t>

Monthly Archives: September 2017

  • 0

Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia di ASIQS 2017

Assalamualaikum.

Pada 25 Ogos 2017 yang lepas telah berlangsung satu majlis sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-60 di ASIQS. Acara ringkas dan santai ini bertujuan menanam semangat patriotisme dan nasionalisme dalam jiwa setiap warga ASIQS. Bersempena dengan tema Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu Sehati Sejiwa, beberapa persembahan dan pertunjukan bertemakan sehati sejiwa telah disediakan bagi tatapan semua hadirin. Majlis sambutan bertambah meriah dengan Cikgu Farah dan Cikgu Aina dipilih sebagai pengacara majlis.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Abang Hakim dan diikuti dengan ucapan ringkas mudir ASIQS iaitu Ustaz Idris Husain. Ucapan Ustaz Idris yang seolah mengimbau suasana kehidupan di zaman pra-kemerdekaan dahulu ternyata berjaya menarik perhatian semua pelajar. Walaupun dengan gaya yang ringkas dan santai, kami yakin pelajar dapat memahami teguran-teguran dan nasihat sirius yang cuba disampaikan oleh beliau. “Zaman penjajahan dahulu, sudahlah makanan susah nak dapat, nak dapat ubi kayu pun harus bergaduh dengan babi!” merupakan antara isi ucapan Ustaz Idris dalam menyedarkan para pelajar agar menghargai setiap makanan yang dikurniakan kepada kita. Jangan membazir kerana ianya amalan Syaitan.

IMG_6825

Abang Rafiq dengan Kisah Sungai Rakit

Majlis diteruskan dengan ucapan ketua bahagian QCS iaitu Abang Rafiq. Abang Rafiq sekali lagi membawa sebuah kisah menarik ketika era pra-kemerdekaan dahulu. Kisah kali ini berkaitan dengan Sungai Rakit. Bagaimana Sungai Rakit ini dikaitkan dengan mayat-mayat tentera Jepun sudah cukup menarik perhatian para pelajar yang sememangnya gemar akan kisah-kisah seram. Bagi yang gemarkan kisah seram, pasti akan terhibur, namun bagi mereka yang mencari mesej-mesej kemerdekaan, kisah Abang Rafiq ternyata penuh dengan misteri-misteri patriotisme yang hanya dapat ditangkap oleh mereka-mereka yang peka.

Selesai ucapan-ucapan daripada para guru, tibalah masa bagi para pelajar beraksi. Pada tahun ini, terdapat 5 persembahan yang dipaparkan. Satu daripada kumpulan pelajar Foundation dan selebihnya daripada pelajar Level. Hadirin semua kelihatan terhibur dengan gelagat pelajar-pelajar yang sangat menghiburkan ketika membuat persembahan. Ada menyanyi, ada menari, ada berpidato dan ada yang berdikir barat. Semangat cintakan Negara dalam diri pelajar terserlah apabila hampir kesemua pelajar ASIQS melakukan persembahan pada majlis ini. Pelajar yang di dalam kelasnya pendiam dan malu-malu ternyata menunjukkan belangnya ketika sedang melakukan persembahan di hadapan para penonton. Terima kasih buat semua pelajar dan para guru yang terlibat dalam mempersiapkan persembahan mereka bagi menghiburkan semua hadirin.

IMG_6832

Pelajar Foundation dengan Persembahan Nyanyian-Tarian Mereka

IMG_6839

Pelajar Level 1 Dengan Nyanyian Lagu Kemerdekaan Versi Akustik

IMG_6842

Pelajar Level 2 dengan Diorama Tokoh Kemerdekaan

IMG_6911

Pelajar Level 3 Dengan Diorama Tokoh-tokoh Negarawan

IMG_6924

Pelajar Level 5 dengan Persembahan Dikir Barat mereka

Sebelum majlis bersurai, terdapat satu majlis istimewa yang telah disediakan oleh pihak penganjur. Semua hadirin terpinga-pinga apabila Uncle Saiful mengambil alih mikrofon dan menerangkan kepada para hadirin tentang acara istimewa yang bakal berlangsung ini. Acara ini ialah acara penganugerahan Anugerah Kemerdekaan ASIQS bagi tahun 2017 yang buat julung-julung kalinya diadakan di ASIQS. Anugerah khas ini diwujudkan bagi memberi penghargaan kepada warga ASIQS yang menunjukkan pencapaian cemerlang sepanjang penglibatan mereka di ASIQS. Anugerah ini diberikan kepada 2 orang guru dan 2 orang pelajar. Pencapaian yang diambil kira ialah dalam akhlak, ketekunan, kekreativitian dan prestasi pekerjaan yang dilaksanakan 4 orang tokoh ini. Berikut merupakan senarai nama pemenang-pemenang Anugerah Kemerdekaan ASIQS tahun 2017 :

