t>

Monthly Archives: November 2019

  • 0

Shaqil dan Taekwondo

Seni mempertahankan diri adalah sesuatu yang sangat bagus untuk dipelajari. Terdapat pelbagai jenis seni mempertahankan diri yang kita boleh pelajari seperti silat, karate dan judo. Ia boleh digunakan untuk mempertahankan diri daripada pelbagai ancaman seperti pembuli, perompak dan sebagainya. Kebanyakan ibubapa menghantar anak-anak mereka untuk mempelajari seni pertahanan diri pada usia yang muda.

Di ASIQS juga tidak terkecuali kerana kami mempunyai seorang pelajar yang mempelajari seni mempertahankan diri ini. Nama pelajar tersebut ialah Shaqil dari level 2 dan beliau sangat meminati taekwando. Oleh kerana terlalu minat dengan taekwando, Shaqil sering bercerita dengan kawan-kawannya tentang taekwando dan apa pencapaian yang telah beliau kecapi.

Kami guru-guru di ASIQS juga ingin menyatakan perasan bangga kami apabila mengetahui yang Shaqil telah berjaya menyelesaikan grading list untuk Black Belt pada minggu lepas. Wow, tidak sangka pelajar kami yang seorang ini bakal memakai tali pinggang hitam dalam taekwando! Menurut Shaqil, apabila beliau berjaya kelak, beliau boleh menjadi pembantu jurulatih taekwando di sekolah ASIQS atau di sekolah-sekolah yang lain.

Hebat sungguh Shaqil ini! Pada usia yang muda, Shaqil sudah bercita-cita tinggi dan menyatakan hasrat beliau untuk berjaya dalam taekwando. Begitulah kami di ASIQS, walau apa jua yang pelajar-pelajar kami minati, pastinya kami akan sentiasa mengalu-alukannya.

#HanyadiASIQS


  • 0

Arts under Microscope

Beberapa hari yang lepas semasa kelas Quranic Thoughts, Kak Yaya diberi peluang untuk mengajar pelajar-pelajar L1 tajuk Organ-organ Dalam Badan Haiwan. Dalam kelas tersebut, pelajar-pelajar dikehendaki menggunakan mikroskop untuk meneliti anatomi seekor semut.

Menurut Kak Yaya, pelajar-pelajar L1 tersebut mempelajari subjek tersebut dengan penuh khusyuk dan bersemangat. Mereka berasa kagum dan terpegun kerana ini adalah kali pertama mereka menggunakan mikroskop untuk melihat anatomi semut. “Bertuah betul adik-adik L1 ni dapat menggunakan mikroskop pada usia yang muda.” tambah Kak Yaya lagi.

Mengkaji alam semulajadi bukanlah perkara yang asing di ASIQS dan ia juga adalah subjek yang besar dan utama di sekolah ini. Kami di sini percaya banyak rahsia-rahsia alam sekitar yang Allah S.W.T. bentangkan kepada kita dan ianya adalah sebahagian daripada tugas kita sebagai manusia untuk mencarinya dengan apa cara sekalipun. Selain itu, ia juga boleh menambah ilmu pengetahuan yang sedia ada.

#HanyadiASIQS


  • 0

Tamadun Korea

Anda semua minat mendengar lagu-lagu Korea? Ataupun pernah menonton rancangan “Ke Korea Ke Kita?”, yang di mana mereka memaparkan bagaimana kehidupan masyarakat di sana. Mesti kadang-kadang rasa terpegun dan kagum, seolah-olah berharap dapat pergi sana untuk mempelajari kehidupan dan adat-adat masyarakat Korea.

Baru-baru ini, para pelajar L3 telah diberikan peluang untuk mempelajari ketamadunan masyarakat Korea dalam subjek Quranic Civilisation & Sociology. Menurut Madam Husseinah, sesi pembelajaran berupa kraf kali ini sangat menarik untuk dikendalikan kerana para pelajar harus membina benda-benda dari tamadun Korea dengan menggunakan bahan-bahan terpakai mengikut kreativiti masing-masing.

