t>

Monthly Archives: October 2019

  • 0

Adriana dan Usaha Gigih

Diam diam ubi berisi adalah perumpamaan terbaik yang boleh digambarkan untuk Adriana. Walaupun kelihatan seperti agak kurang fokus semasa di dalam kelas, Adriana ternyata bukan seperti yang disangka. Hasil kerja rumah yang diberikan oleh para guru sentiasa disempurnakan dengan begitu hebat dan tidak pernah sekali menghampakan. Semasa sesi pembelajaran Adriana agak ketinggalan oleh kerana sifat pendiamnya, namun itu bukanlah suatu penghalang baginya. Oleh sebab itu, setiap kali peperiksaan dijalankan, Adriana sentiasa mendapat markah yang tinggi berbanding dari rakan-rakannya.

Kerja-kerja yang dilakukannya juga sangat teliti dan kemas. Seperti pelajar-pelajar yang lain, Adriana juga mempunyai azam untuk mendapat tempat pertama dalam peperiksaan dan semua aktiviti yang ada di ASIQS. Walaupun pendiam, Adriana yakin semuanya akan berjaya jika dia berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam setiap apa yang dilakukan. Sebagai seorang pelajar, kita perlu memberikan sepenuh perhatian dan fokus yang tinggi semasa sesi pembelajaran. Untuk menjamin masa depan yang cerah, minat pada pelajaran yang kita belajar adalah sangat penting.

#hanyadiASIQS


  • 0

Khairah dan Dompet

Apabila kita memperolehi sesuatu barang yang sangat berharga buat kita, pastinya kita akan menjaganya dengan sebaik mungkin. Bagi Khairah, seorang pelajar Level 2 ASIQS, antara barang yang sangat berharga bagi beliau ialah dompet baru berbentuk kucing berwarna biru pemberian mak ayahnya. Cantik sungguh dompet Khairah, pasti mahal harganya.

Pada minggu lepas, menurut Abang Zul, semasa pelajar-pelajarnya seronok bermain di padang, Khairah meletakkan dompet kesayangannya di tepi padang untuk menyertai rakan-rakannya bermain. Namun sesudah pulang ke kelas, Khairah baru menyedari bahawa beliau telah tertinggal dompetnya di padang tersebut. Atas dasar sifat sayang dan tanggunjawabnya pada dompet itu, Khairah pun meminta izin kepada Abang Zul untuk turun semula ke padang dan mengambil dompet kesayangannya itu semula. Alhamdulillah, Khairah berjaya juga menemui dompetnya walaupun beliau korbankan masa rehatnya. SIfat Khairah yang menghargai dompet pemberian ibubapanya, wajib dicontohi kerana beliau sangat memahami perit lelah kesusahan ibubapanya untuk membeli sesuatu yang bernilai buat dirinya. Bagus Khairah, teruskan sikap murni anda ini!

#HanyadiASIQS

 


  • 0

Seni Kraf Tangan Kertas Amar

Setiap daripada pelajar kami di ASIQS ni mempunyai minat dan hobi tersendiri. Ada yang suka menyanyi, ada juga yang suka bermain bola sepak. Tetapi bagi Amar Firman, seni kraf tangan kertas adalah sesuatu yang menarik minat beliau untuk dijadikan sebagai sebuah hobi.

Hasil kraf tangan kertas daripada pelajar L2 ini, sangat mengagumkan dan menarik untuk dilihat. Ianya membuatkan anda terfikir bagaimana seseorang yang berusia sangat muda mampu menghasilkan sesuatu yang tidak dapat dijangka oleh akal fikiran. Pelbagai corak dan reka bentuk yang menarik telah dihasilkan oleh Ammar. Antaranya adalah roket dan robot yang besar. Apabila ditanya bagaimana beliau menghasilkannya, Ammar menjawab dengan menggamkan kertas yang telah dipotong dengan rapi. Ammar juga menyatakan bahawa ada sesetengah hasil kraf tangan kertas beliau mengambil masa yang agak lama. “Saya siapkan dalam masa 10 jam untuk buat robot ni” ulas Ammar sambil tersenyum lebar.

