t>

Daily Archives: July 4, 2017

  • 0

Majlis Berbuka Puasa dan ASIQS Brand Refresh

IMG_7982

Assalamualaikum. Pada 22 Jun 2017 bersamaan 27 Ramadan 1438H yang lepas, telah berlangsung satu majlis penting di ASIQS. Majlis ini adalah gabungan beberapa majlis penting sepanjang bulan Ramadan seperti :

  1. Majlis Penyampaian Sumbangan Let’s Sadaqah
  2. Majlis Berbuka Puasa di ASIQS
  3. ASIQS’ Brand Refresh
  4. Pameran “Project Based Learning” pelajar ASIQS
IMG_7983

Antara penerima sumbangan Let’s Sadaqah

Majlis dimulakan dengan acara sumbangan Let’s Sadaqah kepada pihak-pihak yang kurang bernasib baik yang telah didermakan oleh ibubapa dan juga warga-warga ASIQS sepanjang bulan Ramadan. Sumbangan berupa barang-barang keperluan harian beserta sedikit wang ringgit bertujuan meringankan sedikit beban mereka menjelang Hari Raya Aidil Fitri yang bakal tiba. Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Encik Mohd Mudasir bin Abdullah, Pengerusi ALP Al-Badr Curriculum SDN BHD.

Majlis berbuka puasa dan Solat Terawih berjemaah adalah antara saat-saat yang dinantikan oleh semua warga ASIQS setiap tahun kerana di sini kami boleh memperkukuhkan lagi silaturrahim di antara guru, pelajar dan ibubapa. Di samping bertukar-tukar juadah berbuka, kami boleh berpeluang berkongsi pengalaman dengan ibubapa dan para hadirin yang lain. Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran beberapa tokoh-tokoh penting yang pernah bersama-sama dengan kami sejak awal penubuhan ASIQS 6 tahun yang lepas. Perasaan terharu timbul di sanubari setelah melepaskan rindu dengan beberapa orang bekas pelajar ASIQS yang pernah berpengalaman berjuang menuntut ilmu bersama-sama kami sejak tahun 2011-2015 yang lepas. Kehadiran mereka beserta ibubapa mereka menaikkan lagi semangat kami dalam meneruskan misi sebagai seorang pendidik kerana, kehadiran mereka membuktikan wujud secebis rasa sayang mereka terhadap kami. Selain bekas pelajar dan ibubapa, beberapa orang bekas guru juga hadir atas dasar mengeratkan silaturrahim.

Apa yang lebih menarik mengenai majlis berbuka puasa di ASIQS tahun ini ialah hampir keseluruhan juadah makanan adalah merupakan sumbangan daripada para ibubapa dan guru-guru ASIQS. Rambang mata dibuatnya dengan pelbagai jenis juadah makanan untuk dipilih.

Selesai Berbuka Puasa dan Solat Maghrib, acara diteruskan dengan upacara ASIQS Brand Refresh. Bertepatan dengan bulan Ramadan tahun ini, genap sudah 6 tahun kami berada di dalam industri pendidikan ini. Pada tahun 2011, kami memulakan program bulanan dari masjid ke masjid sebelum betul-betul beroperasi sebagai sebuah sekolah pada tahun 2012 sehingga kini. Setelah 6 tahun, tibalah masanya untuk kami membuat sedikit perubahan di dalam ASIQS. Selain penggunaan logo baru ASIQS, buat pertama kali juga kami memperkenalkan maskot rasmi ASIQS iaitu arnab. Pertukaran logo dan pengenalan maskot baru ini tidak lain bertujuan menonjolkan imej yang lebih mantap dan bersesuaian dalam menempuh cabaran-cabaran baru dunia pembelajaran masa kini. Upacara pelancaran ini disempurnakan sekali lagi oleh Encik Mohd Mudasir bin Abdullah.

IMG_7981

Ahli Lembaga Pengarah bersama Banner Gimik Pelancaran

Majlis diteruskan dengan upacara kemuncak iaitu Pameran “Project Based Learning” yang dikendalikan oleh adik-adik pelajar Level ASIQS. Hampir keseluruhan pameran diilhamkan oleh para pelajar sendiri daripada persiapan peralatan, slide, video, alatan dan juga teks ucapan. Pelbagai jenis pameran disediakan buat tatapan hadirin termasuklah lakonan, demonstrasi, wayang kulit dan tayangan video yang berkisar mengenai kisah kitab suci kita iaitu Al-Quran. Hadirin seakan-akan dibawa kembali ke tahun 610 Masihi di mana Baginda Rasulullah S.A.W. mula-mula menerima wahyu yang pertama di Gua Hira’, dakwah Baginda S.A.W. secara sulit dan terang-terangan sehinggalah kesan-kesan Al-Quran ke hari ini. Selain itu, terdapat juga kisah-kisah tauladan dan iktibar dari Al-Quran seperti kisah Nabi Musa A.S. dan Nabi Yusuf A.S..

Para hadirin ternyata terhibur dan puas hati dengan pameran-pameran yang dipersembahkan. Ada yang menangkap gambar dan video sebagai kenang-kenangan, ada juga yang memberi komen-komen membina sebagai langkah penambahbaikan program masa hadapan. Ada beberapa tetamu yang memberikan pujian kepada adik-adik yang berani bercerita dan membentang persembahan mereka di khalayak ramai tanpa rasa takut dan gementar.

“Kemahiran-kemahiran sebeginilah yang diinginkan oleh kebanyakan Syarikat masa kini dalam mengambil pekerja baru. Ramai graduan ada ilmu pengetahuan, tetapi tidak mempunyai kemahiran-kemahiran untuk membentang dan bercakap macam mereka ini.” -Saudara Afandi Afzal, 32 tahun, Shah Alam.

Kami hanya mampu cuba yang terbaik semampu kami untuk mendidik generasi-generasi akan datang berpandukan ilmu-ilmu Al-Quran. Namun, usaha kami tidak akan berjaya untuk direalisasikan tanpa sokongan dan bantuan masyarakat awam dalam meneruskan zaman kegemilangan Islam yang pernah wujud suatu ketika dahulu lebih kurang 1000 tahun yang lepas.

[URIS id=1147]