t>

Dahsyatnya kasih sayang Allah S.W.T.

  • 0

Dahsyatnya kasih sayang Allah S.W.T.

Hari ini semasa bersembang-sembang dengan Cikgu Mohd Shamsul Bahari Rosli @ Cikgu AB, (waktu itu kami baru balik dari Open House student kami, Aiman di Bukit Jelutung).

Cikgu AB bercerita tentang kisah salah seorang anak muridnya yang bertanya tentang mengapa kita kena takut pada Allah S.W.T.?

Mengapa Allah S.W.T. perlu ditakuti? Seolah-olah kita hidup dipenjara kerana takutkan sesuatu.

Cikgu AB memberitahu anak muridnya bahawa:

“Tuhan hanya layak ditakuti jika kita banyak buat silap. Cikgu AB menambah kata Taqwa itu sebenarnya bukanlah takut pada Allah S.W.T. tetapi mendekatlah pada Allah S.W.T. dengan akhlaq yang baik dan taat kepadaNYA.”

“Ibarat kita sayang ibu bapa kita dan taat pada ibu bapa kita. Jika kita buat salah, baru kita akan rasa takut pada ibu bapa kita.”

Itulah jawapan Cikgu AB pada anak muridnya itu.

Selepas selesai menghantar Cikgu AB dan keluarganya. Aku meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Di dalam perjalanan pulang itu aku terfikir tentang…

[Dahsyatnya Kasih Sayang Allah S.W.T.]

Aku terfikir, ketika Fir’aun berkata,

فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ الْأَعْلَى

(Fir’aun) berkata, “Akulah tuhanmu yang paling tinggi.”
(QS An-Nazi’at : 24)

Bagaimana cara Allah S.W.T. membalas kesombongannya? Allah S.W.T. berfirman kepada Musa A.S. dan Harun A.S.

فَقُولَا لَهُ قَوْلاً لَّيِّناً لَّعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى

“Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Fir‘aun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia sedar atau takut.”
(QS Thaha : 44)

Seorang bijak yang mendengar ayat ini pernah berkata:-

MAHA SUCI ENGKAU YA ALLAH……

JIKA SEPERTI INI KASIH SAYANGMU KEPADA FIR’AUN YANG MENGAKU SEBAGAI TUHAN YANG PALING TINGGI, MAKA BAGAIMANA KASIH SAYANGMU KEPADA HAMBA YANG SETIAP HARI BERSUJUD KEPADAMU SERAYA BERKATA:-

سُبْحَانَ رَبِّيَ الْاَعْلَى

“Maha Suci Tuhanku (Allah) yang Maha Tinggi.”

JIKA SEPERTI INI KASIH SAYANGMU KEPADA FIR’AUN YANG PERNAH BERKATA DENGAN SOMBONG :-

مَا عَلِمْتُ لَكُم مِّنْ إِلَهٍ غَيْرِي

“Aku tidak mengetahui ada Tuhan bagimu selain aku.”
(QS Al-Qashas : 38)

MAKA BAGAIMANA KASIH SAYANGMU KEPADA HAMBA YANG SELALU BERKATA,

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ

“Tidak ada tuhan selain Allah…”

Sungguh, Murka Allah S.W.T. akan menimpa orang-orang yang benar-benar tidak mahu menerima kasih sayangNya.

Begitu lembut cara Allah S.W.T. menghadapi Fir’aun yang telah melampaui batas, namun Fir’aun tetap tidak mahu menerima kasih sayang dan petunjuk dariNya.

وَسَيَعْلَمُ الَّذِينَ ظَلَمُوا أَيَّ مُنقَلَبٍ يَنقَلِبُونَ

“Dan orang-orang yang zalim kelak akan tahu ke tempat mana mereka akan kembali.”
(QS Asy-Syuara : 227)

Marilah kita bersyukur memiliki Tuhan yang begitu pengasih dan penyayang, semoga kita termasuk orang-orang yang mensyukuri kasih sayang Allah S.W.T. dengan mengikuti semua perintah dan menjauhi laranganNya.

Ya… memang ia berat bagi orang awam seperti kita yang selalu tidak terlepas dari dosa. Tetapi Allah S.W.T. tidak pernah minta kita berputus asa dengan AmpunanNYA.

Percayalah rahmat Allah S.W.T. lebih luas dari murkaNYA.


Leave a Reply