t>

Daily Archives: July 23, 2017

  • 0

Multisensory


KENALPASTI JENIS-JENIS MASALAH PEMBELAJARAN

Terdapat beberapa masalah pembelajaran yang kita mungkin lihat di kalangan anak-anak kita. Di sini disenaraikan jenis-jenis masalah pembelajaran dan ciri-cirinya secara umum:

1. Dyslexia:

Masalah membaca.
– Sukar untuk membaca atau mengenal huruf, masalah menulis, mengeja, bertutur.

2. Dyscalculia:

Masalah memahami matematik.
– Sukar menyelesaikan masalah matematik, kesukaran membaca masa atau jam, tidak memahami konsep wang.
3. Dysgraphia:

Masalah penulisan.
– Tulisan tidak terurus, kesukaran mengeja, menysun/ mengurus idea.
4. Dyspraxia:

Masalah menggunakan kemahiran motor halus.

– Masalah dengan koordinasi tangan-mata, keseimbangan, menggunakan tangan atau jari untuk memegang pen/pensil.

5. Masalah pemprosesan auditori (pendengaran):

Masalah mengenalpasti perbezaan bunyi.
– Masalah membaca, kesukaran memahami atau mengikuti arahan melalui percakapan (arahan auditori), masalah dengan bahasa percakapan.

6. Dysphasia/Aphasia:

Masalah pemahaman bahasa.
– Kesukaran memahami bahasa pertuturan, pemahaman teks.

7. Masalah pemprosesan visual:

Kesukaran mentafsirkan informasi.
– Masalah membaca, mentafsirkan gambar, membaca peta, graph, dan simbol.

Masalah lain yang boleh menyebabkan masalah pembelajaran:

8. Autism Spectrum Disorder (ASD)
– Masalah interaksi sosial, komunikasi lisan dan bukan lisan, tingkah laku berulang-ulang, tiada interaksi mata.

9. ADD/ADHD: Attention Deficit Disorder/Attention Deficit Hyperactivity Disorder
– Tidak boleh duduk diam, kesukaran mengikut arahan, menyampuk dengan kata-kata yang tidak sesuai.

Kenali simptom-simptom ini dan carilah jalan terbaik untuk pembelajaran anak-anak anda agar anak-anak anda mendapat teknik pembelajaran yang betul.

Ini kerana…

رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

“Ya Rabb kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka”.

(QS Ali ‘Imran : 191)

 


  • 0

Dahsyatnya kasih sayang Allah S.W.T.

Hari ini semasa bersembang-sembang dengan Cikgu Mohd Shamsul Bahari Rosli @ Cikgu AB, (waktu itu kami baru balik dari Open House student kami, Aiman di Bukit Jelutung).

Cikgu AB bercerita tentang kisah salah seorang anak muridnya yang bertanya tentang mengapa kita kena takut pada Allah S.W.T.?

Mengapa Allah S.W.T. perlu ditakuti? Seolah-olah kita hidup dipenjara kerana takutkan sesuatu.

Cikgu AB memberitahu anak muridnya bahawa:

“Tuhan hanya layak ditakuti jika kita banyak buat silap. Cikgu AB menambah kata Taqwa itu sebenarnya bukanlah takut pada Allah S.W.T. tetapi mendekatlah pada Allah S.W.T. dengan akhlaq yang baik dan taat kepadaNYA.”

“Ibarat kita sayang ibu bapa kita dan taat pada ibu bapa kita. Jika kita buat salah, baru kita akan rasa takut pada ibu bapa kita.”

Itulah jawapan Cikgu AB pada anak muridnya itu.

Selepas selesai menghantar Cikgu AB dan keluarganya. Aku meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Di dalam perjalanan pulang itu aku terfikir tentang…

[Dahsyatnya Kasih Sayang Allah S.W.T.]

Aku terfikir, ketika Fir’aun berkata,

فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ الْأَعْلَى

(Fir’aun) berkata, “Akulah tuhanmu yang paling tinggi.”
(QS An-Nazi’at : 24)

Bagaimana cara Allah S.W.T. membalas kesombongannya? Allah S.W.T. berfirman kepada Musa A.S. dan Harun A.S.

فَقُولَا لَهُ قَوْلاً لَّيِّناً لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى

“Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Fir‘aun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia sedar atau takut.”
(QS Thaha : 44)

Seorang bijak yang mendengar ayat ini pernah berkata:-

MAHA SUCI ENGKAU YA ALLAH……

JIKA SEPERTI INI KASIH SAYANGMU KEPADA FIR’AUN YANG MENGAKU SEBAGAI TUHAN YANG PALING TINGGI, MAKA BAGAIMANA KASIH SAYANGMU KEPADA HAMBA YANG SETIAP HARI BERSUJUD KEPADAMU SERAYA BERKATA:-

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْاَعْلَى

“Maha Suci Tuhanku (Allah) yang Maha Tinggi.”

JIKA SEPERTI INI KASIH SAYANGMU KEPADA FIR’AUN YANG PERNAH BERKATA DENGAN SOMBONG :-

مَا عَلِمْتُ لَكُم مِّنْ إِلَهٍ غَيْرِي

“Aku tidak mengetahui ada Tuhan bagimu selain aku.”
(QS Al-Qashas : 38)

MAKA BAGAIMANA KASIH SAYANGMU KEPADA HAMBA YANG SELALU BERKATA,

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

“Tidak ada tuhan selain Allah…”

Sungguh, Murka Allah S.W.T. akan menimpa orang-orang yang benar-benar tidak mahu menerima kasih sayangNya.

