Daily Archives: August 10, 2017

  • 0
Gambaran Tentera Abrahah

Kisah Tentera Gajah

Tahun kelahiran Nabi Muhammad S.A.W ialah tahun yang sangat mulia. Tahun itu juga dikenali sebagai Tahun Gajah. Tahun ini dipanggil sedemikian kerana pada tahun yang sama, Raja Abrahah Al-Ashram iaitu Raja Yaman ingin menyerang Mekah dan munghancurkan Kaabah bersama-sama tentera bergajahnya. Mengapakah Abrahah ingin menghancurkan Kaabah? yang ketika itu merupakan tempat utama untuk beribadah?

Sebelum serangan ini dibuat, Abrahah telah membina sebuah gereja di Sanaa, Yaman. Gereja ini sangat cantik dan besar pada zaman itu dan diberi nama Al-Qulais. Abrahah ingin memalingkan pandangan orang dari Kaabah ke gerejanya sebagai tempat beribadat yang utama. Tetapi usahanya sia-sia kerana tiada siapapun ingin pergi ke gereja itu. Orang-orang Quraisy bukan sahaja tidak memandang gereja Al-Qulais itu, bahkan ada pemuda-pemuda Quraish yang membuang air besar dan kecil di dalamnya.

Bekas gereja Al-Qulais yang masih ada pada hari ini di Yaman

Bekas gereja Al-Qulais yang masih ada pada hari ini di Yaman

Perkara ini membuatkan Abrahah sangat marah. Disebabkan tiada siapa ingin memalingkan pandangan mereka daripada Kaabah, Abrahah tekad untuk menghancurkan Kaabah di Mekah. Abrahah mempersiapkann tenteranya dengan senjata-senjata yang hebat dan menempatkan mereka pada gajah yang dimport daripada Afrika. Abrahah menunggang gajah yang terbesar dan terkuat di antara gajah-gajah itu yang diberi nama Mahmud.

Selepas Abrahah selesai melengkapkan tenteranya dengan kelengkapan perang dan tunggangan yang hebat, Abrahah mula bergerak beramai-ramai dengan gerombolan tenteranya menuju Mekah. Setiap rumah, ladang dan khemah yang menghalang laluannya akan dihancurkan dengan rakus dan kejam oleh Abrahah dan tentera-tenteranya.

Apabila tiba di Mekah, Abrahah terus menuju ke Kaabah untuk menghancurkannya. Tetapi gajah-gajah yang dinaiki oleh Abrahah dan tenteranya enggan bergerak. Sudah puas dipaksa oleh tentera Abrahah, namun gajah-gajah tersebut masih tidak mahu bergerak.

Berang dengan perbuatan gajah-gajah tersebut, Abrahah dan tenteranya  meninggalkan gajah mereka dan bergerak dengan berjalan kaki untuk menghancurkan Kaabah. Selepas meningagalkan gajah-gajah tersebut, kelihatan sekelompok burung Ababil yang amat banyak menuju ke arah mereka.

“Dan ia telah menghantarkan kepada mereka burung Ababil .”

(Surah Al-Fil 105:3)

Burung-burung itu membawa tiga batu yang panas dan merah yang diletakkan di paruh dan pada dua kakinya.

“Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras.”

(Surah Al-Fil 105:4)

“Lalu ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.” 

(Surah Al-Fil 105:5)

Gambaran pelukis mengenai rupa bentuk burung Ababil

Gambaran pelukis mengenai rupa bentuk burung Ababil

Abrahah yang melihat keadaan itu mula berlari berpatah balik, namun dia juga tidak terkecuali terkena bisa hujan batu yang dibawa oleh burung Ababil. Tubuh Abrahah menjadi sasaran anak-anak batu itu dan dia menderita parah akibat luka-luka yang terhasil. Walaupun berjaya diselamatkan dan dibawa keluar dari Makkah oleh tentera-tenteranya, Abrahah tidak terselamat dari azab siksaan Allah S.W.T..Dia menunggang Gajahnya yang bernama Mahmud dan di sepanjang perjalanan,  jari-jemarinya gugur sebatang demi sebatang. Disebabkan bisa kesakitan dan racun yang terdapat pada batu-batu yang dilempar itu, badan Abrahah mula menjadi berlubang-lubang, Dia tidak sempat untuk sampai ke pintu gerbang kota Sanaa, Yaman. Ketika hampir dengan pintu kota itu, dada Abrahah meletus pecah, dan nanah bersemburan keluar dari badannya yang mula membusuk itu. Dia dengan serta-merta mati di situ juga. Tamatlah riwayat seorang lagi musuh Allah S.W.T. yang telah dicabut nyawanya dengan cara yang amat hina.

Gambaran Tentera Abrahah

Gambaran Tentera Abrahah

Surah ini merupakan sebuah surah yang amat penting dan bermakna buat kita seluruh ummat Baginda Rasulullah S.A.W.. Surah ini menguatkan aqidah dan juga keyakinan kita kepada Allah S.W.T. serta merupakan sebuah petanda hikmah yang besar. Surah ini diturunkan kepada Baginda Rasulullah S.A.W. ketika Baginda masih di Mekah dan orang-orang Islam ketika itu ditindas, dihina dan dianiaya dengan amat teruk sekali oleh orang kafir Quraisy. Dengan turunnya surah ini, dalam masa sama menguatkan lagi keyakinan para sahabat bahawa lambat-laun pertolongan Allah S.W.T. tetap akan tiba dan kemenangan pasti dicapai oleh golongan-golongan yang mentauhidkan Allah S.W.T.. Apabila tiba sesuatu pertolongan dari Allah S.W.T., maka tiada sesiapa pun yang mampu untuk menghalangnya. Allah S.W.T. Maha Berkuasa dan lagi Maha Perkasa. WAllahua’lam.