan peluang berkongsi ilmu bersama adik-adik perempuan MyWelfare

Program seterusnya ialah beberapa program permainan yang dikelolakan oleh Abang Saiful dan Abang AB. Program-program yang mewajibkan penglibatan guru-guru dan pelajar ASIQS bersama adik-adik Rohingya ini sungguh menghiburkan. Kesemua pihak memainkan peranan mereka masing-masing dengan efektif. Ada ketika dilihat ibubapa dan para guru ASIQS sanggup melakonkan aksi-aksi yang menakjubkan bagi menyampaikan mesej kepada adik-adik Rohingya demi memberi kefahaman kepada mereka. Permainan-permainan ini dipenuhi dengan tawa dan riang.

Ada satu ketika, Ustaz Rafik bertanyakan kepada salah seorang adik Rohingya “Apakah perasaan awak dengan kedatangan mereka semua ke sini?” Adik itu hanya tersenyum dan menunjukkan reaksi bahawa dia sungguh gembira dan bahagia mendapat teman-teman sepermainan pada hari itu.

Program diakhiri dengan sesi bergambar, doa pimpinan Ustaz dari MyWelfare dan seterusnya bersurai. Diharap pihak MyWelfare terus diberikan kemudahan dan keberkatan dalam membantu golongan-golongan yang kurang bernasib baik ini. Buat warga ASIQS, diharap kita akan terus istiqamah dalam meneruskan perjuangan ASIQS membantu golongan-golongan sebegini di masa hadapan. Bersesuaian dengan Tema MyWelfare iaitu “Every Act of Kindness if Charity”, marilah kita sama-sama bersedeqah sebagaimana yang dituntut oleh baginda Rasulullah S.A.W.. Ini semua bertujuan untuk memperkuat dan membangunkan Umat Islam itu sendiri.

Bagi mereka yang ingin menyalurkan sumbangan atau sebarang idea atau cadangan buat pihak MyWelfare, bolehlah menghubungi ASIQS atau nombor yang tertera di bawah ini:

Poster

“Jika kita tidak mampu untuk tersenyum, maka ukirlah senyuman pada bibir orang lain….”

 

WAllahu a’lam.

Yang menjalankan tugas,

AB.