IMG_6934

Anugerah Kemerdekaan ASIQS 2017 (Majid Salleh) – Abang Firdaus Bin Bahari

IMG_6932

Anugerah Kemerdekaan ASIQS 2017 (Ahmad Boestamam) – Ustazah Siti Khadijah Binti Hussain

IMG_6936

Anugerah Kemerdekaan ASIQS 2017 (Burhanuddin Al-Helmy) – Ahmad Adeeb Bin Ahmad Safri

IMG_6939

Anugerah Kemerdekaan ASIQS 2017 (Mokhtar Dahari) – Mohd Haikal Bin Farouq

Tokoh-tokoh negarawan yang dipilih adalah berdasarkan kepada peribadi dan ketokohan warga ASIQS yang memenanginya. Semoga mereka semua dapat menggiatkan lagi usaha mereka dalam meneruskan perjuangan di dalam kehidupan berbekalkan semangat dan kecekalan para tokoh yang dipadankan.

IMG_7019

Majlis seterusnya diteruskan dengan acara menyanyikan lagu-lagu Patriotik Kebangsaan dan seterusnya bersurai.


  • 0

Budaya 3R

Antara perkara yang ditekankan di ASIQS ialah amalan 3R. Amalan 3R merupakan satu amalan yang mampu memberi kesan besar kepada alam sekitar kita. Apakah yang dimaksudkan dengan 3R ini? 3R ini ialah :

  • Reduce (pengurangan)
  • Reuse (penggunaan semula)
  • Recycle (kitar semula)

Amalan 3R merupakan pendekatan terbaik dalam mengurangkan penjanaan dan pembuangan sisa pepejal di tapak pelupusan. Penjanaan sisa pepejal yang tinggi boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat negara kita. Semakin banyak sisa-sisa buangan yang diproses setiap hari bererti semakin tercemarlah alam sekitar kita dan bayangkan generasi akan datang kemungkinan besar tidak akan kenal erti penghargaan alam sekitar.

Mudir ASIQS dibantu seorang pelajar ASIQS sedang menyiapkan rak-rak Kasut 3R ASIQS

Mudir ASIQS dibantu seorang pelajar ASIQS sedang menyiapkan rak-rak Kasut 3R ASIQS

Tuan Mudir ASIQS sedang beraksi menghasilkan Rak Kasut 3R ASIQS

Tuan Mudir ASIQS sedang beraksi menghasilkan Rak Kasut 3R ASIQS

Jadi, bagaimana amalan 3R dapat mengurangkan penjanaan dan pembuangan sisa pepejal ini? Ketika tulisan ini sedang ditulis, Mudir ASIQS dan beberapa orang pelajar sedang menghasilkan beberapa buah rak kasut dengan menggunakan lebihan pagar besi yang sudah tidak digunakan. Pagar ini merupakan tinggalan bangunan lama yang sepatutnya dibuang, namun bersumberkan kepintaran Tuan Mudir, pagar-pagar ini dibentuk menjadi rak kasut yang sangat unik dan cantik untuk kegunaan warga ASIQS.

Perkara ini tidaklah sukar buat Tuan Mudir dan beberapa orang pelajar ASIQS kerana ini bukan kali pertama mereka mengamalkan amalan 3R di ASIQS. Sebelum ini, mereka telah berjaya menyiapkan sebuah pondok pagola, reban arnab, pagar taman sains ASIQS dan macam-macam lagi dengan hanya menggunakan bahan terpakai dan terbuang.

Selain menjimatkan kos, menghargai alam sekitar dan mengurangkan risiko penyakit-penyakit berbahaya, amalan 3R ini secara tidak langsung mengasah bakat kreativiti dan kemahiran-kemahiran asas pertukangan dalam diri warga ASIQS. Nampak seperti mudah, namun percayalah tidak mudah untuk mengetuk paku, mengikat dawai, memotong kayu, mengukur besi dan macam-macam lagi kemahiran pertukangan.

