t>

Monthly Archives: August 2017

  • 0

Majlis Musabaqah Hafazan Al-Quran Lil-Banat (MAQLIB) 2017

Pada 10 Ogos 2017 yang lepas, pihak ASIQS telah menghantar 3 peserta untuk mewakili ASIQS ke peringkat saringan Majlis Musabaqah Hafazan Al-Quran Lil-Banat (MAQLIB) 2017 yang telah diadakan di Maahad Tahfiz Lil Aytam, Kuang Selangor. Majlis yang dianjurkan ini bertujuan memartabatkan lagi hafazan Al-Quran dan meraikan pelajar-pelajar hafazan yang ada di sekitar Selangor.

Peserta-peserta ASIQS diiringi oleh mudir ASIQS sendiri iaitu Ustaz Idris Husain yang pasti dapat memberikan kata-kata semangat dan dorongan buat pelajar-pelajar ASIQS. Terdapat 2 peringkat saringan sebelum para peserta yang dipilih akan mara ke peringkat akhir. Keputusan saringan akan diperolehi pada hari Sabtu, 12 Ogos 2017. Semoga semua peserta diberi kemudahan dan kekuatan dalam menempuh cabaran yang bakal mendatang. Selamat Maju Jaya.

IMG_1179

Adik Amylia sedang memperdengarkan bacaan ayat suci Al-Quran


  • 0

Kisah Tentera Gajah

Tahun kelahiran Nabi Muhammad S.A.W ialah tahun yang sangat mulia. Tahun itu juga dikenali sebagai Tahun Gajah. Tahun ini dipanggil sedemikian kerana pada tahun yang sama, Raja Abrahah Al-Ashram iaitu Raja Yaman ingin menyerang Mekah dan munghancurkan Kaabah bersama-sama tentera bergajahnya. Mengapakah Abrahah ingin menghancurkan Kaabah? yang ketika itu merupakan tempat utama untuk beribadah?

Sebelum serangan ini dibuat, Abrahah telah membina sebuah gereja di Sanaa, Yaman. Gereja ini sangat cantik dan besar pada zaman itu dan diberi nama Al-Qulais. Abrahah ingin memalingkan pandangan orang dari Kaabah ke gerejanya sebagai tempat beribadat yang utama. Tetapi usahanya sia-sia kerana tiada siapapun ingin pergi ke gereja itu. Orang-orang Quraisy bukan sahaja tidak memandang gereja Al-Qulais itu, bahkan ada pemuda-pemuda Quraish yang membuang air besar dan kecil di dalamnya.

Bekas gereja Al-Qulais yang masih ada pada hari ini di Yaman

Bekas gereja Al-Qulais yang masih ada pada hari ini di Yaman

Perkara ini membuatkan Abrahah sangat marah. Disebabkan tiada siapa ingin memalingkan pandangan mereka daripada Kaabah, Abrahah tekad untuk menghancurkan Kaabah di Mekah. Abrahah mempersiapkann tenteranya dengan senjata-senjata yang hebat dan menempatkan mereka pada gajah yang dimport daripada Afrika. Abrahah menunggang gajah yang terbesar dan terkuat di antara gajah-gajah itu yang diberi nama Mahmud.

Selepas Abrahah selesai melengkapkan tenteranya dengan kelengkapan perang dan tunggangan yang hebat, Abrahah mula bergerak beramai-ramai dengan gerombolan tenteranya menuju Mekah. Setiap rumah, ladang dan khemah yang menghalang laluannya akan dihancurkan dengan rakus dan kejam oleh Abrahah dan tentera-tenteranya.

Apabila tiba di Mekah, Abrahah terus menuju ke Kaabah untuk menghancurkannya. Tetapi gajah-gajah yang dinaiki oleh Abrahah dan tenteranya enggan bergerak. Sudah puas dipaksa oleh tentera Abrahah, namun gajah-gajah tersebut masih tidak mahu bergerak.

Berang dengan perbuatan gajah-gajah tersebut, Abrahah dan tenteranya  meninggalkan gajah mereka dan bergerak dengan berjalan kaki untuk menghancurkan Kaabah. Selepas meningagalkan gajah-gajah tersebut, kelihatan sekelompok burung Ababil yang amat banyak menuju ke arah mereka.

