t>

Facilities Baru

Bermula pada bulan Julai tahun 2018, ASIQS mula beroperasi di bangunan Space U8, Bukit Jelutong Shah Alam. Dengan jumlah lima lot kedai yang kesemuanya dicantum dengan menarik menghasilkan satu kawasan sekolah yang amat luas dan merupakan apa yang ASIQS kehendaki apabila pelajar ASIQS sudah hampir mencecah 100 orang ketika itu. Ditambah dengan bilangan tenaga pengajar ASIQS seramai 20 orang, bangunan baru ini mampu memuatkan kesemua 120 orang warga ASIQS dalam satu-satu masa.

Bangunan ASIQS yang baru ini menempatkan 8 buah kelas yang luas dan tersergam indah. Kelas-kelas ini mampu memuatkan sejumlah 12-18 orang pelajar dalam satu-satu masa. Setiap kelas ini dilengkapi dengan papan putih, penghawa dingin dan bahan bantu mengajar seperti televisyen 42 inci atau pemancar projektor dan layar putih mengikut kesesuaian tahap pelajar yang menggunakan kelas-kelas ini.

Setiap kelas dihiasi dengan pelbagai cara dekorasi dinding bagi mewujudkan suasana ceria para pelajar ketika menuntut ilmu. Apa yang menarik ialah setiap dekorasi kelas ini diilhamkan sendiri oleh para pelajar bagi mewujudkan perasaan cinta ke atas kelas mereka masing-masing. Sistem tingkap yang strategik mengizinkan pencayaan semulajadi matahari menerangi setiap kelas dengan terang membuatkan suasana kelas bertambah ceria dan indah.

Selain 8 kelas yang dinyatakan di atas, di bangunan baru ASIQS ini juga menempatkan sebuah bilik khas yang dinamakan ‘Intervention Room’. Di sini para pelajar yang memerlukan khidmat nasihat konsultasi atau pendidikan tambahan akan dilayan dan ditemani oleh guru-guru yang berkenaan. Suasana bilik yang tenang akan membuatkan pelajar berasa selesa untuk belajar terutamanya bagi mereka yang mempunyai sebarang kekurangan upaya dalam pembelajaran.

Selain 8 buah kelas, ASIQS mempunyai sebuah dewan serbaguna yang bertindak sebagai dewan utama, dewan surau, dan juga kelas pada sesuatu masa. Dewan segiempat berukuran sekitar 400 kaki persegi ini mampu memuatkan sehingga 100 orang jemaah pada satu-satu masa. Dewan ini dilengkapi dengan penghawa dingin, kipas,  pemancar projektor beserta layar putih dan papan putih menjadikannya sesuai digunakan untuk majlis-majlis besar.

Dewan serbaguna atau Surau ASIQS

Bahagian belakang surau ASIQS menempatkan sebuah bilik wuduk

Bagi pelajar-pelajar yang cintakan buku dan perlukan ketenangan apabila membacanya, ASIQS menyediakan sebuah perpustakaan yang sangat besar dilengkapi dengan bahan-bahan bacaan sesuai dengan keperluan pelajar level dan foundation. Struktur bentuk perpustakaan yang unik berbentuk sukuan bulatan ini dijangka menjadi daya penarik kepada pelajar untuk berbincang mahupun menyiapkan kerja apabila ianya sudah sepenuh siap kelak.

Bagi pelajar yang cintakan ilmu Sains, ASIQS menyediakan sebuah makmal Sains yang diberi nama Science Centre bagi memangkin keseronokan pelajar. Science Centre ASIQS serba canggih dan moden dilengkapi dengan pelbagai alatan Sains seperti mikroskop, buret dan lain-lain. Makmal ASIQS juga dibekalkan dengan bahan-bahan Kimia yang mencukupi untuk digunakan baik pelajar Level mahupun Foundation. Suasana Science Centre yang seakan-akan bertaraf makmal Universiti ini juga dilengkapi dengan sistem penghawa dingin, Televisyen 42 inci yang dipasang bertujuan menambahkan lagi kefahaman pelajar tentang sains secara visual.

Makmal Sains atau Science Centre ASIQS

Selain tempat-tempat pembelajaran, bagi mereka yang gemarkan aktiviti kesihatan atau lasak, di bangunan ASIQS baru ini terdapat sebuah kawasan Gymnasium yang boleh digunakan untuk membuat sebarang aktiviti terutamanya yang berkaitan dengan sukan.

Khas bagi pelajar Foundation, bangunan ASIQS mempunyai banyak ruangan luas untuk mereka bermain. Kebanyakan kelas Foundation di ASIQS dijalankan berkonsepkan permainan, jadi ruang-ruang permainan amatlah diperlukan oleh para pelajar dan tenaga pengajar bagi menjamin keseronokan pembelajaran. Di antara ruangan-ruangan ini ialah Dataran Bendera ASIQS, Pondok Pagola Al-Idris, Halaman Arnab An-Naeem dan beberapa ruangan permainan yang disediakan khas di dalam bangunan ASIQS.

Bagi kemudahan para tenaga pengajar ASIQS pula, sebuah bilik kakitangan disediakan khas buat tenaga pengajar yang mahu berehat atau melakukan kerja-kerja harian mereka. Bagi menyediakan tenaga pengajar yang hebat, bilik-bilik mereka haruslah sentiasa dijaga dan diselenggara supaya mereka mendapat keselesaan dan ini memudahkan lagi mereka untuk melakukan kerja dengan cemerlang. Selain bilik, sebuah “pantry” disediakan bagi para tenaga pengajar yang ingin menikmati snek-snek atau makanan ringan sementara menanti waktu kelas. Di sinilah juga para tenaga pengajar mengeratkan lagi silaturrahim sesama mereka. Pertukaran pendapat dan idea di kalangan guru amatlah digalakkan dan apabila semua dikumpulkan dalam satu tempat, ianya dapat melancarkan lagi proses pertukaran idea ini.

Sebuah ruang menunggu disediakan bagi para ibubapa yang ingin berjumpa dengan pihak ASIQS. Sebuah kaunter operasi ditempatkan di sini bagi mengendali para tetamu. Setiap ibubapa haruslah memaklumkan kepada pegawai yang bertugas terlebih dahulu sebelum disalurkan kepada individu-individu yang berkenaan bagi menyelesaikan sebarang pertanyaan berkaitan ASIQS.