t>

Monthly Archives: July 2017

  • 0

Siapa Dato’ Maharajalela

CEYl88_UkAENH7j

Perjuangan Dato’ Maharajalela atau Pandak Lam menentang British merupakan satu perjuangan yang suci dan murni.

Beliau tidak mahu mengotorkan dirinya menjadi pencacai dan pengampu si zalim British.

Sebaliknya dengan penuh strategi demi mempertahankan sistem tradisional di Perak yang diganggu gugat oleh pihak British melalui pengenalan Sistem Residen, Dato’ Maharajalela telah merancang untuk menjatuhkan Residen yang bakal dilantik itu.

Sebagai seorang pembesar di Perak, beliau antara tokoh yang dianggap berwibawa dan begitu dihormati oleh penduduk.

Keprihatinan beliau membela nasib rakyat dan menghalang gangguan British mendapat sokongan ramai. Seruan beliau agar mengatur rancangan menghalang pertapakan British telah mengundang ramai pengikut, bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu malahan juga orang asli sendiri, antaranya Seputum yang ditugaskan untuk membunuh J.W.W.Birch.

Untuk pengetahuan anda, Dato’ Maharajalela berketurunan Daeng Salili, anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi.

Tidak hairanlah, jika darah kepahlawan Bugis mengalir dalam dirinya. Beliau pantang berundur, apa yang dikatakan akan dikotakan.

Ketika penentangan dilancarkan ke atas British di Pasir Salak, Perak. Negeri Perak waktu itu merupakan dipimpin oleh Sultan Muzaffar Shah III.

Pengetahuan agama dan ketinggian keperibadiannya, menyebabkan beliau dilantik sebagai mufti Perak dan dianugerahkan gelaran Dato’ Maharaja Lela Tan Lela dengan kuasa yang boleh memancung tanpa bertanya.

Gerakan penentangan terhadap British oleh beliau di Perak turut disertai oleh ramai golongan bangsawan dan rakyat jelata. Antara yang sama-sama berjuang dengan beliau ialah Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja, yang lebih dikenali dalam kalangan penduduk dan tercatat dalam buku sejarah sebagai Dato’ Sagor’, juga Ngah Kandin, Raja Abdullah dan Ngah Ibrahim.

Perancangan beliau ternyata licik sehingga segala yang dirancang dapat berjalan dengan lancar.

Semuanya bermula rentetan mesyuarat yang diadakan bersama-sama dengan orang-orang bangsawan anti-British dan pengikutnya di Durian Sebatang pada 21 Julai 1875, iaitu 6 bulan setelah sistem Residen diperkenalkan di Perak.

Dalam perjuangan ini beliau mendapat restu daripada Raja Abdullah dan Raja Ismail serta mendapat sokongan daripada penduduk sekitar Pasir Salak dan Kampung Gajah.

Penglibatan Dato’ Maharajalela sebagai tokoh utama dalam pembunuhan J.W.W.Birch mendapat sanjungan rakyat Perak, namun terdapat tali barut dalam kalangan orang Melayu sendiri yang melaporkan kepada British tentang penglibatannya sebagai pelaku utama dalam rancangan membunuh Birch hingga beliau akhirnya ditangkap dan dibicarakan secara tidak adil oleh Mahkamah.

Akhirnya pahlawan yang gagah berani Perak ini dijatuhi hukuman gantung, bersama-sama Dato’ Sagor dan Seputum manakala pembesar yang lain dibuang negeri ke Pulau Sychelles.

Nama Dato’ Maharajalela sebagai pengasas kebangkitan Perak akan terus diingati dan dikenang sehingga terkorban bagi mempertahankan prinsip perjuangan.

Sikap dengki, iri hati dan pengkhianatan golongan bangsawan dalam kes Dato Maharajalela menyedarkan kita bahaya perpecahan yang melanda orang Melayu.

Perjuangan beliau menjadi iktibar dan semangat buat orang Melayu untuk terus bersatu mempertahankan segala yang telah diperjuangkan.

Kisah Dato’ Maharajalela telah membuktikan kewujudannya bukanlah satu mitos tetapi merupakan kenyataan yang boleh dijadikan tauladan buat generasi kini, di mana kewujudan beliau telah tercatat pada tugu peringatannya.

