t>

Daily Archives: July 11, 2017

  • 0

Sambutan Hari Raya Aidil Fitri ASIQS 1438H

Assalamualaikum. Pada tanggal 7 Julai 2017 yang lepas, sambutan Hari Raya Aidil Fitri telah diadakan di Villa ASIQS, Bukit Bandaraya. Majlis ini hanyalah majlis kecil-kecilan disambut dengan aturcara majlis yang ringkas tetapi padat. Adik-adik ASIQS beserta para guru diminta untuk memakai pakaian raya yang lengkap bagi menambahkan lagi kemeriahan sambutan. Ini adalah kerana, satu sesi gambar yang rasmi akan diadakan pada hari yang sama. Hasilnya, hampir 90% pelajar berjaya mengenakan pakaian yang lengkap. Segak-segak semuanya pada hari itu.

Hari Jumaat yang mulia dimulakan dengan sesi bergambar. Kelas demi kelas bersilih ganti turun ke dataran ASIQS untuk mengambil gambar kelas masing-masing. Segak-segak semuanya. Beberapa saat-saat manis dan lucu berjaya dirakamkan oleh jurugambar professional, Abang Ami. Kemesraan dan keakraban antara pelajar sesama pelajar dan guru jelas terlihat dari tingkah laku masing-masing pada hari itu. Itulah keindahan silaturrahim, hanya dirasai oleh mereka-mereka yang ikhlas dalam mencarinya. Walaupun makin lama makin panas terik, ternyata tidak membantutkan keseronokan adik-adik untuk bergambar walaupun dengan berbaju melayu lengkap.

Akan tetapi, menurut tuan pengerusi majlis pada hari itu, iaitu Abang Rafiq, dengan berpakaian raya lengkap, makanan yang mewah dan lazat, bangunan yang cantik serta kawan-kawan yang ramai sahaja, masih belum lengkap erti sesuatu yang dipanggil “sambutan hari raya”. Jadi tanpa melengahkan masa, Abang Rafiq menjemput seorang anak murid kepada “Jamal Abdillah” untuk mengetuai bacaan takbir hari raya. Dan orang itu ialah dirinya sendiri, Abang Rafiq. Takbir pun dilaungkan dengan semangat yang tidak disangka-sangka. Betapa ikhlas dan merdunya suara semua yang ada di dalam dewan pada hari itu, menyucikan nama Allah S.W.T., Tuhan sekalian alam. Ada yang berkata “Eh, rasa macam baru nak raya betul-betul pula”.

Selesai Takbir Raya, majlis diteruskan dengan upacara penyampaian hadiah dan duit raya buat adik-adik ASIQS yang menyertai program Project Based Learning tempoh hari dan diikuti dengan majlis santapan juadah hari raya. Jamuan hari raya ASIQS sangatlah enak dengan kepelbagaian citarasa yang kebanyakannya telah disumbangkan oleh para ibubapa ASIQS. Masing-masing sibuk menjamah makanan sambil berkongsi pengalaman hari raya masing-masing, berlatar belakangkan lagu-lagu Hari Raya klasik, ianya sungguh membahagiakan. Hari Raya merupakan antara hari-hari yang digalakkan untuk bergembira, asalkan tidak melampaui batas dan bertetapan dengan syarak. Semoga kita semua diberkati sepanjang bulan Syawal ini dan dipanjangkan umur untuk berjumpa sekali lagi pada Ramadan yang akan datang.

“Katakanlah : “Dengan kurniaan Allah S.W.T. dan rahmatNya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurniaan Allah S.W.T. dan rahmatNya itu adalah lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.”

(Surah Yunus 10 : 58)

[URIS id=1234]


  • 0

Kisah Pemuda Anatolia

Anatolia (Gambar sekadar hiasan)

Anatolia (Gambar sekadar hiasan)

Di dalam Al-Quran terdapat banyak kisah tauladan yang diturunkan untuk mengingatkan manusia. Salah satu daripada kisah-kisah ini ialah Kisah Pemuda Anatolia. Kisah ini tercatat di dalam Surat Yasin dari ayat 14-26. Sebagai umat Islam yang hidup di gugusan Nusantara ini, kita pasti sering membacakan Surah Yasin setiap minggu dan tanpa kita sedari, terdapat banyak kisah-kisah menarik yang diceritakan di dalamnya. Kisah ini ialah salah satu daripadanya.

Kisah ini dipercayai terjadi setelah pengangkatan Nabi Isa A.S. ke langit oleh Allah S.W.T.. Allah S.W.T. telah mengutuskan dua orang utusan kepada sebuah negeri dan penduduk negeri tersebut mendustakan apa yang dibawa oleh dua orang rasul – rasul Allah S.W.T. itu. Menurut kebanyakan riwayat, negeri ini bernama Anatolia iaitu sebuah negeri yang terdapat di Turki.

