t>

Monthly Archives: August 2017

  • 0

ASIQS @ Sukan Sea 2017

036496-20111230-jogging

Jogging atau berlari-lari anak merupakan salah satu cara paling mujarab untuk mengeluarkan peluh.

Secara sendiri atau secara berpasukan atau berjemaah sudah menjadi trend sekarang jika dilihat di mana-mana tempat.

Tasik dan taman riadah merupakan tempat paling ideal untuk melakukan senaman apalagi jogging dan marathon mini.

Hari ini bersamaan dengan 19hb Ogos 2017 kami telah menyertai Larian Sukan Sea 2017. 3 orang guru yang terlibat adalah Ust Idris, Cikgu Afiq dan saya sendiri.

Kami bertolak daripada Shah Alam pada jam 5.30am dan kami sampai di Putrajaya jam 6.00am. Kami menunaikan solat subuh berjemaah di “Masjid Besi”. Selesai solat, kami terus ke “check point” untuk memulakan larian sepanjang 15km.

IMG_20170819_171330

Ketika hendak bermula itulah tiba-tiba sesuatu telah menyerang saya dan Cikgu Afiq. Saya terasa hendak buang hajat kecil dan Cikgu Afiq hendak membuang hajat besar. Tetapi waktu itu sudah terlambat kerana di belakang kami terdapat lautan manusia dan jika hendak ke tandas adalah sesuatu yang sulit. Dalam keadaan yang tegang itu kami terlihat kelibat tandas di seberang,dan untuk ke seberang juga adalah amat sukar kerana laluan untuk ke sana telah dihalang oleh beberapa pagar besi. Ust Idris yang berada di sisi kami juga agak serba salah kerana tidak dapat membantu kami.

Walaupun begitu, kami tetap meneruskan larian dalam keadaan kecemasan seperti itu. Bayangkan kami kena habiskan larian sepanjang 15km dalam keadaan “hajat” yang tidak dapat ditunaikan. Saya berani janji, ia memang satu pengalaman yang mencabar.

IMG_20170819_171325

Ketika berlari itu macam-macam saya fikirkan tentang bagaimana untuk menyelesaikan masalahyang kami hadapi.

Sedang saya berfikir-fikir sambil berlari itu, kami mula terpisah. Ust Idris entah di mana, Cikgu Afiq pula entah di mana. Tidak mengapa kata saya dalam hati. Misi utama perlu saya selesaikan adalah mencari tandas, kerana ia sangat mengilukan ketika berlari dalam keadaan itu. Tiba-tiba setelah hampir 3km berlari, terlihat bangunan “Masjid Besi” yang indah. Apa lagi, tanpa membuang masa saya terus melangkah laju seperti orang menukar “throttle” kereta. Saya berlari selaju mungkin untuk ke tandas di “Masjid Besi”. Waktu itu saya tidak pasti bagaimana nasib Cikgu Afiq yang mempunyai “hajat”  yang lebih besar daripada saya.

Selesai sahaja urusan peribadi saya di “Masjid Besi” saya mengambil kesempatan untuk “stretching” barang seminit dua. Selepas itu saya terus berlari memecut pelari-pelari yang lain kerana sudah pasti saya ketinggalan di belakang.

4567143686_0d51cd67d7_b

Waktu itu saya berlari semahunya untuk memastikan saya tidak ketinggalan. Sesetengah orang mungkin akan terus berputus asa, tetapi saya buang rasa putus asa itu jauh-jauh kerana waktu itu apa yang saya bayangkan adalah wajah anak-anak didik kami yang menaruh harapan yang tinggi untuk kami habiskan larian tersebut. Berbekalkan harapan itu saya terus maju sekuat kaki saya melangkah.

Waktu itu, saya dapat melihat bermacam-macam aksi yang mencuit hati dan memberi ikhtibar. Waktu itu saya berselisih dengan seorang pelari yang berlari sambil menolak stroller anaknya dan beliau menekan-nekan locengnya agar beliau dan anaknya diberi sedikit laluan untuk mereka menghabiskan larian mereka. Wow! Memang sangat berinspirasi, kerja berpasukan antara ayah dan anak (walaupun anak beliau masih bayi). Sudah pasti kenangan ini akan tersemat di jiwa mereka sampai bila-bila. Itulah pengorbanan seorang ayah untuk anaknya getis hati saya waktu itu.