“Dan ia telah menghantarkan kepada mereka burung Ababil .”

(Surah Al-Fil 105:3)

Burung-burung itu membawa tiga batu yang panas dan merah yang diletakkan di paruh dan pada dua kakinya.

“Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras.”

(Surah Al-Fil 105:4)

“Lalu ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.” 

(Surah Al-Fil 105:5)

Gambaran pelukis mengenai rupa bentuk burung Ababil

Gambaran pelukis mengenai rupa bentuk burung Ababil

Abrahah yang melihat keadaan itu mula berlari berpatah balik, namun dia juga tidak terkecuali terkena bisa hujan batu yang dibawa oleh burung Ababil. Tubuh Abrahah menjadi sasaran anak-anak batu itu dan dia menderita parah akibat luka-luka yang terhasil. Walaupun berjaya diselamatkan dan dibawa keluar dari Makkah oleh tentera-tenteranya, Abrahah tidak terselamat dari azab siksaan Allah S.W.T..Dia menunggang Gajahnya yang bernama Mahmud dan di sepanjang perjalanan,  jari-jemarinya gugur sebatang demi sebatang. Disebabkan bisa kesakitan dan racun yang terdapat pada batu-batu yang dilempar itu, badan Abrahah mula menjadi berlubang-lubang, Dia tidak sempat untuk sampai ke pintu gerbang kota Sanaa, Yaman. Ketika hampir dengan pintu kota itu, dada Abrahah meletus pecah, dan nanah bersemburan keluar dari badannya yang mula membusuk itu. Dia dengan serta-merta mati di situ juga. Tamatlah riwayat seorang lagi musuh Allah S.W.T. yang telah dicabut nyawanya dengan cara yang amat hina.

Gambaran Tentera Abrahah

Gambaran Tentera Abrahah

Surah ini merupakan sebuah surah yang amat penting dan bermakna buat kita seluruh ummat Baginda Rasulullah S.A.W.. Surah ini menguatkan aqidah dan juga keyakinan kita kepada Allah S.W.T. serta merupakan sebuah petanda hikmah yang besar. Surah ini diturunkan kepada Baginda Rasulullah S.A.W. ketika Baginda masih di Mekah dan orang-orang Islam ketika itu ditindas, dihina dan dianiaya dengan amat teruk sekali oleh orang kafir Quraisy. Dengan turunnya surah ini, dalam masa sama menguatkan lagi keyakinan para sahabat bahawa lambat-laun pertolongan Allah S.W.T. tetap akan tiba dan kemenangan pasti dicapai oleh golongan-golongan yang mentauhidkan Allah S.W.T.. Apabila tiba sesuatu pertolongan dari Allah S.W.T., maka tiada sesiapa pun yang mampu untuk menghalangnya. Allah S.W.T. Maha Berkuasa dan lagi Maha Perkasa. WAllahua’lam.


  • 0

Tips Menjadi “Tukang Cerita” yang “Cool” :D

Di ASIQS kami sangat mengalu-alukan kreativiti. Malah seakan sudah menjadi adat di ASIQS untuk Para Guru menguasai kebolehan ini.

Ia bukan sahaja dapat membantu pelajar dalam memahami satu-satu matapelajaran, malah ia juga dapat menjadikan suasana pembelajaran itu lebih santai.

Baiklah, mari kami kongsikan sedikit tips untuk anda. Percaya atau tidak, sebenarnya untuk menjadi seorang “Tukang Cerita” adalah satu hal yang sangat mudah. Ya sangat mudah!! 😀

Apatah lagi jika ia dilakukan dengan rasa tenang. Terkejut bukan? Bagaimana pula menjadi seorang “Tukang cerita” itu begitu mudah?

6cb4223d65ce0c1149f8efec89276407

Berikut ini adalah tips-tipsnya.

  • Pilihlah buku yang boleh menarik perhatian anak anda, seperti buku yang penuh gambar dan berwarna-warni. Sebolehnya, carilah buku dengan jenis kertas yang tebal agar tidak cepat rosak. Setelah melihat desainnya, anda boleh memilih buku dengan cerita yang memiliki pesan moral. Biasanya cerita-cerita rakyat banyak pengajaran ditekankan. Contohnya seperti cerita “Sang Kelembai”, “Pak Pandir”, “Si Kancil” dan lain-lain.