Setelah lama berdakwah dan gagal, hampir sahaja dua orang rasul itu ingin putus asa, kemudian Allah S.W.T. menguatkan seruan rasul-rasul itu dengan mengutuskan seorang lagi rasul. Rasul-rasul tersebut berkata “Sesungguhnya kami ini diutuskan kepada kamu.” (36:14) Harus difahami penggunaan perkataan Rasul di dalam kisah ini tidaklah bermaksud Rasul seperti para-para nabi, tetapi merupakan utusan yang disuruh oleh Allah S.W.T. untuk berdakwah. Adakah mereka benar-benar Rasul, atau adakah mereka golongan orang biasa, atau adakah sebenarnya kisah ini terjadi pada zaman sebelum Nabi Isa A.S.? hanya Allah S.W.T. yang lebih mengetahui.

Berbalik kepada kisah tadi, setelah mendengar ucapan para rasul itu, penduduk negeri itu menjawab “Kamu itu hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Maha Pemurah (merujuk tuhan kaum negeri itu) tidak menurunkan sesuatu pun (tentang agama yang para rasul dakwakan). Kamu ini hanyalah dusta semata-mata.” (36:15) Mereka sudah mula menjadi hilang sabar. Rasul-rasul itu menjawab “Tuhan kami mengetahui bahawa kami ini diutuskan kepada kamu, dan tugas kami hanyalah menyampaikan apa perintah-perintahNya dengan jelas dan nyata.” (36:16-17)

Penduduk-penduduk negeri itu mula marah dan mengugut rasul-rasul itu, “Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang disebabkan kamu. Jika kamu tidak berhenti, kami akan merejam kamu dan kamu akan merasai azab yang sangat pedih dari kami.” (36:18) Rasul-rasul itu kemudiannya menjawab “Nahas dan malang itu adalah disebabkan apa yang kamu lakukan. Selepas kami telah memberikan peringatan dan nasihat, kamu mengugut kami? Kamu semua adalah kaum yang melampau.” (36:19)

Apabila rasul-rasul itu sudah mula diancam, dan keadaan sudah semakin getir, maka datanglah seorang pemuda dari hujung negeri itu. Pemuda itu memberi nasihat kepada kaumnya “Wahai kaumku! Turutlah apa yang disampaikan oleh ketiga-tiga orang rasul itu. Sesungguhnya mereka tidak meminta satu bayaran atau balasan pun, mereka ialah orang yang mendapat hidayah dan petunjuk.” (36:20-21) Menurut riwayat, pemuda ini bernama Habib an-Najar, seorang tukang kayu yang beriman dengan syariat Allah S.W.T..

Penduduk negeri itu mula terkejut setelah mendapati seorang daripada negeri mereka melindungi para rasul ini. Lalu penduduk itu bertanya kepada pemuda itu “Adakah kau sudah beriman dengan ajaran yang dibawakan oleh para Rasul ini?” Pemuda itu menjawab “Mengapa pula aku tidak menyembah Tuhan yang telah menciptakan aku dan kita semua kelak akan dikembalikan kepadaNya? dan Patutkah aku menyembah tuhan yang selain Allah S.W.T. seperti kamu? Jika satu ketika nanti Allah S.W.T. mahu menimpakan kepadaku bahaya, maka mereka (tuhan-tuhan lain) tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku dan mereka juga tidak akan dapat menyelamatkan aku. Jika aku berbuat sedemikian, maka aku sudah tentu berada dalam kesesatan yang nyata.” Pemuda itu kemudian menguatkan lagi hujahnya “Sesungguhnya aku telah beriman kepada tuhan kamu (Allah), maka dengarlah nasihatku.” (36:22-25)

Kemudian pemuda itu bersama ketiga-tiga orang rasul itu direjam dan dibunuh dengan kejam. Setelah pemuda itu mati, beliau dimasukkan ke dalam syurga. Pemuda itu berkata “Alangkah baiknya kalau kaumku mengtahui tentang perkara yang menyebabkan aku diampunkan oleh Tuhanku dan dijadikan aku dari golongan orang-orang yang dimuliakan ” (36:26) Itulah kisah Pemuda Anatolia yang diceritakan di dalam Al-Quran. Begitulah mencabarnya tugas sebagai seorang pendakwah yang di sekelilingnya tidak lain hanyalah ancaman dan bahaya semata-mata. Semoga kita semua mengambil iktibar dan menghargai jasa para pendakwah yang telah bermati-matian menggadai nyawa demi menghidupkan ajaran Allah S.W.T. agar terus subur di atas muka bumi ini.