IMG_20170819_171314

Perkara menarik yang saya dapat lihat lagi sepanjang larian tersebut adalah semangat kesukanan seorang lelaki kurang upaya yang telah menyertai larian ini dengan hanya menggunakan kerusi rodanya. Waktu itu kami sedang menaiki jalan berbukit,kelihatan pemuda tersebut seperti tertunduk mengalah dan kepenatan, tiba-tiba sahabatnya mungkin juga adik beradiknya datang menolaknya dari belakang dan berlari perlahan-lahan bersama lelaki kurang upaya tersebut. Saya terus meninggalkan mereka sambil berfikir sungguh indah persahabatan mereka berdua, susah dan senang bersama, bukan kemenangan yang utama bagi mereka tetapi semangat kesukanan yang mereka utamakan. Sungguh menginsafkan, walaupun beliau berkerusi roda, beliau tetap kuat untuk menghabiskan larian tersebut.

IMG_20170819_171318

Ada juga saya lihat,lelaki dan wanita yang berusia setengah abad berlari dengan tenang dan kuat seperti orang muda. Saya secara peribadi terasa tercabar. Saya juga mahu jadi seperti mereka satu hari nanti. Kekal berstamina  walaupun umur sudah lanjut.

Berbalik pada kisah Cikgu Afiq. Rupa-rupanya Cikgu Afiq berlari sambil membawa hajatnya itu sehingga ke garisan penamat, yang mana ketika beliau mendengar dan melihat bahawa ada lagi 1km untuk ke garisan penamat, beliau telah menggunakan sepenuh tenaga yang beliau ada untuk berlari sekuat hati beliau untuk menamatkan larian dan mencari “bilik kecil”. Ketika beliau memecut itulah tiba-tiba semua orang secara beramai-ramai menepuk tangan melihat beliau seolah-seolah beliau adalah pelari pecut negara. Mungkin mereka terinspirasi dengan Cikgu Afiq yang mula memecut di garisan akhir,sedang yang lain-lain semakin memerlahankan langkah. Itulah kehebatan Cikgu Afiq.. 😀

IMG_20170819_171320

Sementara Ust Idris pula, antara pelari yang cukup santai, beliau berlari seolah-olah beliau berada di tepi pantai. Walaupun beliau memecut laju, tetapi beliau masih sempat mengambil gambar-gambar untuk tatapan anak-anak ASIQS. Ust Idris kerap berpesan kepada saya agar kita terus menjadi contoh yang terbaik buat anak-anak didik kami. Apa yang kita minta anak-anak didik kita lakukan kita juga mesti lakukan.

IMG_20170819_171322

Alhamdulillah, kami dapat menamatkan larian kami dalam purata 1 jam 30 minit ke 1 jam 40 minit. Sungguh ia amat memuaskan.

Anak-anak ASIQS! Lihat, kami berjaya lakukannya untuk kamu!!

IMG_20170819_171650

#asiqsdisukansea

#hanyadiasiqs

#w♡asiqs

#kuasajuara


  • 0

Part 2 : Teori Pembelajaran.

TEORI PERKEMBANGAN PIAGET [Bahagian 2]

img_2005

Tahap-tahap perkembangan kognitif.

B. Tahap Pra Perkembangan (umur 2-7/8 tahun)

Ciri-ciri asas perkembangan pada tahap ini adalah pada penggunaan simbol atau bahasa isyarat, dan mulai berkembangnya konsep-konsep intuitif. Tahap ini dibahagi menjadi dua, iaitu pra perkembangan dan intuitif.  

Pra perkembangan (umur 2-4 tahun).

Anak anda telah mampu menggunakan bahasa dalam mengembangkan konsepnya, walaupun masih sangat sederhana. Maka sering terjadi kesalahan dalam memahami objek. Karakteristik tahap ini adalah  :


1) “Self counter”nya sangat menonjol.

2) Dapat mengklasifikasikan objek pada tingkat dasar secara tunggal dan bersahaja.

3) Tidak mampu memusatkan perhatian pada objek-objek yang berbeza.

4) Mampu mengumpulkan barang-barang menurut kriteria, termasuk kriteria yang tepat dan benar.

5) Dapat menyusun benda-benda secara berderet, tetapi tidak dapat menjelaskan perbezaannya antara deretan ini.

studying1

C. Tahap Perkembangan Nyata (boleh dilihat) (umur 7/8 – 11/12 tahun)

Ciri-ciri berkelompok yang berkembang pada tahap ini adalah anak anda sudah mulai menggunakan aturan-aturan yang jelas dan logik, dan dapat dikenalpasti dengan adanya perkembangan “reversible” dan kekekalan.