Begitu lembut cara Allah S.W.T. menghadapi Fir’aun yang telah melampaui batas, namun Fir’aun tetap tidak mahu menerima kasih sayang dan petunjuk dariNya.

وَسَيَعْلَمُ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَيَّ مُنقَلَبٍ يَنقَلِبُونَ

“Dan orang-orang yang zalim kelak akan tahu ke tempat mana mereka akan kembali.”
(QS Asy-Syuara : 227)

Marilah kita bersyukur memiliki Tuhan yang begitu pengasih dan penyayang, semoga kita termasuk orang-orang yang mensyukuri kasih sayang Allah S.W.T. dengan mengikuti semua perintah dan menjauhi laranganNya.

Ya… memang ia berat bagi orang awam seperti kita yang selalu tidak terlepas dari dosa. Tetapi Allah S.W.T. tidak pernah minta kita berputus asa dengan AmpunanNYA.

Percayalah rahmat Allah S.W.T. lebih luas dari murkaNYA.


  • 0

Siapa Dato’ Maharajalela

CEYl88_UkAENH7j

Perjuangan Dato’ Maharajalela atau Pandak Lam menentang British merupakan satu perjuangan yang suci dan murni.

Beliau tidak mahu mengotorkan dirinya menjadi pencacai dan pengampu si zalim British.

Sebaliknya dengan penuh strategi demi mempertahankan sistem tradisional di Perak yang diganggu gugat oleh pihak British melalui pengenalan Sistem Residen, Dato’ Maharajalela telah merancang untuk menjatuhkan Residen yang bakal dilantik itu.

Sebagai seorang pembesar di Perak, beliau antara tokoh yang dianggap berwibawa dan begitu dihormati oleh penduduk.

Keprihatinan beliau membela nasib rakyat dan menghalang gangguan British mendapat sokongan ramai. Seruan beliau agar mengatur rancangan menghalang pertapakan British telah mengundang ramai pengikut, bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu malahan juga orang asli sendiri, antaranya Seputum yang ditugaskan untuk membunuh J.W.W.Birch.

Untuk pengetahuan anda, Dato’ Maharajalela berketurunan Daeng Salili, anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi.

Tidak hairanlah, jika darah kepahlawan Bugis mengalir dalam dirinya. Beliau pantang berundur, apa yang dikatakan akan dikotakan.

Ketika penentangan dilancarkan ke atas British di Pasir Salak, Perak. Negeri Perak waktu itu merupakan dipimpin oleh Sultan Muzaffar Shah III.

Pengetahuan agama dan ketinggian keperibadiannya, menyebabkan beliau dilantik sebagai mufti Perak dan dianugerahkan gelaran Dato’ Maharaja Lela Tan Lela dengan kuasa yang boleh memancung tanpa bertanya.

Gerakan penentangan terhadap British oleh beliau di Perak turut disertai oleh ramai golongan bangsawan dan rakyat jelata. Antara yang sama-sama berjuang dengan beliau ialah Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja, yang lebih dikenali dalam kalangan penduduk dan tercatat dalam buku sejarah sebagai Dato’ Sagor’, juga Ngah Kandin, Raja Abdullah dan Ngah Ibrahim.

Perancangan beliau ternyata licik sehingga segala yang dirancang dapat berjalan dengan lancar.

Semuanya bermula rentetan mesyuarat yang diadakan bersama-sama dengan orang-orang bangsawan anti-British dan pengikutnya di Durian Sebatang pada 21 Julai 1875, iaitu 6 bulan setelah sistem Residen diperkenalkan di Perak.

Dalam perjuangan ini beliau mendapat restu daripada Raja Abdullah dan Raja Ismail serta mendapat sokongan daripada penduduk sekitar Pasir Salak dan Kampung Gajah.

Penglibatan Dato’ Maharajalela sebagai tokoh utama dalam pembunuhan J.W.W.Birch mendapat sanjungan rakyat Perak, namun terdapat tali barut dalam kalangan orang Melayu sendiri yang melaporkan kepada British tentang penglibatannya sebagai pelaku utama dalam rancangan membunuh Birch hingga beliau akhirnya ditangkap dan dibicarakan secara tidak adil oleh Mahkamah.

Akhirnya pahlawan yang gagah berani Perak ini dijatuhi hukuman gantung, bersama-sama Dato’ Sagor dan Seputum manakala pembesar yang lain dibuang negeri ke Pulau Sychelles.

Nama Dato’ Maharajalela sebagai pengasas kebangkitan Perak akan terus diingati dan dikenang sehingga terkorban bagi mempertahankan prinsip perjuangan.

Sikap dengki, iri hati dan pengkhianatan golongan bangsawan dalam kes Dato Maharajalela menyedarkan kita bahaya perpecahan yang melanda orang Melayu.

Perjuangan beliau menjadi iktibar dan semangat buat orang Melayu untuk terus bersatu mempertahankan segala yang telah diperjuangkan.

Kisah Dato’ Maharajalela telah membuktikan kewujudannya bukanlah satu mitos tetapi merupakan kenyataan yang boleh dijadikan tauladan buat generasi kini, di mana kewujudan beliau telah tercatat pada tugu peringatannya.

Semoga Allah S.W.T. mengampuni semua dosa-dosa Dato’ Maharajalela dan sahabat-sahabatnya yang menentang kezaliman dan pembohongan yang dilakukan oleh si penjajah British. Moga beliau dan rakan-rakannya ditempatkan bersama-sama Saidina Hamzah R.A. dan Saidina Hussain R.A. di alam sana. Amin…

Terima Kasih Dato’ Maharajalela, Dato’ Sagor, Seputum dan sahabat-sahabat kalian yang telah mengajar kami erti kemerdekaan dan perjuangan menentang kezaliman.