t>

Mencerap Buruj Ilmu dan Maklumat

  • 0

Mencerap Buruj Ilmu dan Maklumat

Black_Hole_Merger_Simulation.0.0Termaktub, umat manusia sekali lagi menukilkan batas baru, lalu merayakan kekayaan akal fikiran kurniaan Penciptanya, dengan satu penemuan terbaharu: buat julung kalinya, ‘terlihat’ gelombang gravitasional, atau gravitational wave, di alam semesta. Adapun usul petunjuk kepada keberadaan gelombang ini bukanlah baharu. Ilhamnya tidak lain dan tidak bukan telah pun dikemukakan oleh seorang ahli fizik kelahiran Jerman berkewarganegaraan Amerika Syarikat, Albert Einstein (1879–1955) pada tahun 1916—atau, 100 tahun lalu—sebagai bagian penting daripada teori relativitinya yang masyhur.

Jentera kepada pemerhatian secara langsung terhadap gelombang ini digerak-gempurkan dengan kerjasama kumpulan-kumpulan saintis antarabangsa, dikepalai badan-badan makmal digelar LIGO dan Virgo. Diberitakan juga bahawa yang turut serta memberi impak dalam kerjasama eksperimen ini adalah seorang saintis muda anak Malaysia bernama Hafizah Noor Isa (1987–), calon PhD di University of Glasgow, Scotland. Selayaknya, kita turut berbangga malah terinspirasi. Penerangan lebih lanjut lagi terperinci mengenai kejadian ini—segala tafsir dan rentetan penemuannya—bolehlah didapati di sini.

Episod ini, dilihat dengan meminjam kanta medan astronomi dan fizik, pantas mengurai babak awal dalam jilid-jilid soal jawab yang masih lagi ditulis di antara insan dan semesta yang mendampinginya, utamanya dalam hal-hal bersangkut-paut faham daya graviti dan koordinasi objek-objek di angkasa. Berdiri dari sudut lain pula, dalam medan manusiawi, saripati kejadian ini masih menuding kepada nisbah jirim manusia yang begitu kerdil dan rendah diri berbanding gahnya bentangan jagatraya—dan betapa darjat kita sememangnya diangkat dan harus diangkat dengan ilmu.

Lantas fikiran kita terbawa kepada firman-Nya, dalam ayat ke-12, Surah an-Nahl, yang mengingatkan: “Dan Dia memudahkan bagi kamu malam dan siang, dan matahari serta bulan; dan bintang-bintang dimudahkan dengan perintah-Nya untuk keperluan-keperluan kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum yang mahu memahaminya.”

Dalam Surah al-An’am ayat ke-97 pula, terakam peringatan-Nya sebegini: “Dan Dialah yang menjadikan bintang-bintang bagi kamu supaya kamu berpedoman kepadanya dalam kegelapan (malam) di darat dan di laut. Sesungguhnya Kami telah jelaskan tanda-tanda kebesaran (Kami) satu-persatu bagi orang-orang yang mengetahui.”

Ada sisi lain terhadap hidangan naratif ini untuk kita cerna. Penghuni dunia, seanteronya, yang kini melangkau 7 bilion jiwai, dimaklumkan sepenuhnya mengenai berita penemuan ini dalam ruang masa yang singkat—kurang lima minit dari saat pengumumannya yang rasmi. Tanpa lengah, berita ini tersebar dengan sangat cepat, dan tiba ke pangkuan penerimanya juga dengan sangat cepat, merentas jumlah populasi Bumi yang paling luarbiasa ramainya. Imej simulasi yang kian ikonik—dua lohong hitam pekat berpusar di ufuk angkasa, saling bertindakbalas—terpapar jelas di merata-rata skrin, sejauh melatanya manusia, dari Kepulauan Falklands ke Vladivostok, dari Hokkaido ke pulau-pulau antara genangan Lautan Pasifik. Jarak bahkan tidak lagi menjadi soal. Entah-entah Einstein akan teruja jika dapat beliau saksikan hakikat ini.

Bukankah ini satu kegilaan? Tapi itulah takdir kita yang sekarang berdiam di abad ke-21 ini, sambil ‘dduduk ccokoh, ddiri ccace’, bak kata orang Kelantan—terduduk mencakah, berdiri mencancang—di simpang siur maklumat yang maha dahsyat lajunya dan teramat sarat isi kandungannya. Sungguh, koridor raya maklumat yang kita sedang tempuhi sekarang ini bukanlah calang-calang, tak pernah terlihat oleh orang-orang yang terdahulu.