Anak anda telah memiliki kecekapan berfikir secara logik, akan tetapi hanya dengan benda-benda yang bersifat nyata (dapat dilihat).

Perkembangan adalah suatu jenis tindakan untuk memanipulasi objek atau gambaran yang ada di dalam dirinya kerana kegiatan ini memerlukan proses transformasi informasi ke dalam dirinya sehingga tindakannya lebih efektif.

ct18_boat_jpg_2777021f

D. Tahap Perkembangan Formal (umur 11/12 – 18 tahun)

Ciri-ciri asas perkembangan pada tahap ini adalah anak anda sudah mampu berfikir secara abstrak dan logik dengan menggunakan pola berfikir berlandaskan “kemungkinan”.

Model berfikir ilmiah dengan cara hipothetico-de-ductive dan inductive sudah mulai dimiliki oleh anak anda, dengan kemampuan menarik kesimpulan, menafsirkan dan mengembangkan hipotesis. Pada tahap ini pola berfikir anak anda sudah dapat :

740810

1)    Bekerja secara efektif dan sistematik.

2)    Menganalisis secara kombinasi. Anak anda dapat menggunakan pelbagai sumber ilmu yang telah dipelajari untuk mencari jawapan pada satu-satu persoalan.

3)    Berfikir secara berjuzuk. Anak anda dapat mengkelaskan setiap apa yang difahaminya satu per satu. Melalui pengkelasan ini, anak anda dapat membuat kesimpulan dan keputusan terhadap satu-satu persolan.


4)    Mencapai kematangan (baligh). Pada tahap ini, pada mulanya Piaget percaya bahawa sebahagian remaja mencapai perkembangan kematangannya paling lambat pada usia 15 tahun.

Tetapi berdasarkan penelitian mahupun kajian selanjutnya menemukan bahawa anak-anak bahkan remaja walaupun usianya telah mencapai usia kematangan, belum tentu mereka dapat mencapai kematangan sempurna, kerana kematangan sempurna memerlukan pengalaman dan pengamatan. Anak anda perlu melalui semua itu dalam proses dia mencapai tahap kematangan sempurna.

f6ab5593da13bbc06a3259ee1ac377aa--it-gets-better-feel-better
Nantikan teori seterusnya nanti ya…? 😀


  • 0

Part 1 : Teori Pembelajaran.

Little boy intent on reading book at school desk

Pendidikan pada dasarnya merupakan suatu proses perkembangan potensi individu. Melalui pendidikan, potensi yang dimiliki oleh individu akan diubah menjadi kompetensi.

Kompetensi mencerminkan kemampuan dan kecekapan individu dalam melakukan suatu tugas atau pekerjaan.

Tugas pendidik atau guru dalam hal ini adalah membimbing anak didik sebagai seorang individu agar dapat mengembangkan potensi yang dimilikinya menjadi kompetensi sesuai dengan bakatnya dan cita-citanya.

mind-map-3

Program pendidikan dan pembelajaran kini hendaklah diarahkan atau lebih berorientasi kepada individu (anak-anak didik), supaya apa yang ingin dicapai dapat digerakkan secara kognitif (proses belajar lebih diutamakan daripada hasil belajar).

Di Malaysia umumnya kita lihat kebanyakan program pendidikan berlangsung dengan cara memandang ringan terhadap potensi dan kemampuan para pelajar (anak-anak didik).

Kita banyak memfokuskan pelajaran itu kepada kehendak pasaran yang wujud kini. Hal ini disebabkan kerana kurangnya pemahaman pendidik tentang karakteristik individu, dan ini sebenarnya satu situasi yang sangat membimbangkan.

Baiklah, untuk membendung masalah itu dari meruncing mari kita lihat satu per satu teori yang wujud yang boleh kita aplikasikan di sekolah mahupun di rumah untuk anak-anak kita dan anak-anak didik kita yang sangat kita sayangi.

 

TEORI PERKEMBANGAN PIAGET

Menurut Piaget, proses belajar akan mengikuti tahap-tahap asimilasi, akomodasi, dan ekuilibrasi (keseimbangan).

Proses asimilasi merupakan proses penyatuan informasi baru ke dalam struktur kognitif yang telah dimiliki oleh individu.

Proses akomodasi merupakan proses penyesuaian struktur kognitif ke situasi baru.