 

  • Sebelum anda bercerita, pastikan anda sudah mengetahui jalan ceritanya agar anda boleh mendalami dan menyampaikan pesannya dengan baik kepada anak anda.

The-Storyteller-Dragons-Featured-11042015

  • Ketika hendak bercerita, mulailah dengan kalimat ‘Pada suatu hari’ atau ‘Pada masa dahulu kala’ atau mulakan dengan pertanyaan kepada anak anda untuk membangkitkan rasa ingin tahunya terhadap cerita yang bakal anda ceritakan nanti.

 

  • Ceritakan dengan penuh ekspresi agar anak anda dapat menjiwai kisah yang anda sampaikan. Susun atur nada suara anda agar bersesuaian dengan dialog yang ada dalam cerita tersebut. Misalnya ketika menemukan karakter anak-anak pada cerita, ubahlah suara anda seperti suara anak kecil. Begitu pula ketika ada karakter jahat, ubahlah suara anda menjadi lebih menyeramkan atau seakan-akan anda benar-benar si penjahat.

story-teller

  • Anda tidak perlu mengikut 100% dialog atau jalan cerita yang anda ceritakan itu. Anda mungkin boleh mengubahnya sedikit mengikut kefahaman anak anda. Gunakan kata-kata anda sendiri yang mudah difahami oleh anak anda.

 

  • Adakan interaksi bersama anak anda seperti adakan sedikit pertanyaan kepada mereka. Inilah kelebihan menjadi seorang Tukang Cerita, anda dan si kecil boleh berkomunikasi secara dua hala. Di tengah-tengah cerita atau di bahagian mana pun, anda boleh bertanya anak anda tentang kelanjutan ceritanya contohnya ketika anda menceritakan kisah “Si Tanggang”, anda boleh bertanya, “Kamu rasa nanti apa akan terjadi pada Si Tanggang?”.Sebolehnya pastikan anda membuat anak anda tidak senang duduk sehingga otak anak anda akan berfikir dan melahirkan pertanyaan-pertanyaan tentang jalan cerita anda itu.

marylou-storyteller1-711x460

  • Anda tidak perlu mengajarnya membaca atau mengenal huruf kerana hal itu boleh mengurangkan kesenangan anak anda selama proses bercerita anda bersamanya itu.Anda perlu pastikan bahawa anda fokus betul-betul masa yang anda luangkan bersama anak anda. Gunakanlah kesempatan anda bersama anak anda sebaiknya.

Sebenarnya menjadi “Tukang Cerita” itu mudah. Luangkan saja 10 hingga 15 minit sehari untuk menceritakan sebuah kisah dongeng atau kisah rakyat atau kisah Para Nabi A.S kepada anak anda.

Ia boleh dilakukan sebelum tidur siang atau sebelum tidur pada malam hari, atau pada bila-bila masa terluang anda bersama si kecil. Yang penting, lakukan dengan senang hati agar anda boleh fokus ketika menyampaikan cerita kepada si kecil kesayangan anda.

 
Selamat mencuba!! 😀


  • 0

Cabaran-cabaran Para Tenaga Pengajar ASIQS

Di ASIQS suasananya amat relax dan pelajar bebas bertanya dan mengeluarkan pendapat. Kesannya, mereka befikiran kreatif. Di sisi guru pula, kami perlu banyak bersabar dengan kekreatifan ini. Jadi merupakan satu cabaran buat kami untuk menghargai kekreativitian para pelajar kami ini. Berikut disenaraikan beberapa tahap ranking kesusahan menahan sabar di ASIQS dari kacamata seorang tenaga pengajar :

1.Paling mudah

Afiq 4

Sabar dengan kenakalan dan keaktifan setiap anak murid. Ini meliputi sikap pelajar yang suka mengejek rakan sekelas, lalu ianya ditambah dengan yang diejek menangis teresak-esak sambil mengejek atau menolak si pengejek. Dan ini mengundang pergaduhan dan huru-hara yang amat dahsyat di dalam kelas. Namun begitu, kedahsyatan ini hanyalah baru menguji tahap kesabaran yang paling rendah. Tenaga pengajar masih lagi boleh kelihatan tenang dan dalam keadaan terkawal.

