t>

History

Kesemua pelajar ASIQS dan guru-guru bergambar kenangan pada Tahun 2012

Kesemua pelajar ASIQS dan guru-guru bergambar kenangan pada Tahun 2012

ASIQS pada asalnya merupakan sebuah program Sains Al-Quran dipanggil “Innovology” dan diuruskan oleh Innovology Solutions, sebuah syarikat kecil beroperasi sekitar tahun 2010. Bermula dengan program bulanan bertemakan Sains di Masjid-masjid dan Surau-surau sekitar negeri Selangor, program-program bulanan ini disatukan menjadi sebuah kurikulum sekolah yang komprehensif dan dalam masa yang sama menyeronokkan. Pada tahun 2012, kurikulum ini mula digunakan dalam satu usahasama dengan Dimentika Sdn Bhd, pemilik Sekolah Integrasi As Syakirin (SIAS). Sempena usahasama itu, sekolah dinamakan As Syakirin Institute of Quranic Sciences.Pada tahun ini, bermulalah perjuangan 7 orang tenaga pengajar mendidik 35 orang pelajar dengan menggunakan modul kurikulum ASIQS yang pertama.

Setahun kemudian, pada tahun 2013 ASIQS bergerak sendiri dan dimiliki sepenuhnya oleh 3 pengasas utama mereka iaitu Mohd Ashraf Mohd Nor, Ustaz Idris Husain dan Mohd Shamsul Bahari Rosli. ASIQS kemudian ditukar namanya kepada Ash Shura Institute of Quranic Sciences. ASIQS juga berpindah lokasi daripada Seksyen 13 ke Seksyen 8 Shah Alam. Bangunan baru yang lebih besar dan selesa ini cukup untuk menempatkan sekitar 57 orang pelajar dan 15 orang tenaga pengajar. Pada tahun ini juga, ASIQS sudah mula menjalankan program-program dan aktiviti terbuka kepada orang luar seperti Science Fair ASIQS, Social Science Day ASIQS dan banyak lagi.

Pada tahun 2014, ASIQS menerima kedatangan beberapa orang tenaga pengajar dari beberapa buah negara luar seperti daripada Amerika, Mesir, Nigeria dan Perancis. Kepakaran mereka dalam bidang-bidang yang berbeza telah banyak membantu ASIQS memperindahkan lagi kurikulumnya dalam mendidik pelajar yang sudah bertambah kepada 75 orang. Pada tahun ini juga ASIQS mula mengambil pelajar-pelajar dari Foundation 1 dan ini memerlukan bidang kepakaran yang berbeza.

Pada tahun 2014 ini juga, pihak ASIQS telah dijemput oleh pihak UiTM untuk bekerjasama dengan Fakulti Seni Reka dan Seni Lukis (FSSR) dalam menjayakan beberapa program bersama. Antara program yang melibatkan ASIQS dan FSSR ialah program Quranic Arts Conference & Exhibition.

Berikutan penambahan pelajar yang konsisten setiap tahun, pada tahun 2015 pihak ASIQS mengambil keputusan untuk beroperasi di dua lokasi yang berasingan. Lokasi di Seksyen 8 dikekalkan untuk menempatkan pelajar-pelajar Foundation manakala sebuah bangunan baru disewa di Seksyen 9 untuk menempatkan pelajar-pelajar Level. Pada tahun ini juga, pihak ASIQS mula menjadi tumpuan para pelajar Universiti untuk dijadikan sebagai tempat mereka menjalankan latihan praktikal. Pihak ASIQS dengan berbesar hati menerima kebanyakan daripada permohonan ini kerana kesudian mereka untuk menuntut ilmu di ASIQS amatlah dihargai. Pelajar-pelajar daripada UiTM, UIA, MSU dan banyak lagi pernah menabur jasa di ASIQS.

Setelah setahun dipisahkan, pada tahun 2016 blok Level dan Foundation ASIQS sekali lagi disatukan di bawah satu bumbung. Bangunan baru ASIQS di Bukit Bandaraya lebih luas dan selesa cukup untuk menampung pelajar seramai 98 orang dan 20 orang tenaga pengajar. Tahun ini bermulalah proses mengdokumentasikan kurikulum ASIQS untuk dipakejkan dan ditawarkan kepada mana-mana badan pendidikan yang sudi untuk menggunakan kurikulum ASIQS. Pada tahun ini juga, sebuah Syarikat pendidikan yang besar, iaitu ABS Education Sdn Bhd mula bekerjasama dengan ASIQS. ABS Education Sdn Bhd membuka sebuah sekolah yang diberi nama Akademi Bakat ABS dan beroperasi di Bangi. Sekolah ini merupakan sekolah pertama yang menggunakan kurikulum ASIQS secara rasmi. Sehingga ke hari ini, banyak program dan usaha kerjasama yang telah dijalankan bersama dengan ABS Education Sdn Bhd.

Pihak ASIQS mengalu-alukan sebarang usaha kerjasama atau idea-idea bernas yang boleh membantu dalam menyediakan sistem pendidikan terbaik berteraskan Al-Quran yang mampu merubah anak-anak muda dalam mempelajari ilmu. Ilmu yang dipelajari haruslah disampaikan dalam bentuk yang menarik dan menyeronokkan agar memudahkan proses pemahaman.

[URIS id=1296]