t>

Monthly Archives: December 2019

  • 0

Tahniah Kak Maria!!

Pada awal musim cuti sekolah yang lepas, Kak Maria, salah seorang tenaga pengajar di ASIQS, telah menamatkan zaman bujang beliau dengan jejaka pilihan hatinya. Kak Maria dikenali oleh anak-anak murid-murid beliau sebagai salah seorang guru yang telah lama berkhidmat di ASIQS.

Apa yang menarik perhatian kami, semasa di majlis perkahwinan, hampir kesemua pelajar-pelajar lama dan guru-guru yang pernah berkhidmat di ASIQS, menghadiri dan memeriahkan majlis Kak Maria ini. Bukan sahaja pelajar-pelajar lama dan baharu, malah ibubapa mereka menghadiri bagi meraikan hari yang menggembirakan ini. Ini menunjukkan bukan sahaja terbentuknya harmoni di kalangan warga ASIQS, tetapi juga menunjukkan kepentingan institusi keluarga dalam sesuatu sistem pembelajaran. Kami di sini sudah boleh diibaratkan seperti sebuah keluarga yang sangat besar.


Sebelum terlewat, sekali lagi kami di ASIQS ingin mengucapkan tahniah kepada Kak Maria dan pasangan beliau. Semoga pasangan mempelai ini kekal bahagia hingga ke anak cucu, Insya-Allah.

#HanyadiASIQS


  • 0

Alumni yang dirindui

Bersempena dengan musim cuti sekolah, para alumni ASIQS telah mengadakan satu perjumpaan semula atau reunion bersama dengan rakan-rakan seangkatan mereka. Bekas pelajar-pelajar ini memulakan pengajian mereka di ASIQS pada tahun 2012 dan tamat pada tahun 2017 ini merupakan merupakan kumpulan pelajar ASIQS yang pertama semenjak ASIQS ditubuhkan.

Walaupun telah lama meninggalkan ASIQS, namun para alumni ini tidak melupakan dan sering mengajak guru-guru mereka untuk berjumpa dan berkumpul bersama-sama. Salah seorang daripada alumni, Fauzan, sentiasa akan menetapkan tarikh, masa dan lokasi untuk mereka berkumpul. Baru-baru ini juga, Fauzan yang sudah menguruskan perniagaan satay beliau sendiri, membelanja semua yang hadir dengan satay. Satay ini dibakar dan dibawa sendiri oleh beliau dan ianya sangat sedap, banyak dan mengiurkan. Memang kelas pertama dan kami rekemenkan kepada anda untuk mencubanya!

Begitulah di ASIQS, walaupun telah lama meninggalkan sekolah ini, para alumni ini tidak melupakan jasa-jasa dan sumbangan daripada guru-guru mereka. Kami berasa sangat terharu dan berbangga apabila dapat melihat bekas-bekas pelajar ini berjaya dalam apa jua yang mereka tempuhi.

#HanyadiASIQS


  • 0

Dann dan rubic cube

Pada suatu ketika dahulu, permainan rubik atau lebih dikenali sebagai Rubik Cube ini sangat popular di kalangan remaja dan orang dewasa. Setiap pemain harus menyelesai Rubik Cube ini dengan menyusun semula warna-warna ke tempat dan petak asal sehingga membentuk satu sisi yg sempurna dengan warna yang betul. Rubik Cube ini banyak manfaatnya seperti menajamkan pemikiran pemain dalam mencari jalan untuk menyelesaikan teka-teki.


Dann, seorang pelajar ASIQS yang sangat meminati Rubik Cube tetapi tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikannya. Lalu beliau pun meminta pertolongan daripada Abang Umair kerana Abang Umair sering bermain permainan ini. Tersenyum lebar, Abang Umair telah meletakkan satu perjanjian dengan Dann, yang dimana Dann harus mempelajari beberapa kata kerja di dalam Bahasa Arab.  “Selesai sahaja tugasan ini, abang akan ajar Dann cara-cara untuk menyelesaikan permainan ini” ujar Abang Umair kepada Dann.

Dengan minat yang mendalam kepada Rubik Cube, Dann pun menyahut tugasan dan cabaran yang diberi oleh Abang Umair. Lalu Dann pun belajar kata-kata kerja tersebut dalam Bahasa Arab. Setelah beberapa hari, Dann menunjukkan kepada Abang Umair hasil beliau dalam mempelajari kata-kata tersebut. Janji harus ditepati, Abang Umair pun mengajar Dann bagaimana untuk menyelesaikan Rubik Cube.