Proses ekuilibrasi adalah penyesuaian yang berkesinambungan antara asimilasi dan akomodasi.

learning-through-play

Sebagai contoh, seorang anak sudah memahami prinsip penolakan (tolak). Ketika mempelajari prinsip pembahagian (bahagi), maka terjadilah proses pengintegrasian antara prinsip penolakan yang sudah dikuasainya dengan prinsip pembahagian (informasi baharu). Inilah yang disebut proses asimilasi.

Jika anak@pelajar tersebut diberikan soalan operasi pembahagian, maka situasi ini disebut akomodasi.

Maksudnya, anak tersebut sudah dapat mengaplikasikan atau memakai prinsip-prinsip pembahagian dalam situasi yang baharu dan spesifik.

Baik, mari kita lihat tahap-tahap perkembangan kognitif pula.

img_2005

Tahap-tahap perkembangan kognitif

A . Tahap Sensorimotor (umur 0-2 tahun)

Ciri-ciri asas perkembangannya adalah berdasarkan tindakan, dan apa yang dilakukannya langkah demi langkah.

Kemampuan yang dimilikinya antara lain adalah:


o    Melihat dirinya berbeza dengan objek di sekitarnya.

o    Mencari rangsangan melalui sinaran lampu dan suara.

o    Memperhatikan sesuatu dengan lebih lama.

o    Mendefinisikan sesuatu dengan cara memanipulasinya.

o    Memperhatikan objek sebagai hal yang tetap lalu ingin mengubah tempatnya.

Bersambung…. 😀

Nantikan sambungannya nanti ya..? 🙂

 


  • 0

Apa Kita Tahu… Orang Lain Tidak Tahu pt.2

Tags : 

Assalamualaikum.

(Kisah ini merupakan sambungan daripada kisah yang sebelumnya. Bagi yang ingin membaca kisah sebelumnya, sila pergi ke SINI)

Wajah Ibu Mr Minecraft kelihatan tenang tetapi sirius. Setelah kami bertegur sapa, Ibu Mr Minecraft terus memulakan perbualan dengan sebuah pertanyaan. “Saya difahamkan Abang AB mengajar Matematik kepada anak saya ya?” saya mengiyakan pertanyaan itu. Beliau menyambung “Adakah Abang AB mengajar dengan cara yang garang dan kasar kepada Mr Minecraft atau pernahkah Abang AB memarahinya sebelum ini?” Terkejut dengan soalan ini, saya cuba mengingat sejenak, momen-momen saya di dalam kelas Matematik bersama anak-anak ASIQS selama ini. “Saya tidak berapa ingatlah puan, tetapi kalau tidak silap saya, saya memang belum pernah menggunakan marahan atau kekerasan di dalam kelas saya selama ini.”

Wajah Ibu Mr Minecraft mula seperti ceria kelegaan sedikit. “Akak bukan apa, mulai 2 minggu lepas, kami mula pelik, Mr Minecraft sudah mula berubah.” Saya pun terkejut, “Perubahan macam mana tu puan?”

“Setiap hari pulang dari sekolah, setelah Mr Minecraft bersiap-siap mandi semua, dia akan terus membuka beg sekolahnya dan membuat kerja rumah dengan sendirinya tanpa lagi perlu disuruh. Kemudian, dia sudah mula bertanya-tanya kami tentang soalan-soalan Matematik yang dipelajarinya. Dan yang paling mengejutkan kami ialah, dia sudah minta kami untuk hantarkannya ke kelas tuisyen Matematik sekarang ni.”  Hembusan nafas kelegaan ternyata keluar dari badan saya setelah mendengar penjelasan ini. Saya sangkakan saya sudah melakukan kesalahan dengan mendera mental atau emosi Mr Minecraft. Saya amat yakin saya tidak pernah melakukan kekerasan fizikal terhadap anak-anak murid saya selama ini.

Ibu Mr Minecraft meneruskan lagi dengan menceritakan bagaimana Mr Minecraft sebelum ini perlu dimarahi dan ditunjukkan “tali pinggang” andai ingin menyuruhnya belajar. Namun kini sudah tidak lagi. Bagaimana Mr Minecraft yang sebelum ini seorang yang agak pendiam, sekarang sudah mula menceritakan kisah-kisah pembelajarannya di sekolah kepada mereka berdua. Ibu Mr Minecraft sangat seronok, cuma beliau bimbang andaikata pihak sekolah menggunakan teknik yang kurang digemari sehingga berlaku perubahan berikut kepada anaknya.