Dalam pembelajaran ini juga, di samping menguji kreativiti, para pelajar juga akan dapat mengingati dengan lebih jelas tentang masyarakat Korea. Banyak juga istilah-istilah yang dipelajari oleh pelajar-pelajar L3 ini antaranya adalah istilah berkenaan dengan rumah, barang kemas dan juga lain-lain.

Begitulah di ASIQS, kami para guru percaya yang pembelajaran melalui penghayatan adalah sangat efektif dan juga terbukti mampu meningkatkan permahaman dalam pembelajaran. Kami juga yakin dengan kepelbagaian teknik yang kami lakukan akan membantu pelajar pada masa yang akan datang.

#HanyadiASIQS


  • 0

Budaya Ilmu yang Sihat

Pada minggu lepas, admin sempat menemu bual dengan salah seorang guru ASIQS, Abang Aznil, tentang kegiatan dan tingkah laku yang agak pelik di kalangan pelajar-pelajar L6.

“Sejak akhir-akhir ni, saya perasan satu perkara di ASIQS ni. Pelajar-pelajar L6 ni mempunyai satu tabiat yang unik di sekolah kita. Apabila ada masa terluang atau pada waktu rehat, pelajar-pelajar L6 pasti akan kelihatan sedang mengajar pelajar-pelajar L4. Macam jadi cikgu ganti pun ada.” Ulas Abang Aznil apabila berbual dengan admin baru-baru ini.

“Subjek yang mereka selalu ajar adalah subjek matematik dan fizik. Selalunya subjek-subjek yang berkaitan dengan pengiraan.” Abang Aznil menyambung. “Agaknya mereka prihatin dan risau dengan adik-adik mereka yang bakal menduduki periksaan dalam tempoh 2 tahun lagi. Jadi pelajar-pelajar L6 ni pun mengambil langkah yang awal dengan memberi sokongan dan motivasi kepada pelajar-pelajar L4.” Admin pun mengangguk kepala sambil tersenym, bersetuju dengan kata-kata Abang Aznil.

“Alhamdullillah, kita berjaya terapkan budaya ilmu dalam diri mereka semua. Memang perkara ini berlaku dalam keluarga yang harmoni, si abang akan ajar si adik tanpa disuruh atau dipaksa atas dasar sifat kasih sayang dan mengambil berat antara satu sama lain” kata-kata Abang Aznil dengan rasa puas.

#HanyadiASIQS


  • 0

Belajar sambil Bermain

Subjek Sejarah merupakan antara subjek yang paling mencabar untuk diajar kepada para pelajar. Di ASIQS juga ianya tidak terkecuali. Kami sentiasa cuba mencari cara yang terbaik dalam memantapkan pengajaran sejarah di ASIQS. Berikut merupakan hasil perkongsian Abang AB, guru subjek Sejarah di ASIQS.

“Baru-baru ini semasa saya mengajar subjek Quranic Civilisation and Sociology, saya mengajak anak-anak murid saya bermain permainan papan 7 Wonders. Hampir semua tamadun lama yang diajar sebelum ini wujud dalam permainan papan ini. Dalam permainan tersebut, nampak juga yang pelajar-pelajar L1 ni mula meminati sejarah tamadun-tamadun lama seperti Babylon, Mesir, Yunani, Rome dan sebagainya.”

“Selari dengan objektif pembelajaran subjek ini, pelajar-pelajar tersebut juga boleh mengeluarkan rumusan mereka sendiri. Ada juga yang memberitahu saya, setelah bermain permainan ini, mereka menjadi faham bahawa sesuatu tamadun akan lebih hebat jika perdagangan, ketenteraan dan politik mereka diseimbangkan.” Ujar Abang AB lagi.

Bagi kami di ASIQS, tiada subjek yang bosan atau sia-sia, cuma perlu dicari dan diselesaikan dengan cara yang menarik dan bersesuai dengan keadaan. Pada pendapat kami, kebanyakan generasi muda pada zaman kini sukakan permainan, jadi apa salahnya kami terapkan permainan dalam pembelajaran kami.

#HanyadiASIQS