Setelah 15 minit diajar, Dann berjaya juga menyelesaikan Rubik Cube. Kegembiraan terpancar di wajah beliau. Tidak kedekut dengan ilmu yang diberi, Dann mengajar pula kepada rakan-rakan beliau bagaimana untuk menyelesaikan Rubik Cube.  Seronok bila dapat melihat mereka bermain bersama-sama di ASIQS.

#HanyadiASIQS


  • 0

Litar Selari dan Kongsi

Pernahkah anda mendengar cerita hikayat zaman dahulu, yang di dalam cerita tersebut seorang ayah mengajar anak-anaknya hidup bekerjasama dengan menggunakan ranting kayu? Begitu juga dengan pembelajaran dalam kelas Fizik yang diajar oleh Abang Aznil baru-baru ini. Beliau ingin mengajar anak-anak muridnya hidup bekerjasama, tetapi ada sedikit kelainan dengan teknik pembelajarannya pada hari itu.

Dalam kelas Fizik tersebut, Abang Aznil mengajar pelajar-pelajar L3 tentang litar siri dan litar selari. Di samping itu, para pelajar juga dikendaki membuat model replika litar siri dan litar selari. Abang aznil juga telah menyediakan peralatan yang mencukupi untuk membuat model tersebut.

Setelah selesai membuat model litar siri, tiba-tiba para pelajar L3 tersedar yang mereka tidak mempunyai alatan dan barang yang mencukupi untuk membuat model litar selari. “Abang Aznil! Tak cukuplah nak buat litar selari!” Abang Aznil mendengar keluahan anak-anak muridnya, namun beliau hanya tersenyum dan berkata kepada meraka: “Ada, cukup barang untuk litar selari. Cuma kamu semua perlu fikirkan saja bagaimana nak menyelesaikannya.” Garu kepala masing-masing dibuatnya. Apa yang Abang Aznil cakapkan ni? Mana cukup barang-barang nak buat? Ketika itulah para pelajar L3 ni tersedar, mereka harus berkongsi dan membentuk satu kumpulan untuk membuat litar selari tersebut. “Hah, barulah cukup barang nak buat. Kita semua kena bekerjasama sekali, barulah boleh buat model litar selari ini!”

Di situlah para pelajar L3 tersedar yang dengan mengamalkan sikap bekerjasama, mereka pasti akan dapat menyelesaikan pelbagai masalah dan rintangan yang datang. Bagus juga teknik pembelajaran Abang Aznil ni. Unik tetapi sangat berkesan.

#HanyadiASIQS


  • 0

Tangkap Ikan dan Udang tanpa guna apa apa

Setiap kali bila kita terfikir tentang teknik-teknik dan cara-cara menangkap ikan, pastinya kita semua
akan membayangkan nelayan akan menggunakan jala dan pemancing pula akan menggunakan joran. Tetapi tahukah anda, bukan itu sahaja teknik yang kita boleh gunakan.

Baru-baru ini Abang Aznil dan beberapa orang guru lain telah membawa pelajar-pelajar L4 ASIQS ke sebuah sungai berhampiran untuk mengajar mereka menangkap ikan. Akan tetapi, pada kali ini mereka tidak akan menggunakan joran mahupun jala, sebaliknya Abang Aznil mengajar pelajar-pelajar beliau menangkap ikan menggunakan serpihan biskut dan kain pelikat. Mereka menghamparkan kain pelikat tersebut ke dalam sungai sebelum menaburkan umpan biskut ke atas kain pelikat tersebut.

Banyak sekali ikan dan udang yang telah ditangkap. Setelah selesai sesi pembelajaran, Abang Aznil dan pelajar-pelajarnya melepaskan semula ikan-ikan yang ditangkap tetapi membawa pulang udang untuk diberi makan kepada kura-kura. Pelbagai perkara baru yang pelajar-pelajar ASIQS dapat belajar pada hari tersebut. Jikalau mereka tersesat di dalam hutan atau sebagainya, diharapkan mereka sudah mampu berdikari dan berusaha untuk meneruskan hidup.

#HanyadiASIQS