Semoga Allah S.W.T. mengampuni semua dosa-dosa Dato’ Maharajalela dan sahabat-sahabatnya yang menentang kezaliman dan pembohongan yang dilakukan oleh si penjajah British. Moga beliau dan rakan-rakannya ditempatkan bersama-sama Saidina Hamzah R.A. dan Saidina Hussain R.A. di alam sana. Amin…

Terima Kasih Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor, Seputum dan sahabat-sahabat kalian yang telah mengajar kami erti kemerdekaan dan perjuangan menentang kezaliman.


  • 0

Bohong

Sebab utama kenapa anak-anak bercakap bohong adalah mereka berasa takut kepada ibubapa.

Sedar ataupun tidak, kadang-kadang tingkah laku yang kita lakukan telah menyebabkan anak-anak kita berasa takut kepada kita.

Takut atas ancaman
Takut atas penghinaan
Takut akan hukuman dan lain-lain.

Akibat rasa takut inilah anak-anak mencari ruang untuk bercakap bohong supaya mereka bebas dari ketakutan itu.

Percaya ataupun tidak sikap bohong ini akan terus parah jika tidak dibendung dari awal.

Bohong merupakan penyakit yang menghinggapi masyarakat di segala zaman. Ia adalah penyebab utama bagi timbulnya segala macam bentuk kejelekan dan kerendahan.

Suatu masyarakat tidak akan lurus selamanya jika perbuatan bohong ini bermaharajalela di dalam diri setiap manusia. Dan suatu bangsa tidak akan mencapai tangga kemajuan rohani kecuali jika berlandaskan pada kejujuran.

Perbuatan bohong akan menimbulkan rasa saling membenci antara sesama manusia. Rasa saling mempercayai antara sesama manusia akan hilang akibat daripada penyakit bohong.

Lalu akan terciptalah suatu bentuk masyarakat yang mementingkan diri sendiri, saling tidak hormat antara satu sama lain dan sikap egois yang tinggi dalam diri sendiri.

Pasa masa itu, nilai murni seperti saling tolong-menolong, gotong royong dan menghormati antara sesama manusia sudah tiada nilai yang tinggi dalam sesuatu masyarakat itu.

Apabila bohong sudah bermaharajalela ke dalam tubuh masyarakat, maka hilanglah rasa senang dan keakraban antara anggota-anggotanya.

Jelas, kesannya yang sangat negatif dan membahayakan masyarakat, sebab itu Islam melarang perbuatan bohong dan menganggap perbuatan ini sebagai salah satu dosa yang perlu ditinggalkan.

Di dalam Al Quran yang kita sayangi terdapat beberapa ayat yang ditekankan agar manusia meninggalkan perbuatan buruk ini. Ayat-ayatnya seperti berikut :

اِنَّ اللّٰهَ لَا يَهْدِيْ مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ كَذَّابٌ
“Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta.”

(QS Ghafir : 28).

ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَّعْنَتَ اللّٰهِ  عَلَى الْكٰذِبِيْنَ
“Kemudian marilah kita bermubahalah (bersumpah) kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta”

(QS Ali Imran : 61).

Kemudian Nabi Muhammad S.A.W. pernah berwasiat agar kaum muslimin berpegang teguh pada kejujuran dan membuang jauh-jauh sifat bohong.

Dalam hadis berikut Rasulullah S.A.W. bersabda :

ان الصدق يهدى الى البر, ان البر يهدى الى الجنة, وان الرجل ليصدق حتى يكتب عند الله صديقا, وان الكذب يهدى الى القجور وان الفجور يهدى الى النار وان الرجل ليكذب حتى يكتب عند الله كذابا (رواه البخارى و مسلم

“Sesungguhnya kejujuran akan menunjukkan kepada kebaikan, dan kebaikan itu akan menghantarkan kepada syurga. Seseorang yang jujur kepada Allah, mereka akan dicatat sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya sifat bohong itu akan membawa kepada kezaliman, dan kezaliman itu akan menghantarkan manusia ke arah neraka. Seseorang yang terus menerus berbuat bohong akan ditulis oleh Allah sebagai pembohong.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim )

Di kesempatan yang lain, Rasulullah S.A.W. pernah bersabda :

اية المنافق ثلاث : اذا حدث كذب واذا وعد أخلف واذا ؤتمن خان

“Petanda orang yang munafik ada tiga:

1) Apabila berbicara, dia bohong.

2) Apabila berjanji, dia mengingkari janjinya.

3) Apabila diberi kepercayaan, dia mengkhianatinya.

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, ibu bapa hendaklah sentiasa memerhati sikap mereka pada anak-anak. Jauhi dari sikap keras pada anak-anak, hampirilah anak-anak dengan penuh hikmah. Agar anak-anak akan terus berkeyakinan dengan diri mereka dan menjauhi sifat bohong.