2.Sederhana

IMG_0051

Sabar menjawab soalan yang tidak putus-putus terutamanya ketika dalam perjalanan ke tandas. Itulah sifat azali seorang kanak-kanak, suka bertanya. Adakalanya mereka tidak perlu berfikir panjang untuk bertanya soalan. Saya baru sahaja menamatkan kelas dan menuju pintu untuk keluar, sudah ditanya “Abang Ashraf nak pergi mana lepas ni?” bila menuju ke tandas pula “Abang Ashraf sakit perut ke?” “Kenapa Abang Ashraf tak guna tandas kat blok Level?” dan lain-lain lagi. Pada masa ini, sabar sudah mulai tergugat. Lebih-lebih lagi apabila kita sedang mengejar masa.

3.Paling susah

IMG_0069

Sabar menahan ketawa ketika jawapan yang mereka berikan atau ada insiden yang mencuit hati, out of box dan luar jangkaan. Kerana sekiranya kami ketawa, dikhuatiri mereka akan terasa mereka salah sedangkan jawapan/perbuatan mereka betul. Kadang-kadang penyalahgunaan bahasa juga menyebabkan situasi ini terjadi. Ini lebih parah kerana khuatir mereka terasa malu.

Ada pernah satu insiden soalan yang ditanya ialah “Apakah Rukun Solat setelah Rukuk?” dengan spontan seorang pelajar perempuan mengangkat tangan dan menjawab “Rabeatul Ihram”. Akibat terlampau terfikir mengenai guru wanita kesayangan beliau, tercampur aduk perkataan-perkataan jawapan mereka.

Bagi sesetengah guru termasuk saya, peratus kegagalan sabar peringkat paling susah ini amatlah tinggi. Di ASIQS, moment sebegini digelar ‘pecah’. Untuk mengurangkan impak kegagalan, kami akan ke pantry untuk sambung moment ‘pecah’ kami di luar pandangan umum.

#disebaliktabir


  • 0

Program Cuci Masjid (PCM)

Assalamualaikum.

Alhamdulillah pada 6 Ogos 2017 yang lepas, beberapa orang warga ASIQS telah secara sukarela menyertai Program Cuci Masjid yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), Shah Alam. Program yang dianjurkan oleh Komuniti Cuci Masjid ini melibatkan ramai pihak seperti pihak MSSAAS sendiri, Jabatan Bomba Shah Alam, Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor (JPJ), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan banyak lagi badan-badan organisasi yang melibatkan diri secara sukarela.

Program bermula pada jam 9 pagi dan dirasmikan oleh Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Bin Mohd Isa, Pengerusi MAIS. Setelah menikmati sarapan pagi yang disediakan, peserta diberikan taklimat ringkas sekaligus dipecahkan kepada beberapa bahagian dan pembahagian kawasan untuk setiap bahagian pun dilakukan. Bagi pihak ASIQS, kami terlibat di kawasan dewan solat utama dan juga dewan solat bawah MSSAAS.

Selama 2 jam lebih kami menyusun Al-Quran, mengalihkan barang-barang lama ke dalam stor, mengutip sampah dan lain-lain lagi. Peserta yang ramai sekitar 300-500 orang memudahkan lagi urusan pencucian setiap bahagian kawasan Masjid. Semoga pihak Komuniti Cuci Masjid akan meneruskan lagi program ini di MSSAAS pada masa yang akan datang agar dapat memberi peluang kepada kami menyertainya.

Di samping Program Cuci Masjid ini, sedang berlangsung juga di MSSAAS ialah Pameran Artifak Asli Rasulullah S.A.W. dan para Sahabat. Ribuan manusia membanjiri pameran ini menjadikan Program Cuci Masjid ini lebih meriah. Kami juga diberitahu oleh salah seorang imam MSSAAS, disebabkan sambutan yang sangat menggalakkan, Pameran Artifak ini telah dipanjangkan masanya hingga ke 23 Ogos 2017. Kamimelihat dengan mata sendiri betapa panjangnya barisan manusia yang beratur untuk memasuki pameran itu.