Begitulah minat Ammar yang mendalam dengan seni kraf tangan kertas beliau ini. Kami di ASIQS percaya, apabila seseorang itu mempunyai minat akan sesuatu, beliau pasti akan membuatnya dengan penuh bersungguh-sungguh. Kami akan terus memberikan galakan dan sokongan kepada Amar agar beliau dapat menghasilkan seni yang lebih mengagumkan pada masa hadapan, Insya-Allah.

#HanyadiASIQS


  • 0

Pembentangan Ariaan Yang Spontan

“Hebat betul, secara spontan je dia boleh buat macam tu.” ulas Abang AB, salah seorang tenaga pengajar ASIQS, ketika membicarakan tentang anak murid L2 beliau, Aryaan apabila ditanya baru-baru ini.

Menurut Abang AB, Aryaan ini adalah seorang yang agak pasif, kerana beliau tidak suka dan agak berat untuk menulis sesuatu apabila di dalam kelas. Namun kelebihan yang Aryaan miliki adalah beliau sangat petah dalam berkata-kata dan bercerita, lagi-lagi apabila ianya berkaitan dengan perkara yang diminati beliau. Abang AB juga menjelaskan bahawa beliau telah memberi satu tugasan kepada anak-anak murid L2 termasuk Aryaan untuk menyiapkan karangan tentang hobi mereka dan membuat pembentangan tentang karangan tersebut beberapa hari kemudian.

Pada hari pembentangan, anak-anak murid L2 telah menyiapkan tugasan masing-masing dan membuat pembentangan berdasarkan pada karangan mereka. Lain pula bagi Aryaan, yang di mana beliau tidak menyiapkan karangan beliau tetapi Aryaan mampu membuat pembentangan secara spontan dan membuatnya dengan baik sekali. Ternyata Aryaan sangat mencintai dunia bunyi-bunyian dan peralatan persembahan. Beliau menjelaskan satu persatu dengan petah dan terperinci membuatkan semua pendengar terpana dan terpegun.

Hebat sungguh bakat anak murid yang seorang ini. Mana tahu dengan mengembangkan bakat yang beliau ada, Aryaan mampu menjadi seorang juruacara atau penyampai yang berjaya pada masa depan. Dan sebab itu jugalah, kami di ASIQS akan sentiasa memberi sokongan dan pembelajaran kepada mana-mana pelajar yang minatnya cenderung ke arah kemahiran.

#HanyadiASIQS


  • 0

Bengkel Menjawab Soalan di UM

“Janganlah kamu sesekali berenti mempelajari sesuatu. Kerana apabila kita berhenti belajar, tiada perkembangan yang akan kita kecapi.” – Logan “Jack” Lewman. Ayat ini membuat kita terfikir bahawa setiap hari dan setiap waktu kita akan mempelajari sesuatu yang baru. Sesuatu yang boleh mengubah pemikiran dan pengalaman yang kita akan alami.

Baru-baru ini, pelajar-pelajar L6 ASIQS diberi peluang untuk menghadiri kursus di Universiti Malaya (UM) kerana mereka bakal menduduki peperiksaan IGCSE pada bulan Oktober kelak. Pelajar-pelajar L6 tersebut ditemani oleh salah seorang tenaga pengajar ASIQS, Kak Yaya, yang telah membawa mereka menghadiri Bengkel Menjawab Soalan yang dianjurkan oleh pihak UM itu. Menurut Kak Yaya, banyak juga yang dipelajari oleh pelajar-pelajar ASIQS dan ianya sangat berguna untuk mereka yang bakal menduduki peperiksaan nanti.

Sepertimana perkataan “Iqra’” telah diturunkan oleh Allah S.W.T. sebagai wahyu pertama kepada Rasulullah S.A.W., sebagai peringatan bahawa betapa pentingnya tuntutan ilmu dan pembelajaran kepada manusia. Begitu jugalah kami para guru di ASIQS, yang sentiasa mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa tersebut, dengan menggalakkan anak-anak murid kami agar sentiasa menuntut ilmu dan mempelajari sesuatu yang baru, walau dimana sahaja mereka berada.

Semoga anak-anak murid L6 dipermudahkan dalam menghadapi peperiksaan yang akan datang. Kami guru-guru ASIQS sentiasa ada di sini untuk membantu anda selagi mana yang mampu.

#HanyadiASIQS