#pendidikanbermuladarirumah

#ibubapacerminananakanak


  • 0

Bulan QLS ASIQS

Penyediaan Tempat Sarapan oleh Pelajar-pelajar

Penyediaan Tempat Sarapan oleh Pelajar-pelajar

Assalamualaikum. Pada 17 Julai 2017 yang lepas, bermulalah bulan Quranic Living Skills (QLS) ASIQS. Program yang julung-julung kali diadakan ini tidak lain dan tidak bukan bertujuan untuk memantapkan lagi kemahiran-kemahiran kehidupan seharian anak-anak ASIQS seperti memasak, membancuh minuman, mengemas, menanam dan mencuci.

Ia juga sejajar dengan misi ASIQS dalam mendidik anak-anak mengenai sifat Fathonah, Amanah, Siddiq dan Tabligh agar anak-anak sentiasa mengamalkan keempat-empat sifat ini dalam kehidupan seharian mereka.

Sebelum kita pergi jauh tentang program ini, baik kita mengenali dulu apakah itu subjek QLS? Subjek ini merupakan satu subjek yang menekankan tentang kemahiran-kemahiran yang dipraktikkan dalam kehidupan seharian yang seharusnya ada dalam jiwa seorang Muslim di atas dunia ini.

Kemahiran-kemahiran yang ditekankan di dalam subjek ini bukan hanya kemahiran memasak, membancuh minuman, mengemas, bercucuk tanam, dan mencuci sahaja, tetapi juga mengenai pembangunan akhlak yang baik. Sejajar dengan tujuan utama Rasulullah S.A.W. diciptakan iaitu untuk menyempurnakan akhlak.

Dalam menghasilkan seorang insan yang berakhlak mulia, melalui penerapan ilmu-ilmu akademik yang berkualiti, anak-anak juga harus dilengkapi dengan ilmu-ilmu kemahiran yang asasi.

Ini kerana, kehidupan zaman sekarang sangat mengutamakan kemahiran-kemahiran asasi selain ilmu akademik.

Projek QLS ini juga merupakan satu subjek yang sangat relevan untuk diajar dan dipelajari oleh semua anak-anak.

Sepanjang 4 minggu bermula 17 Julai sehingga 11 Ogos 2017, anak-anak akan dibahagikan kepada 4 kumpulan yang akan menguruskan semua aktiviti sekolah pada waktu pagi.

Aktiviti-aktiviti yang telah dirangka ini juga adalah untuk membimbing anak-anak mengenai apa yang dimaksudkan dengan sifat “Amanah” dalam teknik-teknik pengurusan kumpulan dan pembahagian tugasan agar setiap “task” yang diberikan dapat dilakukan dengan jujur, baik dan cemerlang. Yang mana setiap kumpulan ini juga akan dipantau oleh guru-guru ASIQS yang unik dan sangat berdedikasi dalam mendidik anak-anak menjadi generasi Muhammad S.A.W. yang hebat dari segi rohani dan jasmani.

Sepanjang seminggu pertama program ini berlangsung pihak ASIQS dapat menyaksikan banyak perkara-perkara yang sangat-sangat menarik dan mencuit hati daripada anak-anak ASIQS. Ada sebahagian dari mereka yang kelihatan mahir dalam melakukan tugasan-tugasan yang diberikan dan ada juga yang kekok kerana tidak pernah dilatih atau melakukan kerja-kerja rumah yang diberikan.

Islam sangat menganjurkan untuk umatnya agar sentiasa menjaga silaturrahmi sesama insan. AlhamduLILLAH melalui program ini anak-anak telah menunjukkan jalinan silaturrahim yang sangat mencengangkan diantara mereka sejajar dengan firman Allah S.W.T.

وَمَا يَنطِقُ عَنِ ٱلْهَوَىٰٓ

Dan tiadalah yang diucapkannya itu menurut kemauan hawa nafsunya.

إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْىٌۭ يُوحَىٰ

Ucapannya itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya” [QS An Najm : 4-5]

Yang mana berpesan-pesan dalam kebaikan merupakan sifat “Siddiq” yang perlu ada dalam diri anak-anak. Yang mana bukan hanya perkataannya sahaja yang benar tetapi juga tindakannya juga harus dalam kebenaran.

