t>

Monthly Archives: January 2017

  • 0

Hari Terbuka ASIQS 2017

IMG_9053

Adik Ahmad Hazim merupakan penerima anugerah Pelajar Terbaik IGCSE

Assalamualaikum. Pada 21 Januari 2017 yang lepas, telah berlangsung satu majlis Hari Terbuka ASIQS bagi tahun 2017. Majlis ini diadakan bertujuan untuk memberikan penghargaan buat pelajar-pelajar ASIQS yang menjalankan persekolahan mereka sepanjang tahun 2016 yang lepas. Di samping pemberian penghargaan,  majlis pertama bagi tahun 2017 ini juga bertujuan merapatkan lagi silaturrahim di antara pelajar, guru dan juga ibubapa di ASIQS.

IMG_9047

Encik Mohd Ashraf sedang membentangkan projek F.A.S.T. kepada para tetamu

Sepanjang 6 tahun beroperasi, kerjasama yang erat di antara pihak sekolah dan ibubapa ternyata merupakan antara faktor terbesar yang membolehkan ASIQS terus bergerak dan berkembang lebih maju ke hadapan. Begitulah sepatutnya sistem pendidikan yang indah di mana kesemua pihak bersama-sama mengambil bahagian dalam membentuk peribadi anak-anak masing-masing. Perkara ini seiring dengan apa yang disebut Allah S.W.T. di dalam Al-Quran yang berbunyi :

“Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.”

(Surah Al-Anfal 8 : 28)

Apabila Allah S.W.T. menyatakan ianya sebagai ujian, jadi ianya haruslah dijaga dan diuruskan dengan penuh amanah, bukan sekadar membiarkan ia diuruskan oleh sesuatu badan atau organisasi tanpa mempedulikan apa yang akan terjadi kepadanya. Alhamdulillah sehingga saat ini, ASIQS mempunyai majoriti ibubapa yang amanah dan sentiasa sedia membantu kami apabila kami memerlukan.

IMG_9092

Majlis yang bermula pada jam 8.30 pagi itu dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Basir dan kemudian disambung dengan sebuah pembentangan mengenai satu projek baru di ASIQS yang diberi nama “F.A.S.T.” yang akan dilancarkan pada tahun ini. Kandungan dan intipati program ini masih di peringkat akhir persiapan dan bakal dilancarkan pada bulan Mac 2017. Maklumat lanjut mengenai program F.A.S.T. ini akan dimaklumkan dari masa ke semasa di laman web ASIQS ini. Secara ringkasnya, ia merupakan sebuah program yang dirangka bagi memantau dan memperbaiki Akhlak di kalangan pelajar dan juga warga ASIQS yang lain.

Acara kemuncak majlis Hari Terbuka ASIQS 2017 ialah upacara penyampaian sijil penghargaan kepada para pelajar ASIQS yang mempamerkan pencapaian cemerlang sepanjang tahun 2016 di ASIQS. Pencapaian ini merangkumi semua aspek termasuklah akademik, hafazan, akhlaq, kebersihan dan penglibatan di dalam kelas. Anugerah khas juga disampaikan kepada bekas-bekas pelajar ASIQS yang menamatkan pengajian mereka di ASIQS dengan mengambil peperiksaan IGCSE sepanjang tahun 2016. Upacara penyampaian sijil diselesaikan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah ASIQS dan juga Mudir ASIQS. Kehadiran tetamu dari kalangan ibubapa yang ramai ditambah dengan celoteh pengerusi majlis yang menghiburkan ternyata menambah keceriaan majlis tersebut.

Majlis ditamatkan dengan sesi jamuan ringkas dan waktu ini merupakan peluang yang terbaik bagi setiap cikgu cuba berkenalan dan berkongsi pengalaman antara guru dan ibu bapa yang hadir. Majlis tempoh hari turut dihadiri beberapa orang tetamu luar yang ingin merasakan sedikit sebanyak pengalaman indah berada di ASIQS. Diharap dengan sokongan dan motivasi yang dikongsikan akan dapat digunakan oleh warga ASIQS untuk terus berjuang dalam mendidik anak-anak kecil yang bakal menerajui negara kita satu masa nanti. Wallahu a’lam.

 [metaslider id=961]


  • 0

Sesi Persekolahan 2017

IMG_6662

Assalamualaikum. Pertama sekali diucapkan Selamat Tahun Baru 2017 buat semua warga ASIQS dan pengunjung laman web kami. Alhamdulillah dengan izin Allah S.W.T., ASIQS telah melangkah masuk tahun ke-6 operasi dan ini tidak akan berlaku tanpa sokongan dan sumbangan yang telah diberikan oleh beberapa insan mulia yang tanpa jemu-jemu terus membantu kami dalam apa jua bidang yang termampu. Sebagai balasan, insya Allah untuk tahun 2017 ini akan kami rancang dan rangkakan beberapa program baru bagi membantu perkembangan ilmu pengetahuan di kalangan anak-anak tuan puan sekalian.

Minggu pertama persekolahan ASIQS telah berlalu bermula pada 9 Januari 2017 yang lepas. Alhamdulillah kami menerima bilangan pelajar baru yang agak memberangsangkan di samping beberapa orang pelajar  yang telah menamatkan persekolahan mereka pada tahun 2016 yang lepas. Menjadi tradisi persekolahan ASIQS, 3 hari pertama dalam minggu pertama persekolahan akan diadakan minggu orientasi buat pelajar-pelajar. Minggu orientasi ini bertujuan memudahkan pelajar-pelajar (yang baru terutamanya) untuk membiasakan diri dengan sistem pembelajaran di ASIQS dan juga membuat kawan baru dengan pelajar-pelajar ASIQS yang lain.

Pelbagai aktiviti disediakan dalam minggu orientasi ini termasuklah permainan, praktikal dan juga latihan di dalam kelas (LDK). Hasil pemantauan pihak ASIQS, ternyata majoriti pelajar berasa seronok dan menghayati perjalanan keseluruhan program dengan jayanya. Berikut disertakan sebuah video yang memaparkan sedutan-sedutan perjalanan minggu orientasi ASIQS tahun 2017.