Rak Kasut 3R ASIQS yang sudah siap dan sedia untuk digunakan

Rak Kasut 3R ASIQS yang sudah siap dan sedia untuk digunakan

Kebanyakan orang akan mengambil remeh perihal kemahiran pertukangan, namun jika diteliti dan dikaji, ternyata ramai orang-orang agung terdahulu merupakan dari golongan-golongan yang mahir bertukang.

Berkenaan Nabi Nuh A.S. :

“Dan buatlah bahtera itu dengan pengawasan dan petunjuk wahyu Kami ..”

(Surah Hud 11 : 37)

Berkenaan Nabi Daud A.S. :

“Dan telah Kami ajarkan kepada Daud membuat baju besi untuk kamu, guna memelihara kamu dalam peperangan; Maka hendaklah kamu bersyukur (kepada Allah)”

(Surah Al-Anbiya’ 21 : 80)

Berkenaan Nabi Zakaria A.S. :

“Zakariya Alaihissallam dulu adalah seorang tukang kayu”

(Hadis Riwayat Muslim no. 2379)

 


  • 0

Pelajaran penting dari Al Quran

Di ASIQS kami sangat percaya bahawa pendidikan adalah proses yang sangat penting di dalam kehidupan manusia.

Melalui pendidikan, setiap manusia belajar seluruh hal yang belum mereka ketahui. Bahkan melalui pendidikan, seseorang manusia dapat menguasai dunia dan tidak terikat lagi oleh batas-batas yang membatasi dirinya.

Pendidikan melahirkan seorang yang berilmu, yang dapat menjadi khalifah Allah S.W.T. di muka bumi ini. Seperti yang pernah diungkapkan Sheikh Muhammad ‘Abduh, seorang tokoh pembaharu Muslim terkenal :

“Pendidikan adalah hal terpenting dalam kehidupan manusia dan dapat mengubah segala sesuatu.”

tubuh-manusia

Percaya ataupun tidak dalam diri manusia itu ada sifat kehaiwanan dan kemanusiaannya. Karakteristik yang khas dari kemanusiaannya ialah iman dan ilmu (sains). Manusia mempunyai kecenderungan untuk menuju “ke arah kebenaran-kebenaran dan wujud-wujud suci”. Manusia tidak boleh hidup tanpa mensucikan dan memuja sesuatu (Tauhid).

Manusia juga memiliki kecenderungan untuk memahami alam semesta, untuk “menjelajah tempat-tempat yang berada di luar lingkungannya, seperti planet-planet lain dan juga tentang masa lampau dan masa depan”.

Langit-Angkasa-Luar-Berbintang-Storywarren.com_-1024x640

Oleh kerana itu, kita dapat menyimpulkan bahawa perbezaan yang paling penting dan mendasar antara manusia dan makhluk-makhluk lainnya terletak pada iman dan ilmu (sains) yang merupakan kriteria kemanusiaannya.

Iman dan ilmu adalah karakteristik kemanusiaan, maka jika kita memisahkan keduanya, maka ia akan menurunkan martabat manusia.

Iman tanpa ilmu akan mengakibatkan fanatisme dan kemunduran, tahyul dan kebodohan.

Ilmu tanpa iman akan digunakan untuk memuaskan nafsu, kerakusan, kekayaan yang melampau, meluaskan pengaruh negatif, ambisi yang buruk, penindasan, perhambaan, penipuan dan kecurangan.

Ilmu+2

Hanya Islamlah satu-satunya agama yang menyatukan iman dan ilmu (sains).

Keterkaitan antara iman dan ilmu dan pertalian keduanya yang tidak dapat dipisahkan, ia akan selalu mewarnai pemikiran dan dasar konsep pendidikan dalam agama Islam. Inilah yang cuba dipadukan oleh kami di ASIQS.

Kami juga sedar para ulama selalu menegaskan bahawa kewajipan menuntut ilmu tidak boleh dipandang enteng.

Allah SWT berfirman:


قُلْ هَلْ يَسْتَوِى الَّذِيْنَ يَعْلَمُوْنَ وَالَّذِيْنَ لَا يَعْلَمُوْنَ ۗ  اِنَّمَا يَتَذَكَّرُ اُولُوا الْاَلْبَابِ

 

“Katakanlah, ‘Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?’ Sesungguhnya orang-orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran”.