Sebagai contoh mereka sentiasa saling nasihat-menasihati dalam melakukan sesuatu tugasan, yang lebih berusia pula akan menjaga adik-adik mereka yang lebih muda.

Anda percaya ataupun tidak, sebenarnya yang lebih mengagumkan adalah anak-anak seawal usia 7 tahun mula tahu cara-cara untuk menanam bawang, taugeh dan pak choy!! Menarik bukan?

Melalui program ini juga kita dapat melihat anak-anak begitu bersemangat dalam melakukan setiap tugasan yang diberikan oleh ketua kumpulan mereka. Mereka kelihatan seperti “lipas kudung” dalam melakukan tugas yang diamanahkan kepada mereka, dan mereka dapat melakukannya dengan jayanya tanpa sebarang kecacatan setelah dilatih berulang-ulang kali!!

Inilah faktor yang ditekankan di ASIQS dalam menghidupkan  jiwa Fathonah (Cerdas) dalam diri anak-anak.

Kita juga dapat melihat sifat “Tabligh” (menyampaikan) dalam  diri anak-anak. Di sini anak-anak secara tidak langsung belajar teknik-teknik menyampaikan sesuatu arahan atau permintaan dengan penuh hikmah. Hasil daripada ini kita dapat melihat anak-anak foundation begitu bersungguh-sungguh secara sukarela ingin melakukan apa saja kerja yang bakal diminta oleh ketua kumpulan mereka atau guru-guru yang bertugas.

Ada sebahagian anak-anak di ASIQS yang menampakkan perubahan ketara sepanjang seminggu program Bulan QLS ini berlangsung. Anak-anak yang sebelum ini kelihatan agak muram dan pendiam sudah mula aktif dan ceria untuk datang ke sekolah.

Minat dan kecenderungan anak-anak ke arah kerja-kerja kebajikan ini tidak sepatutnya dipandang remeh malah sepatutnya diraikan oleh semua pihak.

Moga usaha ASIQS dalam tempoh 4 minggu ini akan membuahkan hasil dan mendapat keberkatanNya. Semoga kami akan terus istiqamah dalam mencari kaedah-kaedah menarik dalam mendidik anak-anak ASIQS agar menjadi manusia yang berguna di masa hadapan.

Adik Adib dan Hamzah merupakan sebahagian daripada Team Bercucuk Tanam

Adik Adib dan Hamzah merupakan sebahagian daripada Team Bercucuk Tanam

[URIS id=1342]


  • 0

Diorama Pasir Salak, Perak :)

Suatu hari di Pasir Salak, Perak

Abang Mohamad Rafiq dan Uncle Saiful Anwar berjalan-jalan mencari Kubu Dato Maharajalela kerana menurut pegawai Kompleks Sejarah Pasir Salak, kubu tersebut telah dibiarkan tidak terjaga selepas bertukarnya Menteri Besar yang baru dan juga kerana ia tidak di bawah kelolaan Kompleks Sejarah Pasir Salak tetapi di bawah kelolaan Muzium Taiping.

Sedang mereka berdua mencari-cari kubu tersebut tiba-tiba abang Rafiq menahan seorang pemuda yang memandu motorsikal sambil membonceng rakannya:-

Abang Rafiq : Dik..dik..dik… (sambil tangannya melambai-melambai pemuda bermotorsikal itu).

Pemuda itupun memberhentikan motorsikalnya.

Pemuda : Ya, ada apa bang?

Abang Rafiq : Adik tahu tak di mana Kubu Dato Maharajalela?

Pemuda : Kubu?? (Dengan muka yang pelik, seolah-olah baru pertama kali mendengar perkataan itu, dan seperti tidak pernah dengar atau tahu bahawa di kampungnya ada “Kubu” pertahanan)

Pemuda itu menjawab lagi : Tidak tahu bang.

Abang Rafiq : Jika begitu tidak mengapalah. (Sambil mukanya tersenyum)

Apa moral yang kita dapat dari kisah ini?

1) Kurangnya pengetahuan anak-anak muda tentang peri pentingnya sejarah. Walaupun tempat sejarah itu berada di kampungnya sendiri.

2) Kurangnya sensitiviti masyarakat tentang nilai tempat-tempat sejarah yang boleh menghidupkan jiwa yang mati. Bukankah di dalam Al Quran juga banyak menceritakan tentang sejarah? Untuk dijadikan pedoman dan sempadan buat manusia? Fikirkan.

3) Hanya kerana perbezaan “Jurisdiction” banyak tempat-tempat sejarah dan bahan sejarah telah di sia-siakan oleh Pihak Berwajib.

