t>

Daily Archives: July 27, 2017

  • 0

Kunci Ilmu itu ialah Bertanya

Assalamualaikum.

Pejam celik sudah 6 tahun ASIQS beroperasi dan ternyata sangat banyak kenangan manis dan pahit yang dilalui yang boleh dikongsi. Sebagai salah seorang guru di sini sejak dari awal penubuhan ASIQS, saya akan cuba berkongsi sedikit demi sedikit pengalaman-pengalaman saya bersama anak-anak murid ASIQS yang saya kira bakal memberikan manfaat buat semua orang terutamanya para guru di luar sana.

Saya akan mulakan dengan sebuah kisah yang sangat segar di dalam ingatan saya. Ketika itu ialah tahun 2014 dan ASIQS beroperasi di sebuah rumah banglo dua tingkat di seksyen 8 Shah Alam. Ketika itu kami mempunyai sekitar 70 orang pelajar dan ASIQS sudah mula menerima pelajar-pelajar Foundation 1. Saya masih ingat ketika itu saya berada di dalam kelas Foundation 3 (F3) iaitu kelas pelajar-pelajar berusia lingkungan umur 9-10 tahun.

IMG_0052

Sekadar gambar hiasan. Ini bukan kelas F3 yang dimaksudkan

Sebelum itu saya kongsikan sedikit perihal pelajar-pelajar kelas ini. Kelas F3 ini terdiri daripada anak-anak murid yang aktif dan bijak. Kebanyakan mereka merupakan pelajar-pelajar yang ceria dan bising sepanjang masa. Ada saja ngomelan comel dan pertanyaan-pertanyaan lucu dan mencabar minda yang akan ditanya. Ditambah lagi mereka ini merupakan penghuni kelas paling besar dan paling “keras” di ASIQS, bayangkan pelbagai jenis cerita angker yang akan mereka kongsikan atau rekakan semata-mata ingin menunjukkan mereka ini hebat di mata pelajar lain. Kelas ini mempunyai sekitar 14 orang pelajar dan merupakan antara kelas terbesar yang ASIQS ada ketika itu.

Suatu hari, tibalah masa untuk saya masuk ke kelas mereka. Ketika itu saya merupakan seorang guru matematik bagi pelajar Level dan kebetulan hari itu saya diberi peluang untuk mengganti seorang guru yang tidak hadir. Pertama kali saya masuk ke dalam kelas itu, pelajar-pelajarnya tercengang dan diam seketika. Maklumlah pertama kali nampak guru lain masuk ke kelas mereka, jadi mereka haruslah “berlakon” baik sikit. Dengan wajah bersahaja ketua kelas mereka menyampaikan salam dan saya menjawab salam mereka seraya menyuruh mereka duduk dan membaca doa iftitah.

Setelah bertanya khabar dan memberi penerangan kepada mereka tentang ketidak hadiran guru mereka yang sepatutnya, mereka seolah-olah membuat mimik muka kecewa namun saya tahu sebenarnya mereka gembira di dalam diam. Saya pun bertanya kepada mereka

“Okay, hari ni korang nak buat apa dengan abang AB?”

Beberapa orang pelajar bercakap dengan kuat “Abang AB, ceritalah pasal Nabi Muhammad S.A.W.!!!!” apabila melihat pelajar-pelajar “otai” bercakap begini, yang lain pun sekadar mengikut sahaja mahukan cerita pasal Nabi Muhammad S.A.W. Pada tahun itu, memang berlaku satu fenomena sedikit di mana para pelajar sangat gemarkan kisah Nabi Muhammad S.A.W.. Adakalanya sampai menangis-nangis mendengar kisah-kisah sedih Nabi Muhammad S.A.W.. Jadi saya pun bersetuju dengan permintaan mereka, tetapi dengan satu syarat. Saya katakan kepada mereka :

“Boleh, tapi semua kena duduk atas lantai mengerumuni abang AB!” Maka semua pun bersorak dan berlari sepantas boleh duduk di atas lantai mengelilingi saya. Seolah-olah siapa yang cepat dan paling depan, dia paling untung. Itulah kanak-kanak, semua benda bagi mereka merupakan satu perlumbaan. Adakalanya, membuat kerja rumah juga dilumbakan. Siapa cepat terus hantar. Namun, jawapan betul atau tidak itu ditolak tepi, yang penting hantar paling cepat.

Saya pun mulakanlah bercerita. Saya masih ingat tajuk yang mereka pinta ialah bagaimana Nabi Muhammad S.A.W. menerima wahyu pertama dan cara-cara lain Nabi Muhammad S.A.W. menerima wahyu. Saya pun berceritalah mengenai kisah mahsyur penerimaan wahyu pertama Nabi Muhammad S.A.W.. Dalam penceritaan, saya selitkan satu dua soalan teka-teki untuk bermain dengan tahap konsentrasi mereka. Jika kita berterusan bercerita tanpa sebarang interaksi, pelajar akan mudah bosan kecuali yang betul-betul takut atau meminati kita. Sedang asyik bercerita, saya pun membuka satu lagi soalan :

“Okay, sekarang siapa tahu, apakah mukjizat Nabi Muhammad S.A.W. yang paling hebat? Dia punya kehebatan tu, sampai hari ni kita boleh tengok.” Soalan mudah yang hampir kesemua orang boleh menjawabnya. Dan saya yakin semua pembaca juga tahu akan jawapannya. Jawapan yang sungguh mudah yang mana saya juga bermaksud jawapan itulah jawapan bagi soalan saya. Namun begitu, walaupun soalan yang mudah bagi kita, tidak semestinya mudah bagi pelajar-pelajar berumur 8-9 tahun. Seronok saya melihat wajah mereka yang terpinga-pinga memikirkan jawapan yang sebenarnya. Maka timbullah jawapan-jawapan sebegini :

“Bulan terbelah!” saya jawab “Salah! kita mana boleh tengok lagi bulan terbelah tu hari ini kan?”