(QS Az Zumar : 9)

Sebagaimana ayat al-Quran di atas, banyak sekali hadis-hadis yang mewajibkan kita untuk menuntut ilmu dan peri pentingnya mencari ilmu.

seindah+cinta+islam+1

“Mencari ilmu wajib hukumnya bagi setiap muslim”.

Percayalah, salah satu kewajipan Islam, yang sejajar dengan semua kewajipan lainnya adalah mencari dan menuntut ilmu.

Mencari ilmu adalah wajib hukumnya bagi setiap orang muslim; tidak hanya dikhususkan bagi satu kelompok dan tidak bagi kelompok yang lain. Ia sama seperti kewajipan solat, puasa, zakat, haji, amar ma’ruf nahi munkar, dan sebagainya.

Kewajipan menuntut ilmu tidak memiliki pengkhususan, hanya untuk wanita atau lelaki sahaja, sebagaimana jihad dan solat Jumaat hanya untuk kaum mukminin. Tetapi ia adalah kewajipan bersama sebagai seorang manusia yang sangat dituntut oleh Allah S.W.T.

morning_study_by_yuniarko

Menuntut ilmu juga tidak memiliki batasan waktu atau masa tertentu, sebagaimana hadis Nabi S.A.W. :

“Carilah Ilmu dari buaian sampai ke liang kubur”

(Bukhari & Muslim).

Pada setiap zaman, manusia haruslah menggunakan kesempatan yang ada untuk mencari ilmu. Keluasan kewajipan menuntut ilmu juga digambarkan dalam hadis, “Carilah ilmu walaupun sampai ke negeri China”. Ertinya di sini mencari ilmu tidak memiliki batasan tempat tertentu, sebagaimana juga tidak memiliki waktu tertentu seperti ibadah haji hanya di Mekah pada bulan Zulhijjah.

Rasulullah S.A.W. pernah mengatakan bahawa :

“Seandainya engkau mengetahui apa yang terkandung di dalam (kenikmatan) mencari ilmu, maka nescaya engkau akan mencarinya meskipun engkau harus mengalirkan darah dan menyelam ke dasar lautan”.

Ilmu-Sains

Di dalam proses menuntut ilmu terdapat banyak hikmah yang boleh kita terokai seperti sabda Rasulullah S.A.W. :

“Hikmah adalah barang orang mukmin yang hilang, yang akan diambil di mana saja mereka menemukannya”.

Saidina Ali K.W.J.  juga pernah berkata, “Hikmah adalah barang orang mukmin yang hilang, maka ambillah hikmah itu meskipun dari orang munafik” dan “Lihatlah apa yang dikata bukan siapa yang berkata.”

Mari kita fikirkan? Islam memerintahkan untuk kita menuntut ilmu, kerana menuntut ilmu itu tiada batasan waktu, menuntut ilmu itu bukan milik golongan tertentu sahaja, menuntut ilmu itu tiada pengkhususan tempat atau tenaga pengajarnya, lalu kenapa Islam begitu mundur dan selalu berteman dengan kebodohan?

Hal inilah yang sangat menyedihkan kerana sesungguhnya perintah-perintah yang mulia ini telah ditinggalkan begitu saja oleh pengikut Islam itu sendiri.

Hanya dengan pendidikan sahaja kita dapat mengubah musibah yang melanda umat islam hari ini. Pendidikan dengan keinsafan yang tinggi dapat mendorong manusia itu untuk terus mencapai apa yang sangat-sangat Allah S.W.T. perintahkan pada manusia,iaitu menjadi insan yang bertaqwa dan taat kepada segala perintah dan laranganNYA.

kewajiban-menuntut-ilmu-7-638

Melalui pengkajian yang mendalam dan iman yang tinggi manusia dapat menerobos ke alam malakut yang lebih tinggi dan sama-sama dapat membimbing manusia lain ke arah kesempurnaan.

Oleh sebab itulah kami sangat menekankan amali di kalangan anak-anak didik kami, agar mereka dapat merefleksi dan memahami ayat-ayat Allah S.W.T. dan mengamalkannya dalam segala sudut kehidupan mereka.

Bukan markah yang tinggi yang menjadi sandaran, tetapi amalan dan keimanan yang menjadi keutamaan agar apa yang anak-anak didik kami pelajari menjadi saham yang amat berguna buat mereka di hari akhirat kelak.