4) Hanya dengan monumen-monumen tinggalan sejarah kita dapat mempelajari sejarah dengan lebih berkesan walaupun ia hanyalah sebuah kubur. Tetapi di situlah disemadikan tokoh penentang penindasan melawan penzalim yang serakah.

InsyaALLAH ASIQS akan datang hujung bulan ini untuk bertemu dan bersilaturahmi dengan Seputum, Dato Maharajalela dan Dato Sagor. Kepada si Zalim J.W.W. Birch, kami akan datang melihat tempat kematianmu.

🍂🍃🍂🍃🍁🍃🍂🍃🍂
اللهم صل على محمد وآل محمد
اللهم صل على محمد وآل محمد
اللهم صل على محمد وآل محمد
🍂🍃🍂🍃🍁🍃🍂🍃🍂


 


  • 0

Sambutan Hari Raya Aidil Fitri ASIQS 1438H

Assalamualaikum. Pada tanggal 7 Julai 2017 yang lepas, sambutan Hari Raya Aidil Fitri telah diadakan di Villa ASIQS, Bukit Bandaraya. Majlis ini hanyalah majlis kecil-kecilan disambut dengan aturcara majlis yang ringkas tetapi padat. Adik-adik ASIQS beserta para guru diminta untuk memakai pakaian raya yang lengkap bagi menambahkan lagi kemeriahan sambutan. Ini adalah kerana, satu sesi gambar yang rasmi akan diadakan pada hari yang sama. Hasilnya, hampir 90% pelajar berjaya mengenakan pakaian yang lengkap. Segak-segak semuanya pada hari itu.

Hari Jumaat yang mulia dimulakan dengan sesi bergambar. Kelas demi kelas bersilih ganti turun ke dataran ASIQS untuk mengambil gambar kelas masing-masing. Segak-segak semuanya. Beberapa saat-saat manis dan lucu berjaya dirakamkan oleh jurugambar professional, Abang Ami. Kemesraan dan keakraban antara pelajar sesama pelajar dan guru jelas terlihat dari tingkah laku masing-masing pada hari itu. Itulah keindahan silaturrahim, hanya dirasai oleh mereka-mereka yang ikhlas dalam mencarinya. Walaupun makin lama makin panas terik, ternyata tidak membantutkan keseronokan adik-adik untuk bergambar walaupun dengan berbaju melayu lengkap.

Akan tetapi, menurut tuan pengerusi majlis pada hari itu, iaitu Abang Rafiq, dengan berpakaian raya lengkap, makanan yang mewah dan lazat, bangunan yang cantik serta kawan-kawan yang ramai sahaja, masih belum lengkap erti sesuatu yang dipanggil “sambutan hari raya”. Jadi tanpa melengahkan masa, Abang Rafiq menjemput seorang anak murid kepada “Jamal Abdillah” untuk mengetuai bacaan takbir hari raya. Dan orang itu ialah dirinya sendiri, Abang Rafiq. Takbir pun dilaungkan dengan semangat yang tidak disangka-sangka. Betapa ikhlas dan merdunya suara semua yang ada di dalam dewan pada hari itu, menyucikan nama Allah S.W.T., Tuhan sekalian alam. Ada yang berkata “Eh, rasa macam baru nak raya betul-betul pula”.

Selesai Takbir Raya, majlis diteruskan dengan upacara penyampaian hadiah dan duit raya buat adik-adik ASIQS yang menyertai program Project Based Learning tempoh hari dan diikuti dengan majlis santapan juadah hari raya. Jamuan hari raya ASIQS sangatlah enak dengan kepelbagaian citarasa yang kebanyakannya telah disumbangkan oleh para ibubapa ASIQS. Masing-masing sibuk menjamah makanan sambil berkongsi pengalaman hari raya masing-masing, berlatar belakangkan lagu-lagu Hari Raya klasik, ianya sungguh membahagiakan. Hari Raya merupakan antara hari-hari yang digalakkan untuk bergembira, asalkan tidak melampaui batas dan bertetapan dengan syarak. Semoga kita semua diberkati sepanjang bulan Syawal ini dan dipanjangkan umur untuk berjumpa sekali lagi pada Ramadan yang akan datang.

“Katakanlah : “Dengan kurniaan Allah S.W.T. dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurniaan Allah S.W.T. dan rahmatNya itu adalah lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.”

(Surah Yunus 10 : 58)

[URIS id=1234]