Saya pun mula memberikan jawapan dengan beberapa penjelasan sebagai contoh. Saya ceritakan juga kisah Mr Minecraft dari awal penglibatannya di dalam kelas sehinggalah situasinya hari ini. Saya masih ingat, raut wajah Ibu Mr Minecraft ketika mendengar penjelasan ini, beliau sangat gembira dan kelihatan matanya yang bergenang air mata kerana kegembiraan. Sebagai seorang ibu yang mempunyai anak yang kurang kemampuan mempelajari matematik, tiada apa yang lebih menggembirakan selain melihat anaknya bersemangat untuk belajar Matematik. Walaupun beliau tahu setakat mana kemampuan anak itu.

Gambaran perbezaan perspektif pemahaman manusia-manusia yang berbeza

Gambaran perbezaan perspektif pemahaman manusia-manusia yang berbeza

Saya menyambung penjelasan saya dengan menyatakan, anak-anak tidak harus dipandang rendah kerana kekurangannya. Kita harus terus memberi sokongan kepadanya. Walaupun dia agak berbeza daripada anak-anak murid yang lain, tidak bermakna kita harus melayannya dengan layanan yang berbeza. Raikan kewujudan mereka. Hargai segala kelebihan yang dikurniakan kepada mereka. Saya sentiasa yakin, setiap anak-anak itu berbeza dan unik. Setiap mereka mempunyai kebolehan luar biasa yang dianugerahkan Allah S.W.T. sebagai modus untuk meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini. Seperti Mr Minecraft, kita tidak tahu bagaimana cara beliau berfikir. Bagaimana beliau payah untuk menjawab sesuatu masalah operasi darab, tetapi dengan pantas boleh menyelesaikan soalan pecahan. Tambahan buat para pembaca, Mr Minecraft sangat berbakat dalam melukis. Di ASIQS, bakat-bakat ini yang akan digilap dan dikembangkan bagi kes Mr Minecraft.

Kedua, jangan marah anak murid yang melakukan kesalahan atau tidak tahu apa yang diajarkan kepada mereka. Sebagai contoh, apabila Mr Minecraft beberapa kali tidak memasuki kelas saya, saya tidak terus memarahinya, bahkan saya mencarinya dan bertanya kepadanya, apa sebab tidak masuk ke kelas. Jangan dimarahi anak-anak murid, ia tidak akan menyelesaikan apa-apa pun masalah. Bagi saya, jika anak itu sudah seronok ingin ke sekolah, pasti dia bersedia untuk menimba ilmu, cuma kadang kala, mungkin ada cara-cara sesetengah guru itu yang membuatkan mereka takut atau tidak minat. Sesetengah guru atau ibubapa tanpa disedari memang akan memarahi anak atau anak muridnya di hadapan orang lain apabila mereka salah atau tidak tahu akan sesuatu hal. Ini tidak baik untuk pertumbuhan keyakinan dan motivasi diri anak-anak. Sebagai seorang pelajar, rakan-rakan merupakan segalanya. Rakan-rakanlah tempat mereka bermain, bercerita, makan bersama dan lain-lain. Apabila mereka dimarahi di hadapan rakan-rakan, ini akan merendahkan motivasi mereka. Tambahan mereka akan terus merasa malu setiap kali bersama rakan-rakan mereka.

Dan yang ketiga, yang paling penting ialah, sebagai ibubapa atau guru, cuba luangkan masa kita bersama anak-anak. Kebersamaan terbukti akan dapat meningkatkan minat dan keseronokan mereka dalam melakukan sesuatu perkara bersama-sama. Saya masih ingat seorang pelajar ASIQS yang agak sedikit reserved. Beliau susah untuk berkomunikasi dengan orang lain terutamanya orang yang baru beliau kenali. Saya beri beliau nama Mr Minecraft Jr. Usaha beberapa bulan pertama saya untuk bertegur sapa dengan beliau gagal. Namun saya tidak putus asa, saya melakukan sedikit kajian ke atas beliau. Saya selidiki minat beliau. Ternyata beliau meminati Matematik. Setiap hari saya akan cuba menegur beliau, bermain cuit-cuit dengan beliau, mencubit pipi beliau, namun tiada respon. Sehinggalah satu hari, saya cuba ubah teknik saya, saya menegur beliau dengan ayat yang sedikit berlagak. “Do you know what 5 times 100 is?” Dengan spontan beliau menjawab “500!” sambil tersenyum dan jelas kelihatan lesung pipit beliau. Mulai saat itu, kami berkawan baik. Usaha saya beberapa bulan awal rupanya tidaklah sia-sia kerana menurut ayahnya, itu adalah “Observation period” bagi Mr Minecraft Jr. Beliau memang akan mengkaji seseorang itu habis-habisan sebelum memilih untuk berkawan dengan mereka walaupun mereka itu ialah GURU beliau.