Semoga perkongsian ini mendapat manfaat dan hikmah buat semua.. 😀


  • 0

Mendidik Dengan Bermain

Assalamualaikum.

Di ASIQS, kami amat menekankan konsep permainan dalam pembelajaran. Bagi kami, sebagai seorang pelajar, yang paling diminati mereka ialah bermain. Tidak dinafikan golongan yang sudah habis bersekolah juga gemarkan bermain, tetapi malangnya masa untuk mereka bermain sudah amat terhad atau kemungkinan besar tiada langsung. Apa yang kami lakukan di ASIQS ialah, kami menerapkan konsep permainan di dalam pengajaran dan pembelajaran. Lumrah kehidupan seseorang kanak-kanak itu mempunyai satu perasaan ingin tahu (curiosity) yang tinggi dalam menerokai alam ini, jadi dengan cara bermain dapat membantu mengembangkan lagi potensi ini di dalam jiwa mereka.

Jadi apa sahaja manfaat bermain dalam pengajaran dan pembelajaran ini?

Kemahiran Sosial

IMG_6289

Secara asasnya, dengan bermain, ia akan memperbaiki kemahiran sosial dan kognitif seseorang pelajar itu. Kemahiran sosial sangat penting dalam era zaman moden masa kini, jadi amatlah rugi andai kemahiran ini tidak mula digilap sejak dari mereka masih kecil lagi. Bagaimana pula kemahiran sosial boleh membantu peningkatan mutu pembelajaran seseorang anak? Mudah saja, apabila kemahiran sosial sudah mula berkembang, pelajar akan mula memberanikan diri untuk maju ke hadapan. Mereka tidak akan segan silu lagi untuk bertanya soalan, untuk mengajar kawan-kawan malah tidak takut untuk melakukan persembahan atau pertunjukan di khalayak ramai. Sebagaimana yang diketahui, dengan bertanya soalan dan mengajar orang lain adalah cara yang paling efektif dalam menimba ilmu. Sebagaimana yang pernah difirmankan Allah S.W.T. di dalam Al-Quran :

“Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian”

(Surah Al-Fatir 35 : 29)

Ini ditambah pula dengan hadis daripada Baginda Rasulullah S.A.W., dari Saidina Uthman Affan R.A. :

“Sesungguhnya orang yang paling utama di antara kalian adalah yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

72981_10150823049913939_603415639_n

561789_10150822992773939_372579230_n

Kemampuan yang paling hebat yang boleh diperolehi anak-anak setelah menguasai kemahiran sosial ini ialah, mereka berani menegur mana-mana perbuatan yang salah dan mengarah ke arah kebaikan tanpa mengira usia. Namun perkara ini haruslah diambil perhatian, dengan terma ‘menguasai’ bermaksud mereka bijak menggunakan kemahiran sosial mereka apabila menegur seseorang yang lebih tua daripada mereka. Sebagai contoh, di ASIQS, kita boleh lihat bagaimana pelajar yang lebih muda menegur pelajar yang lebih tua kerana mereka tidak menumpukan perhatian ketika mudir sedang memberikan ucapan di dalam perhimpunan mingguan. Jangan terkejut jika pelajar-pelajar foundation menegur guru mereka sendiri apabila guru mereka melakukan kesilapan. Sebagai contoh, saya pernah ditegur oleh pelajar berumur 8 tahun kerana tidak membersihkan papan putih setelah tamat sesi pengajaran. Walaupun menegur, mereka tetap memperhiaskan adab yang baik dalam menegur golongan yang lebih tua daripada mereka. Ini adalah antara pencapaian terhebat seorang pelajar perolehi dalam penguasaan kemahiran sosial mereka.

Kemahiran Kognitif

IMG_6090

Kemahiran kognitif merupakan kemahiran penting yang merangkumi cabang kemahiran yang amat luas yang sangat penting untuk dikuasai oleh anak-anak. Ia meliputi kemahiran-kemahiran seperti :

  • Penyerapan ilmu pengetahuan (knowledge)
  • Konsentrasi (attention)
  • Daya ingatan (working memory)
  • Penilaian (judgement dan evaluation)
  • Penaakulan (reasoning)
  • Penyelesaian masalah (problem solving dan decision making)
  • Pemahaman (comprehension)
  • Penguasaan bahasa (language)

Tidak harus diterangkan lagi apakah kepentingan kemahiran-kemahiran disebutkan di atas kerana semua orang tahu inilah asas-asas kemahiran yang diperlukan dalam menimba dan memanfaatkan ilmu. Jadi bagaimana pula dengan bermain dapat membantu meningkatkan kualiti kemahiran-kemahiran di atas? Akan saya kongsikan di sini sedikit pengalaman-pengalaman di ASIQS ketika bermain dalam mendidik anak-anak.

