t>

Experienced Workforce

Experienced Workforce

Sebuah sekolah yang baik pastinya mempunyai tenaga kerja yang dedikasi dan bertanggungjawab. Di antara tenaga kerja yang terlibat dengan pengurusan sekolah ialah para guru, pihak pengurusan dan staf-staf sokongan yang sentiasa bersama-sama melancarkan perjalanan harian di sekolah. Para guru pula merupakan pemain penting dalam menaikkan nama sesebuah sekolah itu hingga ke tahap yang lebih baik kerana mereka berurusan terus dengan anak murid. Di ASIQS, kami mempunyai para guru yang sungguh berkebolehan dan mempunyai kepakaran yang luas dalam banyak aspek.

Pengalaman Luas dalam industri berkaitan Pendidikan

Di ASIQS, kami memiliki guru yang mempunyai pengalaman yang luas di dalam industri yang berkaitan pendidikan. Guru-guru kami ada yang mempunyai pengalaman mengajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), ada yang merupakan bekas pengetua dan juga guru-guru dari beberapa sekolah swasta terkenal tanahair, pensyarah universiti, sekolah kerajaan, pusat-pusat tusyen dan macam-macam lagi.

Tidak lupa juga kita mempunyai beberapa orang guru yang mempunyai pengalaman bekerja sebagai jurutera, akauntan bertauliah, imam surau, pengurus pemasaran, fitness trainer dan macam-macam lagi. Kepelbagaian cara bekerja dan budaya pekerjaan lama membawa kepada perpaduan yang amat kuat di kalangan tenaga kerja ASIQS. Oleh sebab itu, kami sentiasa dipermudahkan apabila berhadapan dengan sesuatu perkara atau masalah kerana kami pasti ada tenaga kerja yang mampu untuk bersama-sama membantu menyelesaikan masalah ini sebagai satu keluarga.

Khidmat Guru dari Luar Negara

Sebagai sebuah sekolah yang unik, kami sentiasa menerima guru-guru dari luar negara untuk bersama-sama memantapkan perjalanan ASIQS. Apa yang menarik, kebanyakan mereka menawarkan diri secara rela hati untuk membantu membangunkan ASIQS. Kebanyakan mereka juga mempunyai latar belakang yang sangat hebat yang mana kami sendiri tidak sangka dapat menggunakan khidmat mereka dalam perjalanan ASIQS.

Sepanjang perjalanan ASIQS, kami pernah menerima khidmat pengajaran dari warga negara-negara seperti Amerika Syarikat, Mesir, Nigeria, Perancis, Papua New Guinea, Thailand, Singapura dan juga Yaman. Ada yang masih lagi berkhidmat dengan ASIQS sehingga ke hari ini. Khidmat dan bantuan yang mereka curahkan amatlah kami hargai dan sangat membantu dalam memantapkan lagi sistem modul pendidikan ASIQS andai ianya mahu digunakan di peringkat antarabangsa kelak.

Berkhidmat sejak dari awal penubuhan

Antara tanda-tanda kestabilan sesebuah sekolah ialah apabila ia mempunyai tenaga pengajar yang setia bersamanya untuk satu tahap yang amat panjang. Kesetiaan mereka yang lama kepada sesebuah sekolah menandakan betapa menariknya sistem pengajaran dan pembelajaran yang ditawarkan di situ. Seperti manusia biasa, guru juga boleh mula berasa bosan jika perkara yang sama sahaja diulang-ulang di dalam pembelajaran. Di ASIQS, hampir 70% daripada guru-guru yang ada semasa tahun penubuhan (2012) masih ada lagi berkhidmat sehingga ke hari ini. Guru-guru yang mula berkhidmat pada tahun-tahun selepasnya juga kebanyakan daripada mereka masih ada sehingga ke hari ini.

Antara faktor kesetiaan ini ialah di ASIQS kami mengalu-alukan kepelbagaian cara dan kaedah untuk para guru mengajar. Walaupun dialu-alukan, kaedah dan cara ini haruslah bersesuaian dengan peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan. Pihak ASIQS akan sentiasa memantau dan merekod segala kaedah yang digunapakai di ASIQS untuk kegunaan para guru lain di masa hadapan.

Kepelbagaian Kemahiran dan Serba Boleh

Kepelbagaian cara dan kaedah pengajaran merupakan antara elemen kuat dalam menjanjikan pendidikan yang menarik dan berkesan. Alhamdulillah di ASIQS, kami dikurniakan guru-guru yang berbakat dan serba boleh. Bakat yang dimiliki oleh para guru ini digilap dan cuba digunakan sebanyak boleh di dalam pengajaran dan pembelajaran. Kami sentiasa percaya bahawa Allah SWT mengurniakan bakat dan kemahiran tertentu kepada semua orang dan ianya amatlah rugi jika tidak digunakan sepenuhnya dalam aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.

Di ASIQS, kami mempunyai guru-guru yang mahir dalam kesenian. Ramai guru di ASIQS dikurniakan bakat melukis dan mewarna. Sebagaimana yang kita tahu, anak-anak kecil amat sukakan gambar dan lukisan. Justeru itu, bakat melukis dan mewarna ini banyak digunakan dalam pengajaran pelajar-pelajar Foundation. Bagi anak-anak yang meminati muzik dan hiburan, ASIQS mempunyai guru-guru yang berkebolehan untuk bermain alat muzik, menyanyi dan juga menari.

Selain daripada itu, ASIQS mempunyai guru yang pakar dalam bidang memasak, bertukang kayu dan besi, fitness trainer, jurufoto, pereka grafik, menjahit, kaligrafi dan macam-macam lagi yang boleh menarik minat anak-anak murid ketika belajar.