“Dada terbelah!!” saya jawab dengan muka pelik menutup sebahagian mata dengan kelopak mata saya tanda jawapan itu hampir sama dengan jawapan sebelumnya.

“Laut terbelah!!” mendengarkan jawapan ini, ketua kelas terus memotong “Eh! Itu kan zaman Nabi Musa A.S.!!”

Beberapa lagi jawapan disebut menggelikan hati saya. Saya masih menantikan pelajar yang boleh mengaitkan cerita wahyu pertama tadi dengan jawapan sebenar yakni Al-Quran. Berselang-selang beberapa jawapan, tiba-tiba Ketua Kelas buat pertama kali mengangkat tangannya. Suasana tiba-tiba menjadi diam dan senyap kerana ketua kelas sudah mula ingin masuk campur. Selama kawan-kawannya menjawab tadi, beliau hanya mendiamkan diri sahaja. Saya juga pernah mendengar cerita-cerita rakan guru yang lain bahawa Ketua kelas ini “lain macam sikit ilmunya”. Saya pun memberi ruang kepada beliau untuk menjawab.

“Ehem ehem. Saya rasa, jawapannya ialah ‘Kasih Sayang Nabi Muhammad S.A.W. kepada ummatnya’. Betul tak abang AB?”

Terpegun dengan jawapan ketua kelas, saya terdiam sejenak, cuba memikirkan kenapa jawapan yang diberi ini bukan ‘Al-Quran’? Pasti ada sesuatu ini. Ketika itu, perasaan saya ada sedikit pelik, saya tidak terus menyatakan jawapan itu salah, kerana saya dapat rasakan ada benar apa yang dijawabnya. Saya pun dengan senyum bertanya beliau “Kenapa ketua kelas bagi jawapan macam itu?”

“Sebab, kalau abang AB soal apakah mukjizat Nabi Muhammad S.A.W. yang paling hebat, saya hanya boleh fikirkan Israk dan Mikraj. Tapi abang AB tambah yang kita boleh tengok hari ini, jadi saya jawablah kasih sayang Nabi Muhammad S.A.W. buat kita semua ummatnya. Betul ke abang AB?”

Cuba untuk menyembunyikan kepelikan, saya pun jawab “Betul, ketua kelas, tapi cuba ketua kelas jelaskan sedikit kenapa jawapan itu yang diberi?”

Beliau menjawab “Okay macam ni, dengan kasih sayang Nabi Muhammad S.A.W. dekat ummatnya lah kita semua mendapat Islam hari ini. Dengan sebab kasih sayang jugalah Nabi Muhammad S.A.W. tinggalkan Al-Quran untuk kita dan sebab kasih sayang jugalah kita nanti mati akan rasa sedikit sahaja sakit dan sebab kasih sayang jugalah nanti Nabi Muhammad S.A.W. akan beri syafaat kepada kita untuk masuk ke syurga.”

Mendengar penjelasan ini, perasaan saya tiba-tiba menjadi hiba dan sebak. Terasa seakan-akan ingin menangis mendengar penjelasan yang sebegitu hebat daripada seorang pelajar berumur 9 tahun. Saya bayangkan saya ketika umur 9 tahun, kemungkinan besar Nabi Muhammad S.A.W. hanya saya kenali sekadar pada nama sahaja. Saya memberikan pujian dan tahniah kepada ketua kelas dan kebetulan waktu gantian saya tamat ketika itu.

Maka betullah apa yang pernah disabdakan oleh Nabi Muhammad S.A.W. dalam sebuah hadis daripada Ali Bin Abi Thalib R.A. berkata bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda:

“Ilmu itu seperti gudang,  dan kuncinya adalah bertanya.  Maka hendaklah kamu sering bertanya semoga kamu diberi rahmat oleh Allah Ta’ala. Maka sesungguhnya dari satu pertanyaan itu diberi pahala akan empat orang. Pertama, orang yang bertanya. Kedua, guru yang menjawab. Ketiga, orang yang mendengar jawapan itu. Keempat, orang yang cinta kepada mereka.”

(Hadis Riwayat Abu Naim)

Dalam hal ini, saya akui saya yang menuntut ilmu baru daripada ketua kelas kerana saya yang bertanyakan soalan. Dan jawapan yang lain daripada apa yang saya sangkakan itu ternyata bagi saya adalah jawapan yang tepat. Jadi sebagai guru, rajin-rajinkanlah bertanya kepada anak murid dan yang paling penting galakkan anak murid untuk bertanya soalan. Galakkan mereka bertanya sebanyak mungkin dan raikan soalan-soalan mereka walaupun soalan itu nampak seperti tidak masuk akal. Ini kerana, mungkin bagi mereka sesetengah soalan itu sangat bermakna buat mereka. Diharap kami di ASIQS akan terus dikurniakan perkara-perkara menarik sepanjang operasi kami di masa akan datang nanti. WAllahua’lam.

(P/S : Sengaja saya rahsiakan identiti Ketua Kelas, supaya ianya menambahkan lagi kemisterian kisah ini kerana insya Allah di masa hadapan nanti akan ada banyak lagi sambungan kisah yang berkaitan dengan ketua kelas ini. XD)

[URIS id=1604]