Pernah satu ketika saya mengajar subjek Matematik di ASIQS, anak-anak murid sangat bencikan tajuk “Bahagi”. Dan saya akui tajuk ini amatlah susah terutama bagi mereka yang baru mula berjinak-jinak dengan matematik. Jadi apa yang saya lakukan ialah saya jadikan seluruh satu minggu tajuk ini diajar ke dalam bentuk permainan yang dipanggil “Treasure Hunt”. Sebelum saya terlupa, ingin saya kongsikan, pada tahun 2012, pelajar-pelajar ASIQS dilengkapi dengan alat tablet pintar di mana mereka akan menggunakannya untuk mencari maklumat dari internet dan sebagainya. Jadi bagaimana permainan ini berjalan? Pelajar-pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan seperti biasa, treasure akan disorokkan di seluruh kawasan sekolah. Setiap kumpulan akan diberikan sehelai kertas pembayang yang berupa 20 soalan matematik berkaitan “bahagi”. Apabila mereka berjaya menyelesaikan satu soalan dengan tepat, jawapan yang tepat ini akan menjadi kata kunci bagi sebuah file yang akan menunjukkan kedudukan lokasi treasure yang dicari. Sebagai satu contoh mudah, soalan berbunyi “Lapan bahagi dua sama dengan?”(8/2=?). Jawapan kepada soalan ini (iaitu 4) akan menjadi kata kunci bagi sebuah file yang sudah saya kuncikan di dalam tablet mereka.

432182_10150645100873939_35853111_n

Adik Amir mencuba nasib dengan nombor tekaan sifir 11 dan sifir 7

418160_10150645101803939_1791330168_n

Pelajar harus menyelesaikan soalan pembayang bagi mengetahui apakah nombor sifir yang ada di dahi mereka

Melalui cara ini, saya dapat lihat pelajar yang paling pasif di dalam kelas pun menunjukkan minat bersungguh-sungguh cuba untuk memahami tajuk bahagi sekaligus menyelesaikan soalan-soalan yang diberikan. Perkara yang paling lucu ialah, sebenarnya soalan yang diberikan ini sama sahaja dengan soalan ujian atau kerja rumah yang pernah diberikan dan mereka gagal untuk menyempurnakannya. Dengan permainan “treasure hunt”, sekurang-kurangnya usaha mencuba itu dapat dilihat. Secara amnya, kemahiran yang digilap di sini ialah kemahiran penyerapan ilmu, konsentrasi dan daya ingatan (sifir).

Saya masih ingat lagi suatu ketika, mudir ASIQS yang mengajar subjek hafazan pernah cuba menjadikan subjek ini dalam bentuk permainan. Saya masih ingat subjek yang diajar ketika itu ialah Surah Ar-Rahman. Apa yang dilakukan oleh Mudir ASIQS ketika itu? Beliau telah mencetak ayat-ayat surah Ar-Rahman dan memotongnya kepada beberapa kalimah untuk setiap ayat. Pelajar kemudiannya dibahagikan ke dalam beberapa kumpulan dan secara berlumba, mereka harus mengambil secara rawak potongan-potongan yang ada dan cuba untuk menampalkannya di dinding. Kumpulan yang paling cepat menyusun dengan betul akan dikira sebagai pemenang. Selain kemahiran sosial, dapat dilihat kemahiran konsentrasi, daya ingatan dan penyelesaian masalah digilap dalam permainan berkonsep sebegini.