Kerjasama di antara pemilik ilmu-ilmu berbeza bakal menghasilkan keajaiban

Kerjasama di antara pemilik ilmu-ilmu berbeza bakal menghasilkan keajaiban

Setelah mendengar penjelasan dari saya, Ibu Mr Minecraft mengucapkan ribuan terima kasih kepada saya. Kejadian hari itu seolah-olah menjadi satu sumber motivasi baru buat saya kerana inilah pertama kali saya berhadapan kes yang sebegini. Persekolahan di ASIQS diteruskan seperti biasa. Saya sempat melihat perkembangan Mr Minecraft selama beberapa tahun dan Alhamdulillah perkembangannya positif. Saya masih ingat lagi di hujung-hujung persekolahan Mr Minecraft di ASIQS, beliau sentiasa menjadi tempat rujukan jika mana-mana pelajar mahukan lukisan gambar atau konsultasi mengenai gambar yang ingin digunakan dalam kerja-kerja projek mereka. Itulah keindahan ciptaan Allah S.W.T.. Setiap satu makhluk memainkan peranan mereka masing-masing dan jika digunakan pada tempat dan masa yang betul, pasti mampu melengkapkan sistem kitaran hidup sekalian insan di atas muka bumi ini.

Sebagai ibubapa, guru atau pendidik, hargailah anak-anak yang dikurniakan Allah S.W.T. kepada kita. Ianya tidak datang kepada kita secara sia-sia. Ianya adalah amanah Allah S.W.T.. Allah S.W.T. berfirman :

“Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.”

(Surah Al-Kahfi 18 : 46)

Apabila disebut perhiasan, bukanlah sesuatu yang boleh diambil remeh. Jagalah mereka dengan penuh kasih sayang. Janganlah buang mereka sesuka hati daripada hidup kita. Seperti seorang ayah kepada pelajar ASIQS selalu berkata “anak-anak ialah cerminan ibubapa”. Sebagai akhir kata buat kisah ini, ingin saya ucapkan, walau di mana jua Mr Minecraft berada hari ini, semoga anda sentiasa berada di dalam keadaan yang baik dan sentiasa dirahmati Allah S.W.T.. Terima kasih kerana memberi peluang kepada saya untuk mengajar dan mendidik kamu suatu masa dahulu. 🙂


  • 0

ASIQS di Larian Sukan Sea 2017

IMG_20170813_100037

Kami bermula dengan seorang yang berkolestrol tinggi, yang mempunyai berat badan melebihi BMI yang normal (gemuk), dan yang pada awalnya susah nak senyum.

Kami berusaha untuk mengubah semua itu dengan bersukan. Walau pada awalnya agak susah, tetapi kerana tekad yang tinggi kami berjaya mengharunginya. Tiada jalan mudah untuk kecapi kejayaan. Kami tidak meggunakan apa-apa ubat,kami hanya bersukan.

Semuanya kerana kami ingin membuktikan pada anak-anak didik kami bahawa apa yang kita hajati dan usaha dengan bersungguh-sungguh pasti akan berjaya.

 

IMG_20170813_100040

Kami tidak punya matlamat untuk menang. Menang bukan tujuan kami. Tujuan kami adalah kami mahu anak-anak didik kami punya semangat yang kuat! Kami akan berusaha untuk menghabiskan larian ini nanti dengan sehabis baik kami.

Falsafahnya mudah, walau siapapun diri kita, Allah S.W.T. tidak menciptakan kita dengan sia-sia. Setiap orang punya bakat. Kami meraikan bakat-bakat anak-anak didik kami. Bukan “A” yang kami mahukan dari anak-anak didik kami tetapi “semangat” yang kuat dalam mengharungi cabaran hidup yang mendatang yang kami tekankan pada mereka.

Kita semua adalah Juara. Kuasa Juara!

#hanyadiasiqs
#w♡asiqs
#asiqsdisukansea