Kami di ASIQS tidaklah langsung masygul dan musykil akan hakikat ini. Malah, atas dasar inilah kami sentiasa terdorong untuk mengemaskini perantara komunikasi kami antara stakeholders yang tanpa henti menggerakkan enjin operasi Institut ini. Masuk bulan kedua tahun 2016, benang silaturahim yang menjalin erat trilogi ibu bapa, guru dan murid terus kami tenun dengan hati-hati dan teliti, baik di lembaran muka Facebook ataupun paparan Telegram. Salah faham yang terbit harus minimal, persefahaman yang mendekatkan pula harus kekal. Ini doa dan ilham kami. Ini juga adalah agenda kami yang perlu nada istiqamah.

Niat di sebalik tabir percaturan ini bukanlah sekadar mahu tebu tertanam di tepi pinggir bibir sesiapa: kata-kata kami ini, harap-harapnya, bukanlah hanya pemanis mulut. Namun semuanya hanya untuk memacu matlamat kami yang jelas: dengan terainya penyelenggaran maklumat yang sihat, disertai penyampaian ilmu yang rapi dan terkemas kini, ramuan kita dalam mengadun ramai lagi bakat-bakat yang bakal menemukan lebih banyak rahsia khazanah alam milik Allah Yang Maha Tinggi akan sedia mantap.

Rancaknya aliran maklumat, berserta penemuan demi penemuan ini begitu menginsafkan. Masakan boleh kita terus mendabik dada dalam soal who knows best? Dalam perbicaraan kita ini, kita langsung diingatkan dengan firmannya Yang Maha Suci, dalam ayat ke-20, Surah al-Ankabut: “Katakanlah, (wahai Muhammad): Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Tidak dilupakan juga petikan yang tersohor, menyentuh tentang peribanyak khazanah-Nya, dirakamkan dalam ayat ke-109, Surah al-Kahfi: “Katakanlah, (wahai Muhammad): Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun Kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.”

Analogi ini disandarkan lagi dengan makna ayat ke-27, Surah Luqman, yang berbunyi: “Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

12615746_10208570190951494_6196924957392695694_o

Papan anjal dalam bentuk ASIQS ini sentiasa kita baikpulih, selenggara, dan jika boleh, perbaharui, untuk memastikan terjunan yang cantik ke dalam kolam ilmu yang lebih mendalam. Kejayaan terjunan ini bukan sahaja akan mengambilkira ukuran kedalaman (depth), malah akan mencakupi ukuran keluas-lebaran (breadth) dan juga jarak (distance) demi memastikan kualiti terjunan dan renangan yang unggul. Jasmaninya, terjunan ini nampaknya sama sekali terbatas kepada disiplin ruang-masa yang temporal. Namun kecantikan sebenar terjunan ilmu ini terkandung dalam dimensi spiritualnya: betapa terubatnya dahaga dan segarnya kondisi mental sang pencari ilmu setelah dia menerokai dengan jayanya ketiga-tiga asbab ini tadi.

Iktibar di sebalik kejayaan demi kejayaan yang tercapai oleh umat manusia merentasi bidang, dari membedah saraf di balik kornea sehinggalah berteka-teki dengan cakerawala, harus kita ambil berat dan ambil kira. Sewajarnya kita tidak mengulangi kesilapan masyarakat era Renaissance1, yang berlanjutan sampai ke detik ini, yang malah cenderung mengatakan Tuhan makin menghilang lewat enlightenment yang dibawa sains.

Tentunya Islam tidak berpendirian sebegini, malah kemilau kota Baghdad2 yang cemerlang ketika Eropah malap pada Zaman Pertengahan, misalnya, menjadi saksi iktikad umat Islam terhadap dalamnya akar sciences dalam lubuk spiritual manusia. Bahkan Einstein yang kita sebut-sebut pada awal perbincangan ini pernah mengatakan, ‘science without religion is lame, religion without science is blind’: sains tanpa agama itu pincang, agama tanpa sains itu buta.

Semoga tidak sia-sialah ucaptama ‘Iqra’’3 daripada-Nya kepada Baginda Junjungan kita, sallallahu ‘alaihi wa ‘ala alih, beribu Ramadan yang lalu.

I Data Bank Dunia pada tahun 2013 untuk jumlah besar populasi dunia: 7.125 bilion orang: http://www.worldometers.info/world-population/

1 Tempoh kebangkitan dan pelestarian sosiobudaya dari abad ke-14 ke 17 di Eropah

2 Kota Baghdad di pinggir Sungai Tigris (hari ini Iraq) masyhur sebagai kota wacana pemikiran umat Islam di bawah dinasti ‘Abbasiyyah (750–1258). Di pusat kotanya ada Baitul Hikmah, tersohor sebagai nadi ilmu tumpuan pemikir dan ilmuwan. Semua ini sama sekali lenyap apabila kota itu diserang dan dibinasakan dengan lumatnya dalam serangan tentera Mongol, pada 1258

3 Kalimah pertama daripada ayat pertama Surah al-‘Alaq, maksud penuhnya: “Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).”

 


Leave a Reply