379065_10150547572488939_1997476607_n

Ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah Ar-Rahman dipotong satu persatu dan dicampur adukkan

395591_10150547573158939_2086840610_n

Pelajar berlumba menyusun ayat-ayat Surah Ar-Rahman

Contoh ketiga ialah dengan membuat lakonan (play) sesuatu subjek atau kisah itu. Sebagai contoh, pada tahun 2014, kami telah menganjurkan satu Islamic Science Fair ASIQS di mana pelajar-pelajar ASIQS berpakaian seperti ilmuan-ilmuan agung Islam silam. Jika anda hadir ke Science Fair ini, jangan terkejut melihat jelmaan semula Al-Farabi, Ibnu Haytham, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Ibnu Batutah dan lain-lain lagi di sini. Dengan konsep penghayatan sebegini, pelajar lebih ingat akan kejadian-kejadian yang terjadi semasa zaman-zaman kehidupantokoh-tokoh ini. Dari jauh anda melihat bagaimana Laksamana Cheng Ho dan peta dunia gergasi beliau menerangkan tempat-tempat yang pernah beliau lawati suatu ketika dahulu. Bagaimana prop prop alat bedah doktor menjadi bahan peneranganpelajar yang menjemla sebagai Az-Zahrawi dan banyak lagi. Apa yang lebih menarik ialah setiap prop atau alat persembahan disediakan sendiri oleh pelajar yang dilantik menjadi tokoh-tokoh berkenaan.

942844_10151701301698939_171744835_n

Ibnu Battuta (Adik Emir) dan Laksamana Cheng Ho (Adik Ajmal) sedang menerangkan pengalaman pengembaraan mereka kepada ibu bapa

944700_10151701289688939_517293434_n

Ibnu Sina (Adik Farah) , Al-Khwarizmi (Adik Ismat) dan Ibnu Khaldun (Adik Syukrina) bergambar dengan seorang peminat

Cara ini juga sesuai digunakan dalam subjek-subjek Tafsir, Sejarah, Akhlak dan Ibadah. Secara tidak langsung ia menggilap kemahiran penyerapan ilmu, konsentrasi, daya ingatan (fakta-fakta), pemahaman dan penguasaan bahasa (apabila menerangkan kepada orang ramai).

Yang terakhir ialah dengan membawa permainan-permainan papan (boardgame) untuk dimainkan di dalam kelas. Ada banyak permainan-permainan papan yang ada di luar sana bertujuan membantu meningkatkan kemahiran-kemahiran penting anak-anak murid. Antara yang pernah digunakan di ASIQS ialah Ticket to Ride, Saboteur, Resistance, Secret Hitler dan Dixxit. Penerangan mengenai setiap satu permainan ini insya Allah akan dijelaskan kemudian. Berdasarkan pengalaman, kami melihat para pelajar ASIQS cukup minat dan terhibur ketika bermain permainan-permainan papan ini. Cabaran dalam permainan-permainan ini memang memerlukan pelajar menganalisis situasi, meneka penjahat, membuat keputusan yang bermanfaat dan macam-macam lagi. Tersilap keputusan bererti kesengsaraan buat diri mereka atau kumpulan mereka. Dan ini secara tidak langsung merangsang pertumbuhan kemahiran penaakulan, penilaian dan penyelesaian masalah mereka.

149304_10150992251048939_540330600_n

Pelajar-pelajar ASIQS sedang diajar cara-cara bermain permainan papan “Ticket To Ride”

544805_10150992250868939_621150581_n

Sebagai penutup posting ini, sekali lagi saya ingin sarankan agar tenaga pendidik di luar sana supaya mencuba konsep permainan dalam mendidik ini. Jika mampu, perbanyakkan ia dan anda akan terkejut dengan hasil yang bakal muncul. Kita terpaksa akui, zaman sekarang dengan perkembangan pesat teknologi, membuatkan anak-anak murid lebih terikat dan tertarik kepada permainan-permainan video atau tablet yang bertumbuh bagai cendawan di luar sana. Jadi, merupakan tanggungjawab kita untuk cuba menangani masalah yang sudah melarat ini. Jika diteliti, tidak semua permainan video ini memberi manfaat kepada anak-anak kita, namun mereka tetap tertarik kerana ianya dipersembahkan dalam bentuk-bentuk yang menarik. Perkara ini harus dijadikan cabaran buat para pendidik di luar sana agar menjadikan suasana pengajaran dan pembelajaran mereka lebih menarik daripada permainan-permainan video ini. Ianya tidak mustahil, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Gunakan semua sumber yang ada tetapi pastikan ianya bermanfaat. Bagi saya, semua permainan ada manfaatnya, jika ianya digunakan dengan betul dan dikaitkan dengan cara yang tepat. WAllahua’lam. 🙂